mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tip hadapi musibah dari perspektif Islam

Musim banjir sekali lagi mendatangi negara kita - ada yang sudah dan sedang melaluinya. Tidak kurang yang sedang bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan daripada cuaca yang agak tidak menentu ini.

Berhubung perkara ini, Islam mengajar kita tip sebelum dan semasa menghadapi musibah termasuk musibah banjir.

Bagi tip sebelum menghadapi sesuatu musibah, terdapat hadis yang disampaikan Nabi sebagai pedoman kita iaitu Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Angin (yang bertiup) adalah rahmat daripada rahmat Allah, kadangkala datang membawa rahmat dan kadangkala datang membawa azab. Apabila kamu nampak angin (mendatangimu) maka janganlah kamu mengejinya, dan mintalah dari Allah akan kebaikan daripada angin itu dan minta perlindungan Allah daripada kejahatan angin itu."

Hadis ini menceritakan mengenai angin yang sering kali menjadi suatu yang digeruni masyarakat Arab lantaran musibah yang lahir apabila ia bertiup terlalu kencang.

Walaupun begitu, sebagai pengajaran dalam konteks kita di Malaysia ketika musim tengkujuh ini, kita kaitkan hadis ini dengan hujan yang juga datang menerusi awan yang ditiup angin.

Hadis ini mengajar kita supaya berdoa kepada Allah apabila dilanda hujan yang mencurah-curah atau melihat awan mendung yang berarak, iaitu berdoa agar diberikan kebaikan dan dilindungi daripada sebarang keburukan, di samping menjaga lidah daripada mengeji situasi yang sedang berlaku.

Walaupun begitu, bagaimanakah sekiranya kita telah berdoa tetapi musibah itu tetap mendatangi kita? Adakah ia memberi maksud doa kita terhijab? Atau ia hakikatnya sebagai azab dan tiada rahmat serta kebaikan buat kita.

Mengenai perkara ini, marilah kita merenungi satu hadis Nabi yang merupakan jawapan Rasulullah kepada Aisyah yang bertanya baginda berkenaan wabak taun.


Lalu baginda menjawab "Sesungguhnya wabak taun itu adalah azab yang diturunkan Allah ke atas sesiapa sahaja, tetapi Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi orang beriman. Tidaklah seseorang yang dilanda wabak taun lalu terus menetap di kawasan yang landa taun itu (disebabkan arahan untuk dikuarantinkan dalam suatu jangka masa), dalam keadaan sabar, berserah diri kepada Allah dan mengetahui bahawa tidaklah sesuatu musibah yang melanda beliau melainkan suatu yang telah ditentukan Allah, maka tidaklah baginya melainkan mendapat pahala seperti seorang yang mati syahid."

Hadis ini mengajar kita mengenai sikap yang perlu diambil apabila berhadapan dengan musibah, iaitu bersabar dalam menghadapinya serta berserah kepada Allah, di samping berpegang bahawa segala sesuatu adalah berada di bawah ketentuan Allah.

Konteks banjir

Dalam konteks banjir sebagai suatu musibah, ia akan menjadi rahmat kepada kita di sisi Allah sekiranya kita menghadapinya seperti yang diajar oleh Rasulullah di atas.

Sikap inilah tafsiran kepada balasan besar yang dijanjikan Allah kepada mereka yang reda dengan ujian Allah seperti disebut dalam hadis Nabi yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan besar bagi mereka yang menghadapi ujian besar. Sesungguhnya sekiranya Allah menyukai sesuatu kaum, maka Allah akan menguji mereka, barang siapa yang reda dengan ujian itu, maka baginya reda Allah, dan barang siapa yang marah atas ujian yang diberikan itu, maka baginya kemarahan Allah."

Kesimpulannya, tip yang dikemukakan Islam ini mengajar kita untuk sentiasa sabar dan kembali kepada Allah dalam menghadapi apa-apa musibah, termasuk musibah banjir. Ia secara tidak langsung membuka ruang positif dalam pemikiran dan diri kita dengan melihat ada suatu harapan yang boleh dipegang dan secara tidak langsung menutup pintu kebuntuan daripada menghantui kita.

Seperkara lagi, reda Allah menanti bagi mereka yang bersikap begini.

Dr Mansor Sulaiman   Berita Harian Kolumnis 4 Januari 2016 @ 6:33 AM
Tags: banjir, musibah
Subscribe

Posts from This Journal “musibah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments