mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Vape; Alat Yang Membinasakan”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 08 Januari 2016: JAIS

“Vape; Alat Yang Membinasakan”


Vape adalah sejenis alat yang dihisap dan akan mengeluarkan wap daripada cecair nikotin yang disimpan didalamnya. Terdapat empat komponen utama dalam vape iaitu pertama; tank atau tanki iaiatu tempat penyimpanan cecair (liquid) yang akan menghasilkan wap apabila disedut dan dihembus. Kedua; atomizer berfungsi seperti “dapur” yang akan memanaskan e-liquid sehingga ia menghasilkan wap. Ketiga; liquid atau cecair yang akan menghasilkan wap yang disedut dan dihembus oleh penghisap vape iaitu vapour dan keempat; mod yang merupakan tempat simpanan bateri dan sumber tenaga vape.

Sebelum kemunculan vape, rokok merupakan pilihan utama pelbagai lapisan masyarakat sehingga ke hari ini. Kemudian muncul pula Shisha, sejenis alat yang digunakan untuk mengeluarkan asap menggunakan penuras air dan haba secara tidak langsung.

Rokok dan Shisha telah difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan kebanyakan negeri di Malaysia.

Setiap hari ramai pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi 3 jenis penyakit utama yang berpunca daripada tabiat merokok iaitu jantung, kanser paru-paru dan paru-paru kronik. Pada tahgun 2010 sahaja kos rawatan bagi menangani penyakit-penyakit tersebut sebanyak RM2.9 bilion, berbanding hasil cukai rokok sebanyak RM2 bilion sahaja.

Menurut Pakar Perubatan dan Pernafasan di Pusat Perubatan Prince Court, dakwaan yang mengatakan asap yang terhasil dari rokok elektronik adalah cecair biasa dan bukannya nikotin adalah salah sama sekali. Hakikatnya, rokok elektronik mempunyai nikotin yang boleh meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormone ‘adrenalin’ serta melembapkan system urat saraf. Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan sauran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar, ulser perut dan usus serta mati pucuk.

Pendedahan terbaru di beberapa buah akhbar tempatan susulan penemuan bahan kimia dalam cecair perisa dikenali sebagai Diacetyl yang boleh menyebabkan pengguna vape mengalami masalah pernafasan yang serius dan penyakit “Popcorn Lung” atau “paru-paru Bertih Jagung”. Melalui kajian, Diacetyl didapati lebih 75% dalam e-rokok berperisa yang kerap digunakan golongan muda. Ternyata ia perisa yang membinasa.

Vape tidak sekali-kali membantu perokok tegar untuk berhenti merokok, bahkan dibimbangi penggunaannya akan menimbulkan masalah yang lebih serius seperti penagihan dadah. Disebabkan warna dan kepelbagaian rasa yang ditawarkan, vape juga boleh membuka ruang serta menarik golongan bukan perokok khususnya anak-anak untuk mencubanya.

Justeru ingatlah bahawa Allah telah memberikan amaran dalam alQuran sepertimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 195:  “… dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaikbaiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.

Hadis daripada Amru Bin Yahya RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh memudaratkan (diri sendiri) dan memberi kemudaratan (kepada orang lain). (Riwayat Imam Ahmad).

Mengakhiri khutbah ini, mimbar Jumaat ingin menyeru dan merayu bahawa;

1. Marilah kita menjaga dan memelihara diri daripada kebinasaan dan kehancuran yang dipengaruhi oleh nafsu yang pada zahirnya mempamerkan gaya hidup moden, padahal ia didorongi oleh bisikan syaitan yang menyesatkan sehingga dilalaikan hati kita daripada mengingati Allah.

2. Ibubapa hendaklah melarang anak-anak supaya tidak mengambil vape, rokok, dadah dan lain-lain yang seumpamanya kerana kemudaratannya mendatangkan penyakit yang lebih buruk.

3. Pengusaha vape hendaklah meninggalkan perniagaan tersebut walaupun ianya mendatangkan keuntungan yang lumayan.

4. Pihak berkuasa hendaklah bertegas dengan tidak memberikan lessen perniagaan dan mencegah serta mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape walaupun ianya memberikan keuntungan kepada sesetengah pihak.


Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberi perlindungan dan penjagaan dengan limpah rahmatnya serta berkat syafaat Nabi Muhammad SAW.  “Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan”. (Surah al-Baqarah : 86).

Wallahualam.
Tags: kesihatan, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “kesihatan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments