mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Imam & muazin perlu kredibiliti, sahsiah unggul

SABDA Nabi Muhammad SAW: "Seorang imam adalah penjamin dan muazin adalah orang yang diamanahkan." Rasulullah SAW mendoakan: Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada imam dan ampunilah orang yang melaungkan azan." (Riwayat Abu Daud & At-Tirmizi)

Peranan imam dan muazin bukan sahaja mengimarahkan institusi masjid atau surau malah lebih bertanggungjawab kepada sumber pembangunan masyarakat setempat ke arah kecemerlangan.

Menyedari pentingnya kedua-dua peranan tersebut, satu kursus imam dan muazin telah dilangsungkan di dewan seminar Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim baru-baru ini.

Kursus selama dua hari itu dianjurkan bersama Jabatan Agama Islam Slim River berjaya menarik perhatian 50 peserta dalam kalangan imam dan muazin masjid serta surau sekitar daerah Mualim.

Antara objektif kursus ini diadakan adalah untuk melahirkan imam dan muazin yang mempunyai kredibiliti dan sahsiah terunggul kepada semua komuniti Islam selain berketerampilan dan berkebolehan dalam menyelesaikan segala permasalahan dalam kalangan masyarakat setempat.

Program kursus dibahagi kepada dua slot iaitu slot ceramah dan slot praktikal yang kesemua tenaga pengajarnya terdiri daripada pensyarah UPSI sendiri.

Ceramah pertama disampaikan Ustaz Dr Mohd Noor Daud bertajuk tugas-tugas imam, dan antara slot yang ditekankan ialah ilmu fiqh semasa solat berjemaah bermula dari adab sebelum solat, dalam solat, adab dalam bacaan, adab dalam mengerjakan rukun-rukun sehingga kepada adab selepas memberi salam. Menyaringkan takbir, bacaan iktidal serta salam supaya makmum mengetahui adanya perubahan dari rukun ke rukun lainnya. Selain mengenal pasti perkara-perkara makruh dan sunat yang berkaitan dengan imam.

Manakala Ustaz Dr Ahmad Zulfiqar Shah Abdul Hadi memenuhi slot ceramah praktikal imam yang menyentuh mengenai kesalahan yang sering berlaku semasa solat terutama dalam bacaan Surah Al-Fatihah. Jumhur ulama menyatakan membaca Al-Fatihah adalah termasuk rukun solat, tidak sah solat tanpa membacanya.

Zulfiqar menggariskan 27 kesalahan biasanya berlaku dalam bacaan Surah Al-Fatihah antaranya sabdu pada kalimah ALLAH SWT tidak jelas dan nama ALLAH kadangkala disebut dengan lafzhul-jalalah (dengan taghliz). Bismillah hendaklah disebut dengan lam tarqiq'. Tidak memuncungkan bibir apabila sesuatu huruf diwaqafkan berbaris hadapan, hukum yang dipanggil isymam.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu mengimami orang yang ramai, hendaklah dia meringankannya kerana di antara mereka ada anak kecil, orang tua yang lemah dan sakit."

Jika solat imam terbatal, makmum yang tepat di belakang imam hendaklah seorang yang berpengetahuan dalam masalah ibadah yang sedang dilakukan. Mereka harus bertindak tepat pada saat imam batal, lupa dan sebagainya.

Manakala, Ustaz Muhammad Hasbi Abdul Rahman pula menghuraikan sifat-sifat solat Nabi SAW yang mendapat pensyariatan kerana solat adalah amalan yang pertama yang dihisab di akhirat nanti. Wartawan Sinar Harian Rehal 5 Februari 2016

Tags: imam
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments