mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mencapai kejayaan dalam konsep wasatiyyah

MENDEPANI cabaran hari ini, analogi mudah dalam kehidupan seharian seseorang petani yang lazimnya mengambil sarapan yang berat se­perti nasi berlauk pada setiap pagi sebelum memulakan pekerjaan.

Bagi kakitangan di pejabat pula cukup sekadar segelas air dan dua keping roti untuk memulakan hari mereka. Walaupun pakar kesihatan menasihatkan pengambilan sarapan berkalori rendah, namun langkah itu dilihat bertentangan de­ngan rutin harian bagi mereka yang melakukan kerja berat terutamanya buruh dan yang melakukan kerja-kerja kampung.

Malah, realitinya perkara sama juga dilakukan sebahagian besar daripada kita ketika berada dalam situasi ini atau ketika ingin melakukan pekerjaan yang menggunakan lebih tenaga.

Inilah perumpamaan mudah yang boleh diberikan bagi menggambarkan keputusan untuk membuat pilihan terbaik dalam situasi yang berbeza. Keadaan ini bukan bermakna tidak mengendahkan nasihat pakar atau sengaja mengabaikan kesihatan diri, namun amalan tersebut adalah bersesuaian dengan golongan yang melakukan kerja-kerja berat jika dibandingkan pekerja yang seharian berada di dalam pejabat berhawa dingin.

Konsep itu juga menjelaskan pendekatan wasatiyyah yang bukan sahaja membawa maksud kesederhanaan atau pertengahan, tetapi turut meliputi aspek keadilan dan keseimbangan dalam segala urusan yang membawa kepada kecemerlangan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demikianlah, Kami menjadikan kalian (umat Islam) sebagai umat pertengahan agar kalian menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas perbuatan kalian”. (Surah al-Baqarah : 143).

Dalam pada itu, sekiranya wasatiyyah ditafsirkan sebagai sederhana atau berimbang sahaja, pengertian itu akan mengundang makna yang negatif, sebagai contoh dengan meng­anggap tidak perlu terlalu mengejar kejayaan atas sebab ada­nya sifat wasatiyyah.

Wasatiyyah dalam konteks itu dianggap sekadar cukup makan sahaja, sedangkan dalam al-Quran, ulama mentafsirkan ayat tersebut sebagai golongan yang mengambil jalan tengah iaitu bersifat adil dan cemerlang.

Wasatiyyah bertindak sebagai pemerhati apabila berada di te­ngah-tengah antara dua situasi yang ekstrem.

Oleh itu, mereka yang mengamalkan pendekatan wasatiyyah mampu melihat pelbagai aspek daripada kedua-dua situasi ini untuk dijadikan kesimpulan atau tindakan seimbang bagi menghasilkan satu keputusan yang terbaik.

Walaupun sesuatu keadaan itu dilihat keterlaluan bagi sesetengah individu, namun jika bertepatan dengan keperluan dan kesesuaian bagi individu lain, maka tindakan itu dikategorikan sebagai wasatiyyah bagi individu tersebut.

Dalam konteks pentadbiran negara, langkah sama juga diambil oleh kerajaan dalam pelaburan berskala besar sebagai inisiatif me­rangsang dan meningkatkan eko­nomi negara.

Pelaburan atau pinjaman berskala besar yang dilakukan oleh kerajaan bukanlah sesuatu yang membazir, sebagai contoh pelaburan yang dibuat untuk meningkatkan pembangunan dan ekonomi negara.

Langkah itu berdasarkan kepada keperluan atau juga kebaikannya dalam jangka masa panjang. Bukan itu sahaja bahkan usaha itu adalah pelan strategik yang dilaksanakan bagi ke­pentingan semua pihak pada ma­sa hadapan.

Pendekatan wasatiyyah adalah pendekatan yang diper­kenalkan oleh kerajaan dengan memfokuskan amalan ajaran Islam secara seimbang dan sempurna dalam semua aspek kehidupan individu serta masyarakat termasuk dalam bidang ekonomi mahu pun sosial.

Inilah syumulnya Islam. - Tan Sri Dr Abdullah Md Zin Utusan Malaysia Rencana 19 Januari 2016 6:07 PM

Tags: wasatiyyah
Subscribe

Posts from This Journal “wasatiyyah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments