mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hukum buang kucing

Berdosakah saya buang kucing di pasar ikan? Kucing itu datang ke rumah saya dan disebabkan saya sering beri kucing itu makan, jiran beranggapan ia kepunyaan saya.

Oleh sebab kucing itu membuang najis di luar kawasan rumah saya dan jiran, mereka merungut mengatakan kucing saya mengotorkan kawasan rumahnya.
* Pencinta haiwan, Kuala Lumpur.

UKE: Perbuatan anda memberi makan kepada kucing adalah berpahala. Bagus kerana bukan semua orang boleh buat macam itu. Tetapi jika membela kucing itu boleh menimbulkan masalah kepada jiran sehingga mencetuskan perkara yang tidak elok, jadi hukum lain pula.

Anda boleh bela tapi pastikan kucing itu dibela dengan cara yang tidak menyeksanya dan tidak juga mendatangkan masalah kepada jiran. Anda juga boleh serahkan kepada pihak tertentu yang membuat perkhidmatan menjaga kucing terbiar. Anda boleh hantar ke pasar yang anda yakin bahawa di pasar itu banyak makanan untuk si kucing itu.

Saya pernah melihat seorang lelaki yang memberi makanan kepada kucing di pasar dan dia juga memberi makanan berupa ikan kepada kucing-kucing di sepanjang jalan ke rumahnya tanpa membela kucing di rumahnya.

Dan yang sangat menakjubkan kucing-kucing itu seolah-olah mengetahui pukul berapa dia akan mengagihkan ikan-ikan dengan menunggu di sepanjang jalan dan di pasar. Dan dia tidak bela pun walau seekor kucing di rumahnya.

Kaedah pertunangan dalam Islam

Betulkah kalau sebut “Saya nak awak jadi isteri saya,” dan perempuan menjawab “Saya setuju,” pasangan ini menjadi tunang mengikut hukum fikah tetapi belum melalui adat Melayu?
* Hasry, Labuan.

UKE: Mengikut perspektif Islam dan hukum fikah, pinang bermaksud apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada pihak perempuan. Sekiranya pihak perempuan bersetuju kepada hasrat lelaki tersebut, maka jadilah perempuan itu tunang lelaki itu.

Dalam budaya Melayu, pertunangan itu diadakan penuh dengan adat merisik, bercincin, jamuan dan sebagainya dengan tujuan untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa anaknya sudah bertunang.

Bertunang boleh berlaku dengan pelbagai cara seperti panggilan telefon dan kata-kata. Tetapi apabila pertu­nangan melibatkan keluarga, maka itulah yang terbaik. Tujuan begini adalah bagus kerana dapat mengelak daripada berlaku pertindihan peminangan atas pinangan orang lain.

Sebab itu, pertunangan begini dijadikan suatu adat budaya yang diamalkan dalam masyarakat Melayu. Namun begitu timbul persoalan lain apabila kata-kata seperti “Sudikah awak menjadi isteri saya?” atau “Kita bertunang OK?”. Lalu si perempuan pun bersetuju maka secara tidak langsung mungkin istilah pertunangan telah berlaku. Kerana kejahilan maka terjadilah perkara yang merumitkan.

Sebab itu pertunangan sebaik-baiknya hendaklah melibatkan kedua-dua belah keluarga supaya lebih terjaga hukum-hakam yang berkaitan. Malah bila termeterai pertunangan secara rasmi, ia boleh juga diselesaikan melalui perundangan jika tidak berpuas hati sekiranya ikatan itu diputuskan.

Jika bertunang main senang-senang saja mungkin implikasi lain akan timbul. Saya menyarankan agar si gadis berhati-hati dalam menerima cinta atau menyambut kata-kata cinta. Lebih baik melibatkan keluarga supaya lebih tersusun.

Andai kata cinta putus di tengah jalan, maka putuslah dengan cara baik dan ia tidak menghalang untuk bertunang atau berkahwin dengan orang lain jika cinta disemai terputus di tengah jalan. Dengan kata-kata “Kita putus saja” atau “Kita tak ada apa-apa hubungan lagi”, maka bertunang tadi dikira dah putus seperti yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu.


Roboh rumah pusaka

Kami adik-beradik sepakat agar rumah pusaka yang sudah uzur dirobohkan dan dibina semula dengan bantuan PPRT.

Tapi abang sulung membantah tanpa alasan, sedangkan dia memiliki rumah sendiri di belakang rumah pusaka tersebut. Rumah pusaka didiami kakak yang kematian suami tanpa anak, adik lelaki yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak, emak tiri serta adik tiri perempuan satu bapa. Kesemuanya hidup dengan pendapatan kurang dari RM1,200.

Bolehkah perancangan kami itu diteruskan tanpa persetujuan daripada abang sulung?  Sedangkan binnya pun beza sedikit walaupun kami satu ayah dan ibu.
* Zaian, Shah Alam.

UKE: Anda kena betulkan sedikit di situ iaitu yang anda kata adik tiri satu bapa itu, bukan adik tiri anda tetapi adalah adik kandung anda satu bapa berlainan ibu. Adik tiri ialah jika adik itu anak ibu tiri anda dengan suaminya yang terdahulu.

Jika adik itu anak bapa anda maka dia dipanggil adik sebapa. Sebaik-baiknya selesaikan terlebih dahulu pembahagian pusaka dan ditentukan siapa berhak atas rumah tersebut. Kalau anda roboh pun rumah uzur itu, masalah akan timbul juga sebab geran masih bernama arwah ayah.

Saya cadangkan selesaikan perkara ini terlebih dahulu. Kalau tidak mahu juga, anda buatlah persetujuan bersama dengan bertanda tangan semua pihak menyatakan persetujuan untuk dibina rumah baharu supaya tidak timbul masalah pada kemudian hari.


Hukum modal judi

Kalau menang judi sebanyak RM30,000 dengan modal RM5,000, apakah semua wang itu jadi haram atau wang modal masih halal?
* Matori Azmi, Jerantut.
UKE: Lain macam soalan ini ya, tapi baguslah sebab dapat memberi maklumat kepada yang lain. Jika RM5,000 itu adalah duit atau modal yang halal, maka halallah wang itu. Hadiah kemenangan RM30,000 itu adalah haram digunakan melainkan diserahkan kepada baitulmal atau digunakan untuk perkara umum seperti membuat jalan, tandas awam, jambatan atau apa-apa sahaja untuk kegunaan awam.

Tapi jika hendak senang kerja, serah sahaja kepada baitulmal. Hukum berjudi adalah berdosa besar dan si pelaku wajib bertaubat nasuha.


Perlukah bayar fidyah solat orang mati

Ada seorang ustaz mengatakan kita perlu bayar fidyah solat orang yang  telah meninggal dunia. Betulkah apa yang disampaikan oleh ustaz ini? Selama ini yang saya tahu hanya ada bayar fidyah puasa saja untuk orang yang meninggal dunia.
* Suraya Abdullah, Seremban.

UKE: Untuk menjawab soalan anda, adalah lebih baik terus kita merujuk kepada keputusan fatwa beberapa buah negeri berkenaannya. Menurut keputusan Fatwa Negeri Pulau Pinang: “Tiada diqadakan dan juga tidak dikeluarkan fidyah bagi sembahyang si mati.

Manakala hukum fidyah puasa, sekiranya orang yang mati sedang menanggung puasa fardu dan berkesempatan untuk menqadanya tetapi dia tidak berbuat demikian maka dikenakan fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan sebanyak 15 tahil beras. Jika puasa itu tidak diqadakan lewat bertahun maka fidyah akan berganda mengikut bilangan tahun.”

Menurut Fatwa Negeri Melaka: “Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil 3/2007 yang bersidang pada 2 Zulhijjah 1428H bersamaan 12 Disember 2007 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa: Tiada qada dan tiada fidyah bagi sembahyang yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas dalam kitab al-Muwatta’ daripada Ibn Umar.

- Utusan Malaysia Rencana 03 Januari 2016 8:40 PM
Tags: hukum
Subscribe

Posts from This Journal “hukum” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 1 comment