mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Maslahat dan maqasid syariah

KEHIDUPAN Islam adalah kehidupan yang menitikberatkan kebaikan sebagai asas wujud seseorang. Ini disebut sebagai maslahat. Kebaikan bermula dengan kehormatan, maruah dan harga diri.

Orang perseorangan, masyarakat, persekitaran dan sistem hidup mesti mendukung dan menyokong segala usaha untuk memelihara, mempertahan serta mempromosi kehormatan diri sebagai asas menjadi manusia baik dan bukan sahaja manusia berguna.

Manusia berguna belum tentu manusia baik tetapi manusia baik tentu ada gunanya untuk kebaikan diri dan semua. Menjaga kehormatan bererti memastikan diri mempunyai peribadi yang melayakkan diri bergelar insan atau manusia sejati.

Tubuh badan adalah sesuatu yang paling dekat dan rapat dengan diri seseorang. Melalui tubuh badan, kehormatan diri dijelma, dizahir serta dipertontonkan kepada orang ramai yang akan menilai kita melalui tingkah-laku dan perbuatan kita.

Justeru, tubuh badan adalah perkara utama yang mesti dipelihara dengan sebaiknya supaya diri dihormati dan dihargai bukannya menjadi bahan gosip dan perbualan.

Sehubungan itu, mengenakan pakaian tertentu supaya kehormatan diri terjamin semestinya dialu-alukan. Sesetengah wanita Islam memilih untuk berpakaian menutup kepala dan seluruh badan semasa bertugas di tempat seperti hospital umpamanya sebagai cara untuk memelihara kehormatan.

Perbuatan berkenaan boleh menyebabkan sesetengah hospital untuk menegah dari berpakaian demikian mungkin kerana pada pandangan mereka, cara berpakaian tersebut boleh mengganggu pergerakan dan aktiviti kakitangan yang boleh mengundang bahaya terutama apabila ia melibat penggunaan alat-alat dan ubat-ubatan di mana kesilapan yang kecil boleh membawa padah yang cukup besar.

Kerana keselamatan adalah keutamaan dan tidak boleh dikompromi, maka Islam memberi kelonggaran dalam situasi sebegini yang disebut sebagai darurat dengan hujah bahawa kemaslahatan umum menjadi keutamaan walaupun kemaslahatan diri adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian.

Pada masa yang sama, seandainya ada contoh dan pengalaman dari hospital lain yang dapat menunjukkan bahawa cara berpakaian sedemikian tidak membawa sebarang ancaman, maka adalah menjadi tanggungjawab untuk mempelajari dari hospital-hospital ini tentang bagaimana berpakaian demikian bukan sahaja tidak membahayakan diri dan lain tetapi boleh meningkatkan lagi mutu perkhidmatan, keselamatan dan kesihatan dan dengan itu sewajarnya menimbang untuk membenarkan kakitangan yang ingin menutup kepala dan badan berbuat demikian.

Mengenakan pakaian dengan cara tertentu mengaitkan cara berpakaian berkenaan dengan pandangan, pegangan serta amalan hidup yang memusat kepada kebaikan terhadap badan, minda, jiwa, pergerakan dan aktiviti sama ada untuk yang empunya diri atau yang selain darinya.

Memilih untuk tidak menghidang minuman keras dalam kapal terbang sebagai contoh membawa erti memilih untuk tidak menghidang sesuatu yang sudah pun disahkan kesannya kepada kesihatan.

Ini bukan sahaja kerana ia adalah pegangan hidup seseorang tetapi juga kerana menyumbang kepada kemudaratan orang lain adalah bertentangan dengan matlamat kebaikan yang dibawa oleh maksud berpakaian tersebut.

Mungkin ada yang melihat berpakaian menutup aurat merupakan sesuatu yang dalam konteks sebuah masyarakat berbilang kaum boleh menjadi faktor mengasing dan menjarakkan diri dari bangsa dan agama lain.

Ini mungkin satu kebenaran seandainya perbuatan tersebut dilakukan semata dengan hujah bahawa ini adalah ajaran agama saya dan saya perlu mematuhinya.

Tetapi sekiranya berpakaian tersebut melihat kepada maksud yang disampaikan iaitu kepada maqasid syariah atau tujuan perbuatan dan tujuannya adalah kerana maslahat atau kebaikan kepada kehidupan, maka ia sesuatu yang boleh membawa kesepakatan di peringkat kefahaman kerana kebaikan adalah apa yang semua manusia hajatkan.

Yang beragama Islam tidak menghidang minuman tertentu dan yang beragama Hindu tidak perlu menghidang daging lembu dan masing-masing boleh mengambil alih tugasan masing-masing dalam suasana faham memahami sensitiviti hidup masing-masing kerana matlamatnya adalah kebaikan bersama.

Yang tidak menghidang minuman keras adalah kerana kemudaratan kepada badan dan badan adalah sesuatu pemberian Ilahi yang mesti dihormati dan dihargai dan yang tidak menghidang daging lembu adalah kerana makhluk tersebut banyak jasanya kepada manusia dan nyawanya mesti dihormati dan dihargai.

Tags: maqasid, masjid, syariah
Subscribe

Posts from This Journal “masjid” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments