mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perbalahan mazhab cetus kebimbangan dunia Islam

SEBELUM ini banyak diperkatakan bahawa politik Asia Barat banyak dicorakkan melalui pertembungan dua kuasa serantau, iaitu Arab Saudi yang berfahaman Sunni dan Iran yang berfahaman Syiah.

Ramai tahu konflik sebelum ini sedikit sebanyak didalangi oleh dua kuasa hegemoni serantau ini bagi mendominasi Asia Barat.

Namun, hubungan kedua-dua negara berjalan seperti biasa sehinggalah baru-baru ini apabila Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Iran.

Tindakan itu adalah reaksi kepada bantahan umum di Iran, termasuk pembakaran dilakukan ke atas kedutaan Arab Saudi di Tehran, Sabtu lalu dan beberapa negara seperti Bahrain dan Iraq terhadap tindakan Arab Saudi menjatuhkan hukuman bunuh ke atas 47 orang, termasuk Sheikh Nimr al-Nimr, ulama Syiah yang dituduh terbabit dengan aktiviti keganasan.

Disusuli reaksi Arab Saudi, Menteri Luarnya, Adel al-Jubeir, bahawa Riyadh terpaksa memanggil pulang dutanya dari Tehran dan menghentikan hubungan diplomatik. Malah, Arab Saudi memutuskan jaringan trafik udara, termasuk penerbangan komersial di antara Arab Saudi dan Iran.

Pengharaman juga dikuatkuasakan ke atas sebarang perjalanan dan lawatan dari Arab Saudi ke Iran.

Namun, Arab Saudi masih membenarkan warga Iran mengerjakan haji. Keadaan persengketaan Arab Saudi dan Iran ini menjadi lebih buruk apabila Sudan, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga menghentikan hubungan diplomatik dengan Iran.

Kemungkinan banyak negara lain lagi akan menyertai Arab Saudi memulau Iran.

Al-Jubeir juga menyebut seperti dinyatakan agensi berita RT bahawa tindakan Arab Saudi ini adalah tindakan reaktif terhadap usaha Iran sebelum ini, termasuk memasuki Lubnan membantu perjuangan kumpulan Hizbullah serta menghantar tentera al-Quds dan tentera revolusi ke Syria untuk membantu rejim Bashar al-Assad.

Beliau menuntut Iran berkelakuan sebagai negara biasa sebelum sebarang perbincangan boleh dilakukan bagi memulihkan semula hubungan diplomatik.

Persaingan dua kuasa besar

Yang jelas, apa yang berlaku membabitkan persaingan hegemoni secara terbuka antara dua kuasa serantau.

Sebenarnya punca utama pertelingkahan ini menjadi terbuka ialah faktor berjayanya proses rundingan nuklear Iran dengan Barat khususnya Amerika Syarikat (AS).

Tahun 2016 ini akan menyaksikan proses normalisasi hubungan akan berlaku di antara Iran dan Barat serta sekatan ekonomi Iran akan dilonggarkan.

Iran dikatakan dibenarkan menjual 500,000 tong minyak mentah sehari yang dilihat berkemungkinan boleh menyebabkan harga pasaran minyak dunia terus jatuh.

Arab Saudi mendesak supaya AS terus melakukan sekatan ekonomi ke atas Iran bagi membendung pengaruh politik Tehran.

Russia pula secara terbuka menyebelahi Iran dan menyokong kerajaan Assad di dalam konflik di Syria. Arab Saudi juga masih gagal menangani sepenuhnya pemberontakan Houthi yang mendapat sokongan Iran di Yaman dan menjatuhkan rejim Assad.

Gerakan IS juga semakin menular dan di luar kawalan pihak Arab Saudi. Kegagalan Arab Saudi menghalang pengaruh Iran memasuki Iraq dan mempengaruhi kerajaan Syiah Iraq adalah kegagalan paling utama Riyadh yang sering mengikut telunjuk Barat khususnya AS yang kini dilihat semakin cenderung berbaik-baik dengan Iran.

Tindakan memulau

Iran Semua faktor tadi menyebabkan Arab Saudi dan negara Arab Sunni lain bertindak memulaukan Iran dan pihak yang bersekutu dengannya. Ini bertujuan untuk mendapatkan semula reaksi Barat untuk terus bersama kuasa hegemoni Arab Saudi dan menangani kekuatan Iran.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana strategi ini akan berkesan membatasi pengaruh Iran di Asia Barat kerana Barat harus melindungi kerajaan Iraq khususnya walaupun mengetahui Baghdad kini banyak dipengaruhi Tehran.

Malah, tumpuan Barat kini lebih kepada usaha menangani ancaman IS dan melindungi Israel.

Yang dibimbangi ialah konflik dan perbalahan mazhab di Asia Barat akan meluas membabitkan pertumpahan darah sesama Islam. Ini menyebabkan krisis pelarian Asia Barat menjadi semakin teruk.

Lagi menyedihkan, Israel sebagai musuh Islam di Asia Barat terus selesa menjalankan dasar perluasan wilayah mereka dan menindas warga Palestin yang tidak dibela.

Tiada kaitan dengan Malaysia

Yang nyata, apa yang berlaku ini adalah konflik Asia Barat yang tiada kaitan dengan Malaysia.

Oleh itu, kita tidak terbabit secara langsung dengan konflik ini yang dilihat boleh memecahbelahkan dan melemahkan umat Islam keseluruhannya.

Malaysia seharusnya tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak. Malaysia terkenal sebagai orang tengah yang dapat membantu menyelesaikan konflik di Selatan Filipina dan Aceh.

Mungkin Malaysia sebagai negara yang dihormati oleh Arab Saudi dan Iran dapat membantu menyelesaikan kemelut ini.

Pastinya, Malaysia harus terus menjalankan aktiviti kemanusiaannya untuk membantu warga Palestin, Syria dan Yaman yang menjadi mangsa peperangan.


Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani Berita HArian Kolumnis KHAMIS, 7 JANUARI 2016 @ 6:12 AM
Tags: mazhab, sunni, syiah
Subscribe

Posts from This Journal “mazhab” Tag

  • Hormati serta menerima mazhab lain

    SYARIAH Islamiah ialah syariah yang lengkap dan sempurna, hukum-hakamnya sesuai dengan semua keadaan. Bagi umat Islam terdapat pelbagai aliran…

  • Memahami munculnya mazhab

    Memahami munculnya mazhab MAZHAB atau 'madhhab' adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada aliran pengamalan hukum–hakam…

  • Berkenalan dengan Mazhab Syafie

    MAZHAB Syafie diasaskan oleh Imam Al-Syafiee atau nama sebenarnya, Muhammad bin Idris Al-Syafiee. Gelaran beliau, Abu Abdullah berketurunan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments