mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ “Tabayyun”

Petikan Khutbah Jumaat 05 Februari 2016: JAIS

“Tabayyun”

Tabayyun bermaksud proses seseorang untuk menyelidik, menyiasat dan mengkaji bagi mengesahkan sesuatu berita atau maklumat yang diterima daripada sumber yang pasti sebelum mengambil sesuatu tindakan atau membuat sesuatu keputusan sama ada ianya benar atau palsu.

Hukum tabayyun ini adalah wajib. Ia berdasarkan arahan Allah dalam ayat yang dibacakan pada awal khutbah tadi, daripada surah Al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Merujuk kepada asbabunnuzul atau sebab turunnya ayat ini, Al-Imam Al-Wahidi menyatakan ayat ini diturunkan mengenai peristiwa Al-Walid bin 'Uqbah yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW pergi mengutip sedekah atau zakat daripada Bani Mustoliq. Apabila hampir sampai ke perkampungan mereka, Al-Walid mendapati Bani Mustoliq sudah riuh rendah berkumpul di pintu masuk kampung. Al-Walid yang tersalah anggap terhadap kaum tersebut berpatah balik ke Madinah dan melaporkan kepada Rasulullah SAW bahawa Bani Mustoliq enggan mengeluarkan sedekah dan sebaliknya mahu membunuhnya. Sebaik saja mendengar kata-kata Al-Walid, Baginda SAW terus mengarahkan agar qabilah tersebut diperangi. Namun datang pula rombongan Bani Mustoliq bertemu Baginda SAW dan memberitahu yang sebenarnya mereka bukannya berkumpul untuk membunuh Al-Walid, sebaliknya berkumpul dan menunggu kedatangan wakil daripada Rasulullah SAW untuk diserahkan sedekah ataupun zakat mereka.

Ayat 6 surah Al-Hujurat ini sebagai panduan kepada Baginda SAW, dan umat selepas Baginda, untuk memeriksa, menyelidik dan menyiasat setiap berita yang diterima sebelum mengambil apa-apa tindakan .

Sesungguhnya tindakan yang diambil selepas berlakunya proses tabayyun insya-Allah akan menjadi tepat dan tidak akan memudaratkan mana-mana pihak yang berkaitan.

Jika proses tabayyun atau siasatan menyeluruh tidak dijalankan, maka sudah pasti tindakan susulan yang diambil tanpa usul periksa itu akan menghasilkan keburukan, ketidakadilan, pertelingkahan, perceraian, permusuhan, malah mungkin menyebabkan peperangan.

Sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak berita dan maklumat tidak benar tersebar terutamanya melalui internet dan telefon bimbit. Ada maklumat berupa fitnah, ada yang bersifat spekulasi atau andaian, ada yang sengaja dibuat-buat kononnya sebagai hiburan dan lawak semata-mata. Ada juga yang bersifat kecaman dan tuduhan melulu. Ada juga yang bermotifkan populariti, mahu jadi terkenal.

Sebenarnya, ada hadis yang melarang perbuatan menyebarkan semua perkara yang didengar ini. Orang seperti ini juga boleh dianggap jatuh dalam kumpulan atau kategori seorang penipu. Ianya adalah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Cukuplah bagi seseorang itu mendapat dosa sekiranya dia menceritakan kembali semua yang didengarinya (tanpa tapisan)”. (Riwayat Muslim).

Mahukah kita dianggap penipu? Amat besar dosanya sebagai seorang penipu. Melakukan penipuan ini adalah salah satu daripada sifat orang-orang munafiq. Orang munafiq pula, tempatnya di neraka. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Tanda orang-orang munafiq itu ada tiga: apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia memungkirinya, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya”. (Riwayat al-Bukhari).

Sebagai pengajaran daripada khutbah hari ini, sama-samalah kita memberikan perhatian serius kepada perkara-perkara berikut:

1. Buatlah pencerahan terlebih dahulu terhadap berita-berita dan maklumat-maklumat yang kita terima dengan merujuk kepada sumbernya yang betul.

2. Berhati-hatilah dan jangan bertindak terburu-buru apabila mendapat maklumat atau aduan sehinggalah maklumat tersebut terbukti benar lagi sahih.

3. Jangan sekali-kali kita mereka-reka cerita, ataupun menyebarkan berita yang belum dipastikan kesahihannya

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”. (Surah al-Isra’ : 36).

Wallahualam.
Tags: khutbah, tabayyun
Subscribe

Posts from This Journal “tabayyun” Tag

  • Khutbah Jumaat: Teliti sebelum sebar

    Petikan Khutbah Jumaat: 17 Mac 2017 JAKIM Teliti sebelum sebar Komunikasi adalah salah satu keperluan manusia yang sangat penting dalam berkongsi…

  • Fiqh tabayyun mendepani fitnah liberalisme

    Penelitian di media sosial kebelakangan ini amat membimbangkan. Komen mahupun pendapat fahaman liberalisme ekstrem dikesan di Facebook, Twitter,…

  • Praktikkan fiqh tabayyun

    FIQH adalah salah satu bidang ilmu dalam syariat Islam yang membahaskan persoalan hukum kehidupan manusia sama ada individu mahupun bermasyarakat.…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments