mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Wasatiyyah dan ibadat

APAKAH ibadat? Apakah skop dan cabang-cabangnya? Adakah semua ajaran Islam termasuk dalam pengertian ibadat atau tidak? Masyarakat perlu menyedari bahawa hidup ini adalah satu ibadah. Bermula daripada bangun tidur pada sebelah pagi sehinggalah tidur semula pada malamnya adalah ibadat, malahan tidur itu sendiri adalah suatu ibadah jika dilaksanakan dengan betul.

Imam Ibnu Taimiyah telah menjawab dengan suatu kupasan yang panjang dalam risalahnya yang terkenal, U’budiyyah. Beliau menjelaskan ibadat ialah nama yang menggabungkan setiap perkara yang disukai dan diredai oleh Allah SWT sama ada perkataan, perbuatan, batin atau zahir.


Skopnya luas, semua perkara baik adalah ibadah
SETIAP amalan atau kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada individu dan masyarakat juga dianggap sebaik-baik ibadat. - GAMBAR HIASAN -

Oleh itu solat, puasa, zakat, ibadah haji, bercakap benar, amanah, taat kepada ibu bapa, menghubungkan silaturahim, menepati janji, menyeru kepada kebaikan, mencegah keburukan, berbuat baik kepada jiran, bersimpati kepada anak yatim dan orang miskin, berdoa, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya adalah sebahagian daripada ibadat.

Seterusnya beliau menjelaskan bahawa ibadat juga termasuk cintakan Allah SWT dan Rasul-Nya, takut kepada-Nya dan merujuk sesuatu kepada-Nya, ikhlas dalam melaksanakan ajaran agama, bersabar menerima hukum-hukum Allah, bersyukur di atas segala nikmat-Nya, reda dengan qadak dan qadar-Nya, berserah kepada-Nya setelah berusaha dan berikhtiar, sentiasa mengharapkan rahmat-Nya dan takut azab seksa-Nya adalah sebahagian daripada ibadat.

SKOP LUAS

Daripada huraian ini jelas bahawa ibadat mempunyai skop yang luas. Ia meliputi amalan fardu dan syiar Islam yang wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji, begitu juga merangkumi perkara sunat yang menjadi tambahan kepada ibadat wajib tersebut seperti berzikir, berdoa, istighfar, tasbih, tahmid dan takbir.

Ibadat juga turut merangkumi budi bahasa yang baik dalam masyarakat dan menunaikan hak seperti taat kepada ibu bapa, menghubungkan silaturahim, berbuat baik kepada yatim piatu, orang miskin, pelarian, musafir, golongan lemah dan lain-lain. Selanjutnya ibadat meliputi akhlak yang mulia dan sifat-sifat yang utama seperti bercakap benar, menyempurnakan tugas dan amanah, menepati janji dan sebagainya.

Malah ibadat juga termasuk akhlak terhadap Allah, takut kepada-Nya, bersabar menerima dan menjalankan suruhan serta menjauhi larangan-Nya. Oleh itu, dapatlah ditegaskan bahawa ibadat dalam Islam meliputi semua urusan hidup seluruhnya. Islam menetapkan dengan jelas bahawa bidang ibadat dan kawasan kegiatannya amat luas meliputi semua jenis amalan baik dan berfaedah.

Setiap amalan atau kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada individu dan masyarakat dianggap sebaik-baik ibadat. Islam sentiasa mengajar supaya berlumba-lumba berbuat baik dalam masyarakat dan memperbanyakkan membuat kebaikan sesama manusia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia,” - Riwayat al-Tabarani.

Oleh itu, kerja-kerja kemasyarakatan atau aktiviti sosial adalah suatu aspek jihad dalam kehidupan berjemaah. Islam agama yang lengkap dan sempurna yang merangkumi urusan keduniaan dan keakhiratan.

KERJA-KERJA KEMASYARAKATAN

Di sini, aktiviti sosial dan kerja amal perlu diberi penumpuan oleh anggota masyarakat Islam di negara kita sama ada di peringkat individu mahupun organisasi, seiring bersama dengan aktiviti-aktiviti keagamaan yang bercorak ibadat khusus. Kita tidaklah menafikan kebaikan dan minat yang dilakukan oleh orang ramai dalam melaksanakan ibadat-ibadat khusus ini, tetapi apa yang hendak ditimbulkan di sini ialah membangkitkan minat masyarakat Islam dalam melaksanakan tuntutan ibadat-ibadat umum seperti kerja-kerja kemasyarakatan ini supaya ia berjalan seiring dengan ibadat-ibadat khusus.

Al-Quran dan al-Sunah banyak sekali merakamkan ayat dan hadis yang menganjurkan supaya umat Islam membuat kebajikan dalam masyarakat, malah ia merupakan suatu tanggungjawab dan kewajipan orang Islam sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“Wahai orang yang beriman, rukuklah, sujudlah, sembahlah Tuhan kamu dan buatlah kebajikan supaya kamu beroleh kejayaan,” (Surah al-Hajj : 77).

Begitu juga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Mahukah kamu sekiranya aku memberitahu kamu tentang amalan yang lebih utama daripada puasa, solat dan sedekah ? Lalu para sahabat menjawab: ‘Kami mahu wahai Rasulullah. Lalu Baginda SAW bersabda: Iaitu amalan atau usaha membaiki hubungan yang terputus antara dua pihak yang bertentangan kerana keburukan perpecahan itu adalah pencukur,” - Riwayat Tirmizi

Begitu juga diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ada menceritakan :

“Ada seorang berjalan, tiba-tiba ia melihat ranting berduri di tengah-tengah jalan, lalu ia pun membuangnya dari situ, maka Allah mengenang jasanya, lalu mengampuni dosanya,” - Riwayat Bukhari

TELADAN

Sirah turut merakamkan Rasulullah SAW dikenali sebagai seorang yang dermawan dan baik hati. Baginda melibatkan dirinya membuat kebajikan dan memberi pertolongan kepada masyarakat. Dalam konteks dunia kini, dakwah dalam pengertian menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran perlu difahami dengan pengertian yang lebih praktikal.

Amar ma’ruf dijalankan secara khidmat, amal bakti dengan teladan, saranan dan turun ke lapangan. Nahi mungkar dilaksanakan dengan kritikan jujur yang membina, dilengkapi data, fakta dan angka yang diperoleh daripada hasil penyelidikan dan disampaikan dengan cara merangsangkan fikiran manusia serta membuka pintu hati mereka. Setiap anggota masyarakat perlu memberi penumpuan kepada kerja-kerja sosial seperti ini sama seperti penumpuan mereka kepada ibadat khusus mengerjakan ibadah solat, puasa, zakat, haji, zikir, membaca Quran dan sebagainya.

Inilah pendekatan wasatiyyah yang menganjurkan ajaran Islam secara berimbang dan syumul di segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan mempertingkatkan kualiti hidup ummah di bidang pembangunan ilmu pengetahuan, pembangunan insan, perpaduan, ekonomi dan kewangan, undang-undang dan kenegaraan, pertahanan dan sebagainya.

Tags: ibadah, wasatiyyah
Subscribe

Posts from This Journal “ibadah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments