mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bertadabur Quran, alasan kukuh seluruh Umat Islam bersatu

JIKA kita hanya memerlukan satu sebab untuk seluruh umat Islam Malaysia bersatu, sebab itu adalah al-Quran. ALLAH SWT menjadikan hati kita sebagai tempat untuk cinta, akhlak dan budi pekerti.

Manakala al-Quran diturunkan ALLAH bagi menyuburkan hati tersebut dengan nilai-nilai kebaikan, kasih sayang bagi melahirkan tindakan sopan santun kebaikan dalam kalangan manusia. Al-Quran memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja yang berinteraksi dengannya.

Negara dibentuk masyarakat sosial. Masyarakat dibentuk keluarga. Keluarga diikat dari ikatan individu-individu. Negara hanya mendapat rahmat apabila semua mengambil langkah pro aktif berinteraksi dengan al-Quran, bukan hanya pemimpin atasan, malah harus turun ke segenap golongan rakyat.

Kita harus menyedari al-Quran itu adalah kitab yang penuh berkat dan mengandungi mutiara-mutiara yang sangat bermanfaat bagi kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Tetapi untuk meraih mutiara dalam al-Quran itu hanya dapat dilakukan dengan cara bertadabur.

Kerana tadabur itulah cara berinteraksi dengan al-Quran yang diinginkan oleh al-Quran sebagaimana yang dinyatakan oleh ALLAH.

Orang yang ingin meraih mutiara al-Quran, tapi tidak mahu mentadaburi ayat-ayatnya maka dia seperti orang yang ingin mendapatkan mutiara dari dasar lautan, tetapi dia hanya berdiri di tepi pantai menikmati pasir putih, debur ombak, terbit dan tenggelamnya matahari.

Kalau itu yang dia lakukan tentu dia tidak akan pernah sampai mendapatkan mutiara yang tersimpan di dasar lautan.

Malaysia tidak akan hebat hanya dengan penganjuran majlis-majlis tilawah al-Quran. Masyarakat juga belum menjadi baik jika diukur pada banyaknya sekolah-sekolah tahfiz. ALLAH bukan mahu manusia leka menikmati kemerduan bacaan ayat-ayat al-Quran, tetapi mahu manusia aktif memahami dan mengkaji sehingga memperoleh isi kandungan yang paling berharga.

BACA AL-QURAN DENGAN AKAL YANG SIHAT

Secara bahasa, tadabur bererti melihat dan memperhatikan kesudahan segala urusan dan bagaimana akhirnya.

Ibnu Al-Qayyim menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan mentadabur suatu perkataan adalah melihat dan memperhatikan perkataan itu dari awal dan akhir perkataan kemudian mengulang-ulangi hal itu.

Adapun yang dimaksudkan dengan tadabur al-Quran adalah menggunakan ketajaman mata hati melalui proses perenungan mendalam secara berulang-ulang agar dapat menangkap pesan-pesan al-Quran yang terdalam dan mencapai tujuan maknanya yang terjauh.

Manfaat al-Quran tidak terserlah dengan bacaan sekali lalu sahaja.

Ibnu Al-Qayimm dalam kitabnya Al-Fawaid mengatakan: "Jika engkau ingin mengambil manfaat dari al-Quran maka pusatkanlah hatimu ketika membaca dan mendengarkannya, fokuskanlah pendengaranmu dan hadirlah seperti seseorang yang sedang diajak bicara oleh

ALLAH dengan al-Quran itu kerana ia adalah perkataan ALLAH kepadamu melalui lisan Rasul-Nya."

Tadabur al-Quran itu haruslah mengandung tujuan untuk mengambil manfaat dan mengikuti apa yang terkandung dalam al-Quran, kerana tujuan dari membaca dan mentadaburi ayat-ayat al-Quran itu adalah untuk mengamalkan dan berpegang pada isi kandungannya.

MANFAATKAN  AL-QURAN

Membaca dan bertadabur tidak boleh dipisahkan dalam interaksi orang beriman dengan al-Quran. Sama halnya jika negara ingin dibentuk dengan nilai-nilai keimanan kepada al-Quran, ia bermaksud bukan sahaja majlis tilawah perlu dibanyakkan, majlis-majlis penerangan al-Quran juga perlu digiatkan. Pakej bersama al-Quran itu perlu dilengkapkan dalam negara, bermula dengan berinteraksi secara membaca, menghafal dan mendengar. Kemudiannya interaksi secara pemahaman dan tadabur. Seterusnya berinteraksi dengan al-Quran dengan cara mengikuti, mengamalkan dan mengajarkan.

Apa sahaja yang kita bayangkan dengan hasil Malaysia bertadabur al-Quran, ia tetap bermula dengan langkah pertama dalam diri dan keluarga, kerana inilah entiti terpenting pembentukan sebuah negara.

Melalui bengkel Berinteraksi Dengan Al-Quran di Batu Pahat pada 16 dan 17 Januari dan di Shah Alam pada 30 dan 31 Januari ini, peserta akan dibimbing bagaimana kaedah bertadabur al-Quran dengan efektif. Kami menjemput setiap individu, keluarga dan organisasi yang sayangkan al-Quran dan menginginkan perubahan ke arah kebaikan untuk bersama dalam bengkel ini.

Tags: al-quran, bersatu, tadabbur
Subscribe

Posts from This Journal “al-quran” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments