mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 29 Januari 2016M/ 19 Rabiulakhir 1437H JAWI

Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera

Tarikh 1 Februari 1974 telah mencatatkan peristiwa yang penting dalam pembentukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia dan Wilayah Persekutuan yang pertama sebelum turut disertai oleh Labuan pada 16 April 1984 dan Putrajaya pada 1 Februari 2001.

Kehidupan bandar yang diasaskan oleh mereka pada era itu, telah berjaya mencorakkan tamadun Islam yang berpaksikan alQuran dan al-Sunnah. Umat Islam berjaya melahirkan berbagai institusi berbentuk sosial, politik, ekonomi dan kebudayaan yang membentuk mereka menjadi masyarakat madani, seterusnya bersinar menjadi rujukan dunia, malah jauh mengatasi tamadun-tamadun lain yang mundur ke belakang.

Apakah kita hanya memerhati, berkecuali tanpa bertindak apa-apa? Apakah erti kemodenan bandaraya yang sebenarnya? Apakah penyelesaiannya menurut Islam? Apakah sikap dan peranan yang perlu kita lakukan?

Bandar Madinah al-Munawwarah merupakan manifestasi secara langsung daripada konsep tauhid dalam Islam dan mempengaruhi setiap tindak warganya. Ia tertegak atas prinsip akidah, pemikiran dan disiplin berasaskan syariat. Wilayah Persekutuan terkenal sebagai pusat mencari rezeki dalam kalangan warganya. Pelbagai pekerjaan, perkhidmatan dan perniagaan rancak beroperasi sepanjang masa.

Firman Allah SWT menerusi potongan ayat 2, surah al-Maidah.Bermaksud: “...Dan hendaklah kamu saling membantu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu saling membantu untuk melakukan dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya azab Allah sangat berat.”

Pelbagai usaha telah dan sedang diusahakan bagi memastikan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan terjamin.Program Task Force Kebersihan telah diwujudkan untuk menambahbaik kebersihan persekitaran dan kawasan kediaman. Justeru, komitmen daripada semua pihak terutamanya warga wilayah adalah diperlukan. Setiap warga bertanggungjawab dalam memastikan bandar ini terus dalam keadaan sejahtera.

Pengorbanan tenaga, masa dan harta dengan hanya mengharapkan balasan daripada Allah SWT semata-mata adalah faktor utama kejayaan mereka. Hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 90:Bermaksud: “Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutilah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka. Katakanlah: Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi sekalian alam.”

Antara ruang terpenting bagi membangun dan mencorakkan bandaraya menurut Islam adalah dengan mengoptimumkan peranan dan institusi masjid.

Institusi masjid adalah pusat ibadat dan kebudayaan Islam yang paling berpotensi. Ia mampu melahirkan tokoh yang berwibawa dalam semua bidang kehidupan masyarakat. Dengan kewibawaan Islam, kemakmuran masjid berupaya membina semula bandaraya dan membangunkan masyarakatnya menjadi maju, sejahtera, aman, dan berakhlak mulia.

Perkara pokok dalam urusan ibadah ialah solat. Berapa ramai dalam kalangan warga kota hari ini yang telinganya sensitif dan peka terhadap seruan azan? Berapa ramaikah dalam kalangan warga kota hari ini yang membuat tindakan proaktif untuk ke masjid bagi menunaikan solat fardu? Sesebuah masjid tidak dikategorikan sebagai makmur sekali pun pelbagai program telah dianjurkannya, namun bilangan jemaah solat fardunya amat menyedihkan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin merumuskan beberapa perkara untuk renungan kita bersama.

Pertama: Sejarah kemakmuran Makkah dan Madinah adalah model unggul dalam pembentukan bandaraya Islam yang sewajarnya dijadikan rujukan dalam pembentukan bandaraya-bandaraya Islam.

Kedua: Asas kecemerlangan warga kota adalah membudayakan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, yang menuntut penglibatan semua pihak dalam pembangunan modal insan.

Ketiga: Warga kota hendaklah mendokong usaha-usaha yang telah dan sedang diusahakan bagi melahirkan Wilayah yang ceria dan rakyat yang sejahtera.

Firman Allah SWT dalam surah Saba’, ayat 15: Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, suatu tanda (yang membuktikan Pemurahnya Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka (iaitu); terdapatnya dua kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan sebelah kiri (mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.”

Wallahualam.
Tags: khutbah, sejahtera
Subscribe

Posts from This Journal “sejahtera” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments