mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Bahaya sifat munafik

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang mengingatkan kita supaya menjauhi sifat munafik dan memerintahkan supaya berakhlak mulia.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Empat sifat barang siapa memiliki kesemuanya, dia telah menjadi orang yang benar-benar munafik. Dan barang siapa memiliki salah satunya, dia memiliki salah satu sifat munafik sehingga dia meninggalkan sifat tersebut. (Empat sifat tersebut adalah) Jika dia berbicara dia berdusta, jika diberi amanah dia khianat, jika berselisih pendapat dia melampaui batas dan jika berjanji dia mungkiri." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Ternyata sifat munafik adalah penyakit yang berbahaya yang mengundang kemurkaan ALLAH dan azab-Nya. Justeru, setiap Muslim perlu muhasabah dirinya dengan hadis ini untuk melihat sama ada dia bebas daripada sifat-sifat ini atau tidak.

Erti munafik & jenisnya 

Munafik atau nifak mengikut definisinya adalah perbuatan menampakkan yang baik dan menyembunyikan yang buruk.

Nifak terbahagi kepada dua jenis:

Jenis Nifak yang pertama adalah: Nifak besar atau nifak I'tiqadiyyah (kepercayaan) iaitu seseorang itu menzahirkan beriman kepada ALLAH, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya dan hari akhirat sedangkan dalam hati dia menyembunyikan kekufurannya terhadap kesemua atau sebahagian daripada perkara-perkara tersebut.

Inilah sifat munafik yang al-Quran turun dengan mencela orang-orangnya, menghukum mereka sebagai kafir dan menetapkan mereka akan ditempatkan di kerak api neraka. ALLAH menyifatkan mereka dengan semua sifat-sifat yang buruk bermula dengan kekufuran, tidak beriman, mempermainkan agama Islam dan penganutnya serta kecenderungan mereka kepada musuh-musuh agama memandangkan mereka sama-sama memusuhi Islam dan orang-orang Muslim. Mereka sentiasa berusaha mewujudkan permusuhan dalam kalangan masyarakat Islam.

Mereka bakhil kedekut, hina dan bodoh. Cuma pada zahirnya mereka tampak rupawan, sihat tubuh badan, pakaian bersih dan manis berbicara. Tetapi realitinya hati mereka busuk penuh dengan sifat takabbur, hasad, riyak dan penyakit-penyakit hati yang lain.

Firman ALLAH SWT: "Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka; dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih). (Sedangkan) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana berasa bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas curiga) menyangka setiap jeritan panggilan adalah untuk membahayakan mereka (membongkar hakikat mereka). Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. ALLAH memerangi mereka. Bagaimana mereka dipalingkan (daripada kebenaran)?." (Surah Al-Munafikuun: 4)

Ternyata ALLAH telah membongkar hakikat mereka dalam Surah Bara'ah dan surah-surah yang lain dalam al-Quran.

Jenis nifak yang kedua adalah: Nifak kecil (nifak Amaliyyah (Perbuatan)) iaitu seseorang itu menzahirkan suatu yang baik tetapi dalam masa yang sama menyimpan dalam hati apa yang sebaliknya yang berupa penipuan dan pengkhianatan. Hal ini yang disebutkan dalam hadis di awal tadi.

Walaupun jenis nifak ini tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara total, tetapi ia adalah jalan menuju ke arah nifak besar yang menghala ke arah kekufuran dan kejahatan.

Dasar sifat munafik

Dasar sifat munafik adalah empat sifat yang dinyatakan dalam hadis di awal tadi. Antaranya adalah berbohong: "Jika dia berbicara dia berdusta" kata Nabi SAW. Dan seburuk-buruk pembohongan adalah berbohong atas nama ALLAH dan Rasul-Nya. ALLAH berfirman dalam Surah Al-Saf ayat 7.

Dan di antara perbuatan berbohong adalah dengan mengatakan ini halal dan ini baik atau ini haram dan ini buruk tanpa dalil daripada al-Quran atau sunnah. Begitu juga dalam menyebarkan suatu berita yang diterima tanpa soal periksa.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Cukuplah seseorang itu dikira pembohong apabila dia menceritakan segala yang dia dengar." (Riwayat Muslim)

Wajarlah kita berhati-hati dalam soal berbohong kerana ia akan menarik kita ke arah kejahatan yang lebih besar. Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada ALLAH dan pastikan kamu bersama golongan yang benar." (Surah Al-Taubah; 119)

Sifat munafik yang kedua adalah: "Jika diberi amanah dia khianat." Iaitu sekiranya dia diberi amanah dalam bentuk wang, hak-hak tertentu atau rahsia, dia tidak menjaganya. Sebaliknya dia akan menggunakan wang tersebut, mengingkarinya, melanggar hak-hak atau membuka rahsia tersebut. Begitu juga sekiranya dia diberi tanggungjawab yang berkait dengan mengurus tadbir maslahat orang Islam, dia tidak menunaikan tanggungjawab tersebut dengan baik. Dia mengambil mudah tugasnya atau menerima rasuah sehingga mengganggu maslahat-maslahat orang Islam.  

Sifat munafik yang ketiga adalah: "Jika berselisih pendapat dia melampaui batas." Maksudnya dia tidak mempedulikan harta dan hak-hak orang lain sehingga sanggup berhujah dan berdebat dengan kebatilan untuk memakan harta orang lain. Dia sanggup membawa saksi palsu di hadapan hakim, bersumpah walaupun dengan menyebut nama ALLAH, mengemukakan dokumen-dokumen palsu dan sebagainya.

Dengan kepetahan berhujah, dia akan berusaha untuk menang dengan apa jua cara dan membuatkan orang yang mendengar hujahnya menyangka dia di pihak yang benar. Akhirnya dia menampakkan kebatilan dan rupa bentuk yang hak, manakala yang hak digambarkan sebagai batil. Hal ini termasuk dalam seburuk-buruk kejahatan dan sejelik sifat munafik.

Sifat munafik keempat pula adalah: "Jika berjanji dia mungkiri." Maka dia memungkiri janji-janjinya sama ada dengan ALLAH mahupun dengan manusia. Dia tidak menunaikan janji yang ALLAH perintahkan supaya ia ditunaikan. Sebagaimana firman ALLAH: "Dan tunaikanlah perjanjian (dengan ALLAH dan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya." (Surah Al-Israa’; 34)

ALLAH SWT berfirman: "Dan sempurnakanlah perintah-perintah ALLAH apabila kamu berjanji." (Surah Al-Nahl: 91)

Umat Islam dilarang memungkiri janji walaupun dengan orang kafir. Kita diperintahkan supaya sentiasa mengotakan janji. Bagaimana pula janji kita dengan sesama saudara Muslim, apatah lagi dengan pemerintah. Begitu juga perjanjian-perjanjian yang telah dicapai dalam perniagaan, sewa menyewa dan seumpamanya. Kesemuanya perlu dikotakan. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Setiap pengkhianat akan mengibarkan bendera masing-masing yang menyatakan: Ini adalah pengkhianatan terhadap si fulan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Penyakit hati

Sesiapa terhimpun padanya sifat-sifat buruk berbohong, khianat, melampaui batas dalam perselisihan dan memungkiri janji, tiada lagi iman dalam hatinya dan dia benar-benar menjadi orang munafik. Umpama penyakit kronik yang sekiranya menghinggapi badan seseorang maka akan binasalah orang tersebut.

Adapun sekiranya seseorang itu memiliki salah satu daripada sifat tersebut, dia dikira orang beriman yang mempunyai sifat munafik. Jika sifat munafik ini terus dibiarkan, dikhuatiri akhirnya sifat tersebut akan membarah dan memakan saki baki iman yang ada di hati. Seperti virus berbahaya apabila ia masuk ke dalam badan seseorang.

Begitulah keadaan seseorang Muslim. Maka hadis yang menyebutkan sifat orang munafik ini secara tidak langsung menganjurkan supaya kita segera bertaubat meninggalkan sifat buruk tersebut dan memastikan kita sentiasa memakai pakaian orang bertakwa agar iman di hati kita terzahir dalam, luar percakapan dan perbuatan.

Tags: munafik
Subscribe

Posts from This Journal “munafik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments