mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Waspada terhadap sumber yang haram

DALAM era globalisasi melalui pelbagai aspek, khususnya ekonomi kian merudum memberikan satu cabaran kepada kita untuk berusaha menjana sumber pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat.

Jika kita tidak berwaspada terhadap sumber yang haram, maka kita mudah terjebak dengan instrumen pembiayaan pinjaman berasaskan riba, kita juga mungkin akan terjebak dengan skim pelaburan tidak patuh syariah. Ini semua terjadi apabila kita meletakkan keuntungan melebihi syariat yang digariskan ALLAH SWT.

Kini, skim pelaburan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dengan motif menjerat mangsa. Masalah yang timbul ialah, sikap masyarakat kita sendiri yang meletakkan keuntungan sebagai neraca pertimbangan dalam membuat keputusan. Seharusnya apabila mendengar perihal pelaburan yang ditawarkan kepada kita, perkara pertama yang perlu selidiki ialah adakah ia patuh syariah, adakah produk ataupun instrumen pelaburan itu diperakui oleh badan berautoriti seperti Suruhanjaya Sekuriti Syariah.

Dewasa kini masyarakat kita perlu  peka dan berhati-hati terhadap skim pelaburan sedia ada, kerana strategi pemasaran yang dijalankan cukup berkesan untuk menarik pelanggan, ada yang sanggup mengaburi pengguna Muslim dengan taktik menggunakan jenama patuh syariah dan mengaku mempunyai penasihat syariah yang memberikan perakuan terhadap operasi syarikat yang dijalankan.

Berbalik kepada topik di atas, penulis ingin membawakan kisah teladan sahabat Baginda SAW, Abu Bakar As-Siddiq. Beliau di antara sahabat yang termasuk dalam golongan As Sabiqunal Awwalun. Abu Bakar digambarkan sebagai seorang yang memiliki tahap keimanan yang tinggi. Disebutkan dalam satu riwayat di mana Umar bin Al-Khattab RA memuji Abu Bakar dengan mengatakan: "Sekiranya keimanan Abu Bakar ditimbang dengan keimanan penduduk bumi (selain  Rasulullah SAW), sungguh keimanan Abu Bakar lebih berat daripada keimanan penduduk bumi." (Diriwayatkan dengan sanad yang sahih Al-Baihaqi dalam Syu'abul Iman)

Kisah ini memaparkan sikap berhati-hati Abu Bakar ketika mana berdepan dengan perkara yang halal dan haram. Abu Bakar mempunyai seorang hamba, suatu hari hamba tersebut membawa makanan kepadanya, lantas Abu Bakar memakan makanan tersebut. Hamba tersebut kemudian bertanya kepada Abu Bakar: "Adakah anda mengetahui apa yang dimakan ini?" Lantas Abu Bakar bertanya semula dari mana asalnya makanan tersebut. Hamba itu kemudian menceritakan ketika zaman jahiliahnya melakukan amalan perdukunan, sedangkan dia tidak mempunyai kemahiran tersebut malah melakukan penipuan. Kemudian datang seseorang untuk menjalani pengubatan melalui amalan perdukunan itu, orang tersebut memberikan hadiah berupa makanan, dan makanan itulah yang dihidangkan kepada Abu Bakar.

Setelah mendengar penjelasan itu, Abu Bakar memasukkan jari tangan ke dalam mulut, lalu memuntahkan semua makanan yang ada dalam perut beliau." (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan kisah itu dapatlah kita mengambil beberapa pengajaran untuk diaplikasikan dalam kehidupan ini.

Tingginya iman sahabat

Seperti yang dijelaskan pada awal tadi ketinggian iman Saidina Abu Bakar dipuji sendiri oleh Umar. Ketakwaan mereka kepada ALLAH juga dizahir bukan sahaja pada amalan anggota badan tetapi kekukuhan ketakwaan dalam hati beliau.

Imam Abu Bakar bin Ayyasy salah seorang ulama tabi’in mengatakan: "Tidaklah Abu Bakar mendahului kalian dalam aspek kebaikan seperti banyak berpuasa dan solat, akan tetapi kerana sesuatu kesempurnaan iman dan takwa dalam hati beliau." (Mifta Daris Sa'adah, Ibnul Qayim)

Sikap berhati-hati yang ditunjukkan  Abu Bakar adalah satu teladan kepada kita, ketinggian  keimanan dalam hatinya ditamsilkan melalui perbuatan zahirnya. Seseorang yang mempunyai keimanan dan sifat ketakwaan yang tinggi akan terus dipelihara ALLAH.

Salah satu penerapan sikap warak ialah menjauhi perkara-perkara syubhah dalam semua hal. Dalam sebuah hadis riwayat Tirmizi, Rasulullah SAW menyebutkan salah satu tanda keislaman seseorang ialah jika dia meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat baginya.

Al-Imam Ibnu Qayyim RHM dalam kitab Madarijus Salikin ketika menjelaskan pengertian warak berdasarkan hadis ini berkata: "Di antara yang termasuk dalam meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat itu meliputi pendengaran, perkataan, penglihatan, pemikiran dan lain-lain hal sama ada zahir mahupun batin. Dalam kitab yang sama - Madarijus Salikin, Ibrahim bin Adham memberikan pengertian warak sebagai meninggalkan perkara syubhah termasuk juga hal-hal yang tidak bermanfaat.

Amalan bomoh dilarang Islam

Apa yang diertikan sebagai amalan perdukunan dalam kisah ini merujuk kepada ramalan kejadian yang bakal berlaku pada masa akan datang tanpa bukti yang mampu mengesahkan ramalan tersebut. Hal ini jelas membawa kepada kekufuran, ramalan terhadap hal-hal bersifat ghaib, apatah lagi dengan bantuan jin yang kadang kala 'dijenamakan' dalam masyarakat kita sebagai bantuan jin Islam, pendamping, dan lain-lain nama yang membawa kepada maksud yang sama.

Amalan perdukunan dalam segala bentuk adalah satu bentuk amalan tercela. Tegahan untuk mendatangi dukun dan tukang tilik sudah jelas apatah lagi mempercayainya, kerana ini semua termasuk dalam kelompok dosa besar.

Sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang datang kepada tukang tilik (orang yang mengaku mengetahui perkara ghaib, mencakupi dukun/bomoh dan ahli sihir), kemudian menanyakan sesuatu perkara kepadanya, maka tidak akan diterima solat seseorang itu selama empat puluh malam (hari)." (Riwayat Muslim)

Begitu dahsyat ancaman Baginda SAW mengenai hal ini. Akhir sekali, semoga kita sama-sama berusaha meningkatkan ketakwaan dan nilai keimanan kepada ALLAH. Dialah sang pemilik dan pemberi rezeki Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Tags: halal, haram, sumber
Subscribe

Posts from This Journal “sumber” Tag

  • Menghargai air sebagai sumber kehidupan

    AIR adalah sumber penting dalam kehidupan. Di dalam al-Quran, ayat 30, surah al-Anbiya’ menjelaskan dengan maksudnya: “... dan Kami…

  • Mata air salsabil

    SELEPAS Allah SWT menyebut tentang makanan penghuni syurga dan pakaian mereka, maka Allah SWT menambahkan pula gambaran tentang tempat tinggal serta…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments