mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jaga-jaga biayai kegiatan agama

ELOKLAH kita jadi tuan rumah sidang antarabangsa berkenaan keganasan dan pulihkan balik orang yang kena indoktrinasi sampai jadi pelampau dan pengganas.

Tak salah kita bertukar-tukar maklumat dan belajar daripada satu sama lain. Tapi yang lebih penting kita laksanakan apa yang kita pelajari.

Jangan setakat seronok bersidang dan hangat-hangat tahi ayam saja. Kunta Kinte setuju sangat-sangat dengan titah Sultan Perak yang kata, agama boleh cetus kacau-bilau apabila disalahgunakan untuk tujuan politik.

Ia boleh jadi asas perpaduan atau bom jangka. Kita dah tengok dengan mata kepala kita sendiri macam mana agama digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan politik sampai sanggup tuduh sesama Islam kafir.

Kita pun dah tengok macam mana hasutan dan indoktrinasi agama di negara kita buatkan orang Islam jadi sesat sampai sanggup derhaka kepada raja, merompak dan membunuh.

Itu ajaran sesat yang bersifat tempatan. Sekarang kita hadapi masalah indoktrinasi ajaran sesat peringkat antarabangsa.

Hal ini dipermudah dan diperluaskan oleh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dalam keadaan sekarang, kita kenalah lebih berhati-hati bila nak buat baik untuk agama sebab takut apa yang kita buat jadi punca keganasan dan sikap melampau.

Niat baik berubah jadi buruk

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, kadang-kadang kita sendiri yang ambil sikap sambil lewa bila buat amal jariah. Kita sangka bila niat kita baik hasilnya pun baik juga.

Tak semestinya macam itu. Tujuan kita baik bagi derma dan sedekah.

Tapi oleh sebab kita tak pantau, niat baik kita berubah jadi keburukan. Kunta Kinte tahu sejak 20-30 tahun lalu ramai orang Islam yang berjaya buat macam-macam amal jariah.

Ada yang bagi zakat sampai berjuta-juta ringgit. Ada yang bagi derma kepada madrasah, masjid dan surau. Ada yang bagi sedekah kepada rumah anak yatim dan pusat tahfiz.

Tapi pasal kurang pemantauan dan percaya bulat-bulat kepada pengerusi rumah anak yatim, masjid, madrasah, surau dan pusat tahfiz, banyak sedekah tak menjadi, sebaliknya bawa keburukan.

Kita dah dengar cerita ada orang berebut nak jadi pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid bila tahu sesebuah masjid itu dapat banyak derma, sedekah dan wakaf.

Kita kena ingat bukan semua orang yang berkhidmat dengan masjid, surau, ma- drasah, rumah anak yatim dan pusat tahfiz niat mereka bersih. Jadi kita kenalah berhati-hati.

Yang Kunta Kinte susah hati adalah institusi-institusi agama dan kebajikan Islam disalah guna untuk tujuan menghasut dan seterusnya melatih orang Islam yang cetek pengetahuan agama, khususnya remaja, jadi pelampau dan pengganas.

Benda ini dah banyak kali berlaku di negara kita. Ada yang serang balai polis dan kem tentera, rompak bank dan bunuh orang tak berdosa.

Tapi nampaknya kita mudah lupa dan lebih banyak bercakap daripada bertindak. Oleh sebab sekarang ini sikap melampau dan keganasan dah jadi aliran global akibat ICT, kita kenalah lebih berhati-hati, cekap dan cepat bertindak.

Masalah kita bila kena timpa bala baru terhegeh-hegeh nak belajar dan ambil tahu sedangkan benda yang berlaku itu dah jadi berulang kali.

Serangan ke atas Masjidilharam

Kunta Kinte nak ambil contoh serangan oleh fanatik agama ke atas Masjidilharam pada tahun 1979. Kalau Masjidilharam pun mereka sanggup serang, apatah lagi tempat-tempat lain.

Berapa orang dalam kalangan kita agaknya tahu atau ingat kejadian itu?

Kunta Kinte ingat sebab masa itu dah 10 tahun jadi pemberita dan bekerja di The New Straits Times Press, Jalan Riong.

Ikut laporan media massa antarabangsa dan Arab Saudi, antara 400 dan 500 fanatik, termasuk wanita dan kanak-kanak, langgar dan takluki Masjidilharam pada 20 November 1979 bersamaan 1 Muharam 1400.

Mereka tuntut pemerintahan Keluarga Saud ditumbangkan tapi pada masa sama, mereka dakwa salah seorang daripada mereka adalah Imam Mahdi.

Ketua mereka seorang bekas anggota tentera Arab Saudi dan daripada keluarga ternama di wilayah Najad. Nama dia Juhayman al-Otaybi.

Dia seorang mubaligh, koperal dalam Pengawal Kebangsaan Arab Saudi dan pelajar kepada Sheikh Abdel Aziz al-Baaz, Mufti Besar Saudi.

Dia isytihar yang abang iparnya, Mohammed Abdullah al-Qahtani adalah Imam Mahdi. Mereka dipercayai dapat bantuan anasir dalam pasukan Pengawal Kebangsaan Arab Saudi yang telah dipesongkan.

Jadi persenjataan mereka lengkap.

Pada waktu Subuh 20 November itu, ketika Imam Sheikh Mohammed al-Subayil bersedia pimpin 50,000 jemaah untuk sembahyang Subuh, mereka langgar dan bunuh dua orang polis tak bersenjata.

Mereka kuasai Masjidilharam selama dua minggu. Angka rasmi kata, seramai 255 jemaah, anggota tentera dan pengganas terbunuh, manakala 560 lagi cedera dalam pertempuran.

Lepas mereka dikalahkan, Raja Arab Saudi minta fatwa daripada ulama kanan Arab Saudi. Mereka gariskan tujuh kesalahan, iaitu langgar kesucian Masjidilharam, langgar kesucian bulan Muharam, bunuh saudara Islam, ingkar kepada pemerintah yang sah, menghalang solat di Masjidilharam, kesilapan mengenal pasti Mahdi dan mengeksploitasi orang awam untuk tujuan jenayah.

Al-Qahtani terbunuh. Juhayman dan 67 orang pengikutnya ditawan.

Mereka dibicarakan dan dijatuhkan hukuman pancung. Pada 9 Januari 1980, 63 pemberontak jalani hukuman pancung di khalayak ramai di lapan buah bandar di Arab Saudi iaitu Buraidah, Dammam, Makkah, Madinah, Riyadh, Abha, Ha'il dan Tabuk.

Sedihnya, ramai dalam kalangan fanatik yang terbabit itu diasuh dan dibiayai oleh institusi-institusi Kerajaan Arab Saudi sendiri dan ditokok tambah oleh derma orang kaya negara itu. Wallahuaklam.
Tags: agama, niat
Subscribe

Posts from This Journal “niat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments