mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Dakwah dan bukan Islam

DAKWAH sering kali dikaitkan dengan usaha untuk mendampingi golongan bukan Islam supaya mereka dapat menerima mesej Islam.

Namun pemahaman dan sesetengah cara berdakwah kadangkala menimbulkan tanggapan bahawa ada yang tidak kena atau tidak betul dengan yang selain daripada kita yang sudah Islam dan mereka mesti diperbetulkan tentang pegangan, cara dan tamadun hidup atau mereka akan dilihat sebagai kekurangan dari segi kemanusiaan dan kehidupan mereka.

Semua manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah yang cenderung kepada kebaikan dan kemuliaan diri tidak kira apa jua jalan hidup yang diikuti. Setiap daripada kita yang bergelar insan tahu yang kebaikan adalah sifat jati diri walaupun ia adalah anak kecil yang belum mumaiyiz. Seorang yang mencuri umpamanya tidak akan mengatakan mencuri itu suatu perbuatan yang betul walaupun dia terpaksa mencuri untuk menyara keluarganya.

Sehubungan itu, mendekati mereka yang selain daripada kita perlu mengambil kira bahawa dalam diri setiap peribadi memang terdapat unsur-unsur positif yang menjadikannya bergelar manusia. Selain itu, kita perlu mengambil kira bahawa yang selain daripada kita juga mampu memiliki nilai-nilai diri yang lebih murni dan tinggi daripada apa yang ada pada kita.

Satu ketika dahulu kerajaan memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur untuk melihat etika kerja Jepun dan Korea supaya dapat mempelajari nilai-nilai yang dikatakan berupaya menghasilkan pekerja yang berdisiplin dan berdedikasi serta mempunyai swadaya dan daya saing yang tinggi. Namun ada pihak yang mempersoal langkah ini dan bertanya kenapa kerajaan tidak sahaja pandang kepada Islam yang juga boleh memberikan nilai-nilai yang serupa, malah lebih murni dari itu.

Di sini kita dapat melihat bahawa Islam dilihat sebagai tidak mempunyai kaitan dengan sesuatu kaum yang rata-ratanya bukan penganut Islam. Nilai-nilai kehidupan mereka dianggap sebagai asing kepada Islam selain daripada dianggap sebagai ‘inferior’ atau kurang murni berbanding dengan Islam.

Pandangan Islam sedemikian tidak melihat bahawa nilai-nilai etika kerja kedua bangsa ini adalah nilai-nilai Islam itu sendiri cuma ia mengambil rupa bentuk Jepun dan Korea.

Orang Jepun dan Korea dikenali dengan kerajinan serta taat setia mereka kepada majikan, pekerjaan dan produktiviti. Namun bekerja bagi orang Jepun dan Korea bukan semata tentang gaji. Ia bukan semata tentang periuk nasi. Ia bukan semata tentang ekonomi. Bagi mereka, bekerja adalah segala-galanya tentang erti wujud sebagai manusia. Bekerja adalah cara menjadi manusia.

Majikan, pekerja, pekerjaan dan produktiviti dikatakan berjaya apabila kesemua mereka mengamalkan falsafah dan cara bekerja yang melihat satu sama lain bagaikan sebuah keluarga besar yang perlu dijaga kesejahteraan bersama.

Justeru, nilai-nilai yang diamalkan dalam keluarga antara ibu bapa dan anak-anak seperti taat setia, tidak melakukan perkara yang mendatangkan malu serta melindungi ahli keluarga dari sebarang perkara yang boleh menggugat keharmonian bersama dipanjangkan kepada pekerjaan di mana majikan bagaikan ketua keluarga dan pekerja bagaikan ahli keluarga dan kedua-duanya mesti menjaga kesejahteraan bersama dengan mengamalkan nilai-nilai hidup sepertimana diamalkan antara ibu bapa dengan anak-anak.

Melakukan perkara seperti curi tulang dan curi waktu walaupun dianggap sebagai remeh oleh sesetengah pihak tetapi ia adalah sesuatu yang besar kepada majikan dan rakan sekerja malah adalah sesuatu yang memalukan kepada negara, bangsa dan keluarga dalam sistem kehidupan Jepun dan Korea. Tetapi lebih dari itu, ia adalah tanda-tanda kegagalan menjadi seorang manusia.

Dakwah pada hakikatnya adalah hubungan sesama manusia untuk bersama-sama menelaah tentang erti menjadi manusia dan cara menjadi manusia. Sehubungan itu, dakwah boleh bertindak untuk memperlihatkan kepada selain daripada kita yang mereka memiliki nilai-nilai yang sudah pun serasi dengan aspirasi Islam itu sendiri.

Tags: dakwah, islam
Subscribe

Posts from This Journal “dakwah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments