mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pendirian lima golongan mengenai ibadah solat

MENUNAIKAN solat lima waktu dengan penuh rasa insaf dan ketakwaan menandakan kita ingat kepada Allah Yang Maha Pencipta dan solat penuh ikhlas serta khusyuk mampu menghalang daripada perbuatan keji atau mungkar.

Menurut Muhammad Abdul Malik az-Zaghabi dalam bukunya Malang Kita Tidak Solat telah menjelaskan mengenai lima golongan yang menunaikan solat.

Pertama, mu'aqab bermaksud golongan yang diazab iaitu yang menunaikan solat, tetapi tidak melaksanakannya dengan sempurna.

Kumpulan atau individu daripada kelompok ini banyak mengabaikan perkara berkait rapat aspek syarat sah solat serta perkara berhubung rukun solat.

Selain itu, aspek taharah, wuduk dan penyucian diri tidak dipelihara dengan baik. Mereka hanya sekadar menunaikan solat dan sering melambat-lambatkan solat, ada kala tidak melaksanakannya.

Golongan itu termasuk apa yang disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka kecelakaan besar bagi orang ahli sembahyang (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya, (Juga bagi) orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadah dan bawaannya)." (Surah al-Maun, ayat 4-6)

Jemaah menunaikan solat fardu Magrib pada Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran bagi meraikan sambutan Jubli Emas 50 tahun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. NSTP/ Asyraf Hamzah


Muhasab ialah golongan yang dihisab yang rajin melaksanakan solat, menjaga atau menunaikan solat pada waktunya, menyempurnakan segala syarat, rukun dan aspek zahir solat dengan sempurna.

Aspek kebersihan diri, pakaian, tempat dan waktu cukup sempurna.

Gagal khusyuk

Satu aspek yang mencacatkan ibadah solat mereka ialah dari segi kekhusyukan atau kehadiran hatinya.

Gagal khusyuk dan fokus terhadap ibadah solat yang dilakukan, sebaliknya hati, perasaan dan tumpuan hilang entah ke mana menyebabkan hilang khusyuk.

Tahap ketiga ialah mukaffar anhu yang bermaksud diampunkan dosanya. Mereka ini lebih baik kerana sentiasa menjaga segala aspek berkaitan solat, melaksanakan segala yang wajib, rukun, sunat serta bersungguh-sungguh menjaga kesempurnaan solatnya.

Mereka sentiasa berwaspada menjaga kesempurnaan solat dengan memastikan hati, perasaan dan jiwa khusyuk supaya dapat mengatasi gangguan syaitan yang sekali gus boleh merosakkan solat mereka.

Keempat, mutsab iaitu orang yang diberi pahala kerana menunaikan solat serta diampuni oleh Allah SWT terhadap dosa mereka kerana golongan itu menunaikan solat dengan erti kata yang sebenar-benarnya, bukan sekadar menunaikan solat secara zahir sahaja.

Golongan bersolat dengan sempurna, menjaga segala syarat, rukun serta menjaga hati dalam solat.

Pada tahap ini seluruh anggota tubuh, fikiran dan hatinya berzikir kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku." (Surah Taha, ayat 14)

Kelima, muqarrib min rabbi yang bermaksud golongan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tahap ini adalah tahap paling sempurna dalam menunaikan solat. Mereka pada tahap ini menunaikan solat seolah-olah mereka bertemu atau berhadapan dengan Allah SWT.

Bersih daripada sifat was-was

Mereka meletakkan hati di hadapan Allah SWT penuh keikhlasan dan khusyuk. Hati mereka bersih dan jauh daripada sifat was-was atau gangguan syaitan.

Mereka adalah golongan yang disebut oleh Nabi SAW sebagai golongan muhsinin. Menjadi harapan kita untuk meningkatkan kualiti solat sebagai tanda kepatuhan, kesyukuran dan keimanan terhadap Allah SWT.

Dalam keadaan usia kian meningkat, maka menjadi kualiti solat juga semakin meningkat. Oleh itu, rugi dan malanglah bagi yang bersolat, tetapi solatnya tidak berkualiti disebabkan kelalaian serta tiada ilmu.

Sewajarnya kita memperbaiki kualiti solat serta menghayati firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-5)
Tags: bersih, khusyuk, solat
Subscribe

Posts from This Journal “solat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments