mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kos sara hidup dan aplikasi syariah

ORANG Islam dididik supaya berjiwa jemaah. Ia tidak harus terlihat hanya dalam solat tetapi hendaklah terpancar dalam muamalat dan membentuk sikap kekitaan, kebersamaan, setiakawan dan kesalingan sebagai amalan.

Membina setiakawan sesama Islam bukan bermakna kita ini rasis atau perkauman. Ia adalah suatu tuntutan syarak. Hadis Rasulullah SAW umpamanya memberi isyarat sembilan per sepuluh sumber rezeki adalah dalam bisnes iaitu bisnes yang halal dan toyyib. Bisnes atau muamalah yang Allah SWT reda berasaskan syariah. Ini mendukung aspirasi ihsan (kebaikan) dengan tujuan mendapat barakah.

Terdapat kegiatan perniagaan hari ini terlibat dengan eksploitasi, manipulasi, riba dan syubhah tanpa belas kasihan. Muamalah yang adil mengharapkan barakah dari Allah SWT bukannya keuntungan berganda-ganda menyebabkan harga barang dinaikkan tanpa kawalan dan menyukarkan pengguna terutama yang mempunyai kuasa beli yang rendah.

Tidak wujud keadilan dan timbang rasa antara pembekal dan penjual dengan pembeli. Pemborong dan pengeluar mengenakan harga yang tinggi dengan melakukan monopoli dan menyebabkan pemerasan berlaku. Bila komoditi itu sampai kepada peruncit harga dinaikkan lagi dan pembeli atau pengguna terasa perit dengan harga yang dikenakan.

Atas nama jemaah dan setiakawan orang kita harus segera mengubah sikap supaya penjual yang rakus dapat diberi pengajaran. Kita mengadu kos barangan naik dengan mendadak tetapi kita masih berlanggan di tempat yang sama atau masih tidak serik dengan eksploitasi.

Ini mengingatkan penulis mengenai kisah seorang Yahudi di Chicago, Amerika Syarikat sewaktu salji lebat turun berada di suatu simpang berhajat membeli sekotak mancis di kedai seberang jalan walaupun di belakang tempat dia berdiri terdapat kedai yang menjual barangan itu. Selepas dapat apa yang dihajati, dia menyeberangi kembali di jalan yang sibuk semata-mata atas nama setiakawan.

Penulis tidaklah bermaksud pengguna Islam bersikap demikian. Pengguna Islam harus ada keinsafan yang mendalam bahawa rasa kekitaan dan kebersamaan perlu dibina supaya memajukan bisnes yang halal dan toyyib adalah suatu tuntutan dan sekiranya penjual Islam faham akan jenis muamalah yang menghasilkan barakah, mereka akan berusaha untuk tidak melakukan eksploitasi dan terlibat dengan manipulasi kerana ini bercanggah dengan syarak.

Kos barangan, perkhidmatan, jual-beli rumah dan tanah naik sepatutnya menyedarkan golongan nelayan kita dari cengkaman orang tengah, para petani kita untuk menghasilkan produk sendiri, pihak penguasa mengenai kawalan harga rumah dan tanah yang memberi kesan kepada pengguna dan semacam ada agenda politik meminggirkan mereka yang tidak mempunyai kuasa beli yang tinggi dan pengedaran produk yang dikawal oleh satu pihak dan menyebabkan orang ramai marah kepada kerajaan dan sindiket yang rakus terus bermaharajalela.

Kawalan, penguatkuasaan dan pemantauan kos barangan harus berlaku sepanjang masa bukannya bermusim. Persatuan pengguna harus lebih aktif memberi kesedaran kepenggunaan kepada masyarakat. Orang Islam harus lebih aktif mengeluarkan produk alternatif dalam usaha pertanian dan nelayan jangan terjebak dengan cengkaman orang tengah supaya tidak menjadi monopoli pembekal rakus.

Mereka yang melakukan kesalahan pencatutan dan mengenakan komoditi laut dan pertanian dengan harga yang melampau harus dikompaun dan dihukum dengan denda yang menjadikan mereka serik kerana dibimbangi mereka ada agenda politik melakukan ini dan memberi alasan sebab cukai barang dan perkhidmatan (GST) semua barang harus dinaikkan kerana sebahagian dari mereka cuba mengelak dari cukai GST.

Perkara ini dibangkitkan kerana di bawah sistem kaum modal keadilan amat susah terjadi walaupun bekalan barangan mencukupi. Nampaknya, pasaran atas nama monopoli dan eksploitasi menentukan harga barang dan menyebabkan golongan majoriti yang berpendapatan sederhana dan rendah merasakan kepayahannya.

Kembali kepada bisnes dan muamalah yang berasaskan syariah adalah jawapan terbaik kerana pendekatan bisnes dan muamalah dalam Islam ada jiwa jemaah dan setiakawan dan pembekal, pemborong dan penjual mengaitkan bisnes dan muamalah dengan konsep barakah atau pun berkat. Keuntungan tidak sifatnya melampau dan sikap ihsan mereka miliki dan ini menyebabkan jual-beli berlaku secara amanah.

Utusan Malaysia Rencana Jendela To'Ki 29 Disember 2015 6:25 PM
Tags: syariah
Subscribe

Posts from This Journal “syariah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments