mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Viralkan kebaikan

PERTARUNGAN antara kebaikan dan kejahatan sentiasa akan berterusan di dunia sehingga berlakunya kiamat. Manusia boleh memilih sama ada mahu menjadi pencetus kebaikan atau pun penyebab kejahatan. Sekiranya tidak mampu mencetuskan kebaikan sekali pun, manusia tetap boleh memilih untuk menjadi agen penyebar kebaikan atau pun penghasut kejahatan.

Pilihlah...

Jalan kebaikan telah dijelaskan oleh Tuhan. Begitu juga lorong-lorong kejahatan. Manusia pula diciptakan dengan akal fikiran yang mampu untuk membezakan mana satu kebaikan dan kejahatan. Maka, pilihlah.

Hidup ini ialah soal pilihan. Apa yang kita pilih, itulah yang akan kita dapat. Apabila kita membuat pilihan, perlu sanggup untuk menerima kesan dan akibat di atas setiap pilihan yang kita buat. Kesan tersebut mungkin berlaku dengan cepat dan mungkin lambat. Mungkin di dunia atau sudah pasti di akhirat sana.

Hidup singkat untuk buat jahat

Kata orang life is short, make it sweet. Ya, ada benarnya. Cuma, di mana mahu dicari kemanisan hidup ini? Bagaimana untuk menjadikannya indah? Tersilap mencari jawapan kepada persoalan ini akan menyebabkan pilihan yang dibuat juga mungkin tersilap.

Hidup ini akan berasa kemanisan dan keindahannya apabila ia dipenuhi dengan sesuatu yang manis dan juga indah. Justeru, percayalah pada setiap kebaikan adanya keindahan.

Cari segenap ruang dan peluang untuk lakukan kebaikan kerana hidup ini juga terlalu singkat untuk kita lakukan kejahatan.

Bersegera buat baik

Seruan ALLAH SWT dalam melakukan kebaikan bukan sekadar galakan untuk buat kebaikan. Tetapi, kita disuruh supaya bersegera, bersaing dan berlumba-lumba untuk berbuat baik.

ALLAH menyeru hamba-hamba-Nya: "Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan." (Surah Al-Baqarah: 148)

Apabila ada peluang untuk berbuat baik, lakukanlah. Jika datangnya perasaan untuk berubah ke arah kebaikan, sahutlah segera. Usah ditangguhkan. Usah dinanti. Bimbang peluang itu hanya datang sekali. Risau jika perasaan untuk berubah itu akan terus pergi.

Cuba perhatikan kisah seorang sahabat Rasulullah SAW, bagaimana sikap beliau terhadap peluang kebaikan yang tersedia. Mungkin kita berasakan sudah bersegera dalam berbuat baik. Tetapi, lihatlah, bagaimana maksud bersegera dan berlumba-lumba yang dipraktikkan oleh sahabat ini.

Jabir berkata: "Seseorang telah bertanya kepada Nabi SAW pada hari peperangan Uhud": "Pada pandanganmu sekiranya aku terbunuh, maka di manakah aku?" Baginda SAW menjawab: "Di syurga". Lalu, lelaki itu pun melemparkan buah kurma yang ada di tangannya, kemudian dia menyertai peperangan sehinggalah dia mati terkorban." (Muttafaqun 'alaihi)

Agar mati dalam kebaikan

Jadi, berlumba-lumbalah mengejar kebaikan. Bersegeralah lakukan kebaikan. Jadilah orang baik yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan. Ingatlah, hidup ini terlalu singkat untuk berbuat jahat.

Amat menyedihkan, jika di saat seseorang berbuat jahat, riwayat hidupnya tamat. Detik kematian itu tidak boleh diulang lagi, walaupun penyesalan yang datang beribu kali.

Jadi, penuhilah ruang hidup ini dengan pelbagai kebaikan, moga-moga kisah perjalanan hidup kita di dunia ini berakhir dalam keadaan kita melakukan kebaikan.

Renungi peringatan berikut: Jabir meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hamba akan dibangkitkan semula (dari kuburnya) mengikut keadaan dia mati." (Riwayat Muslim)

Oleh itu, sibukkan diri dengan kebaikan. Moga-moga penghujung hayat kita di dalam kebaikan. Kemudian, kita dibangkitkan semula nanti juga di dalam kebaikan.

Usah ditangguhkan

Sebarkan kebaikan dan bersegera dalam melakukannya ketika peluang terbentang dan kemampuan dimiliki. Jika bertangguh, takut-takut masa yang dinanti sudah pun berubah. Keadaan berbeza. Peluang sudah tiada. Kemampuan lenyap belaka.

Fikirkan apa yang Rasulullah SAW ingatkan: Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Bersegeralah kamu beramal soleh sebelum datangnya tujuh perkara, tidaklah kamu menantikan melainkan kemiskinan yang akan membuat kamu lupa, atau kekayaan yang akan membuat kamu melampaui batas, atau penyakit yang membinasakan, atau masa tua yang sangat melemahkan, atau kematian yang sangat cepat, atau dajal yang ia adalah sejahat-jahat orang yang dinantikan, atau kiamat yang kiamat itu lebih memilukan dan lebih pahit." (Riwayat Tirmizi, dan dia berkata hadis ini hasan)

Yakin setiap amalan baik

Yakinlah, setiap kebaikan yang dibuat, besar atau kecil, sedikit atau banyak, ia tidak akan disia-siakan. Firman ALLAH: "Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui." (Surah Al-Baqarah: 215)

Apabila diri sudah terbiasa dengan kebaikan, kadang-kadang kita tidak sedar yang kita rupanya sedang lakukan kebaikan. Namun, ALLAH tidak pernah lalai. Apa sahaja kebaikan, pasti dibalas. "Sesiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, pasti dia akan diperlihatkan (untuk diberi ganjaran)." (Surah Al-Zalzalah: 7)

Jadi, lihatlah sesuatu kebaikan itu sebagai suatu yang besar di sisi ALLAH. Sekali pun manusia menganggap ia adalah kecil. Rasulullah SAW berpesan: "Jangan sesekali kamu memandang remeh sesuatu perkara baik, sekali pun kamu hanya menyambut saudaramu dengan wajah yang manis dan ceria." (Riwayat Muslim)

"Iman itu sebanyak 70 cabang lebih atau 60 cabang lebih. Paling utama ialah ucapan La Ilaha illallah, dan yang paling rendah ialah menghilangkan kesulitan daripada atas jalan. Malu adalah sebahagian daripada iman." (Muttafaqun 'alaihi)

Dua hadis ini memberikan contoh kepada kita amalan biasa dan senang dilakukan, tetapi di sisi agama ia mempunyai nilai yang tinggi. Justeru, cetuskan kebaikan dan sebarkannya. Walaupun ia mungkin hanya perkara biasa, namun kebaikan tetap akan dinilai sebagai kebaikan.

Cegah kemungkaran

Kebaikan bukan hanya bermaksud melakukan perbuatan yang baik. Tetapi, meninggalkan sesuatu yang jahat dan buruk juga dikira sebagai kebaikan. Begitu juga dengan menegur, melarang dan menasihati sesuatu kemungkaran.

Jika kita hanya mengajak ke arah kebaikan, sedangkan dalam masa yang sama kemungkaran dibiarkan berlaku, maka ini adalah satu ketempangan kefahaman kepada konsep agama.

Kebaikan yang kita seru, mungkin akan terganggu dengan kemungkaran yang berlaku. Jadi, kedua-dua ini mesti berjalan seiringan. Amar makruf dan nahi mungkar. Kita mesti berganding bahu dan bersatu padu dalam menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Apatah lagi jika kemungkaran tersebut dilakukan secara terang-terangan dan kesan buruknya pula dirasai oleh orang ramai. Jadi, berpakatlah untuk lakukan kebaikan dengan menghentikan mereka daripada terus melakukan kemungkaran. Ini juga adalah kebaikan.

Sebarkan kebaikan untuk kebaikan diri kita sendiri. Kemuliaan dan keagungan ALLAH tidak akan bertambah sedikit pun dengan kebaikan yang manusia lakukan. ALLAH itu tetap Maha Mulia dan Maha Agung walaupun seluruh manusia berpakat untuk lakukan kejahatan. Berbuat baiklah kerana kebaikan tersebut sebenarnya untuk diri kita sendiri.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan amal soleh, maka ganjarannya untuk dirinya sendiri." (Surah Al-Jathiyah: 15)

Tags: kebaikan, viral
Subscribe

Posts from This Journal “viral” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments