mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Cegah gerakan radikal cara Islam, Teladan pengasas sekolah pondok

Teladan pengasas sekolah pondok

BUKU tulisan sekumpulan ahli akademik dengan kerjasama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) adalah himpunan biografi sembilan pengasas sekolah pondok di negeri berkenaan.

Tujuan utama penulisan buku tersebut adalah bagi mengenang dan sebagai penyataan terima kasih di atas segala jasa ulama terbabit yang semakin dilupakan apabila zaman silih berganti.

Antara yang diketengahkan ialah pengasas Madrasah Al-Najah, Kubang Lembu, Jitra; Omar Salleh yang meninggal dunia pada 1965.
Bekas Exco negeri Kedah berkelulusan dalam bidang agama dari Darul Ulum, Mekah adalah antara penggerak awal kepada kewujudan bank koperasi yang diberi nama Bank Apex.

Selain fungsi utama sebagai bank yang memberi pinjaman kepada koperasi khususnya di utara Tanah Melayu, Bank Apex juga menjadi salah satu saluran pelaburan kepada petani.



Selepas beberapa lama beroperasi, nama bank ditukar menjadi Bank Kerjasama. Apabila pertumbuhannya berkembang ke seluruh negara, namanya ditukar kepada Bank Rakyat.

Akhirnya, apabila kemajuan bank berkenaan semakin melonjak naik, namanya ditukar sekali lagi kepada Bank Kerjasama Rakyat yang masih wujud sehingga sekarang.


Dalam pada itu, contoh terpuji yang ditunjukkan oleh Allahyarham adalah untuk menolak kurniaan tanah sebanyak 10 hektar di Padang Terap yang diagihkan kerajaan Kedah kepada setiap Exco.

Sebelum meninggal dunia, beliau juga sempat berpesan kepada 10 anaknya dengan menyebut: “Kalau ada sesiapa di antara kamu hendak jejakkan kaki ke dalam arena politik, pastikan keluarga kamu nanti cukup makan, cukup pakai dan mempunyai asas ekonomi kukuh.

“Kalau tidak, kamu akan terjebak ke dalam kancah rasuah yang adalah godaan kepada pemegang kuasa memerintah negara. Jangan sesekali menjual prinsip dan maruah kamu walau berjuta ringgit ditawarkan untuk membelinya.”

Sifat tidak ghairah untuk mengumpul kekayaan terbukti apabila tidak banyak harta yang ditinggalkan beliau setelah meninggal dunia kecuali dua keping tanah pusaka, sebuah kereta Peugeot 403 yang belum habis dibayar hutang pinjaman dan satu mesin taip jenis Remington.

Seorang lagi pengasas sekolah pondok yang diketengahkan ialah Wan Salleh Wan Ahmad yang menubuhkan Pondok Haji Wan Salleh di Kampung Sungai Baru, Jitra.

Allahyarham yang meninggal dunia pada 1976 berkelulusan daripada Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau dianggap seorang pengasas sekolah pondok yang unik kerana mampu membaca surat khabar berbahasa Inggeris dan boleh berbicara menggunakan bahasa berkenaan.


Kebolehan berkenaan adalah satu kelainan daripada tradisi pengasas dan guru sekolah pondok ketika itu yang boleh dikatakan kurang mahir membaca dan bertutur menggunakan bahasa penjajah berkenaan.

Allahyarham juga seorang yang cintakan haiwan. Terdapat kisah beliau sering dijemput masyarakat setempat untuk menyembelih binatang peliharaan mereka khususnya lembu dan kerbau.

Pernah diceritakan beliau tidak menyedari seekor kerengga telah tersangkut di bajunya ketika melakukan kerja sembelihan itu.


Sesudah siap kerja, beliau pun pulang dengan menunggang motosikal dan dalam perjalanan barulah disedarinya seekor kerengga tersangkut di bahu bajunya. Allahyarham kemudiannya berpatah balik untuk meletakkan kerengga itu kembali ke dalam sarangnya.

Walaupun berkawan baik dengan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Senu Abdul Rahman yang sering menziarahinya, Wan Salleh tidak membenarkan mana-mana fahaman politik disebarkan di pondoknya.


Baginya, fahaman politik hanya di luar pondok. Dalam pondok tidak boleh ada apa-apa jua elemen politik untuk dibahaskan. Bagaimanapun, apa sahaja yang boleh memajukan Islam dan kemajuan umatnya khususnya orang Melayu ketika itu akan mendapat sokongan daripada beliau.

Beliau juga seorang yang merendah diri dan lebih suka dipanggil dengan gelaran Pak Lang berbanding tuan guru yang menjadi kebiasaan panggilan kepada pengasas sekolah pondok.


Sementara itu, buku berkenaan juga memuatkan biografi pengasas Madrasah Al-Nadatul Hasanah, Kampung Melele, Jitra; Datuk Tajuddin Abdul Rahman. Beliau dikenali sebagai seorang yang memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan tidak pernah jemu untuk berusaha merapatkan hubungan kerjasama antara pemimpin UMNO dan Pas.

Bapa saudara kepada bekas Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor juga sering berpesan bahawa politik hanyalah alat perjuangan manakala agama dan persahabatan kekal sampai bila-bila.



Cegah gerakan radikal cara Islam

ISLAM adalah agama yang amat prihatin terhadap keamanan, perdamaian dan keharmonian. Peperangan dan pembunuhan hanya dibenarkan dalam keada­an untuk mempertahankan diri, ketika negara dan agama diceroboh dan diserang serta menegakkan keadilan manusia sejagat.

Umat Islam diajar dan dilatih supaya mengimbangi perasaan dan akal ketika menghadapi peperangan dan perjuangan. Tindakan emosi dan akal yang tidak didasarkan kepada ajaran Ilahi dan Rasul sering mendorong umat Islam yang diasuh dengan pemikiran radikal bertindak di luar batasan kemanusiaan dan fitrah kejadian manusia.


Beberapa orang lelaki yang disyaki merancang untuk melancarkan serangan ke atas lokasi strategik di ibu negara ditahan Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman dalam operasi di sekitar Hulu Langat, Selangor, pada April tahun lalu. GAMBAR HIASAN

Matlamat peperangan jika bertentangan dengan konsep mempertahankan agama dan negara sepertimana dijelaskan oleh Allah dan Rasul adalah punca utama umat Islam bertindak ganas dan zalim terhadap individu yang dianggap sebagai musuh. Salah tafsir ayat-ayat al-Quran dan hadis adalah punca utama fatwa berkaitan kemasyarakatan dan kemanusiaan bertentangan dengan konteks ajaran Islam. Pentafsiran ayat-ayat al-Quran tanpa dirujuk kepada asbab al-nuzul (sebab musabab penurunan wahyu) berkaitan pepe­rangan adalah faktor utama umat Islam berfikiran radikal bertindak di luar batas kemanusiaan.

Apabila ayat-ayat al-Quran dan hadis dikaji secara terperinci dan difahami secara mendalam maka tindakan ganas terhadap orang awam sama ada beragama Islam atau bukan Islam adalah haram sama sekali. Berjuang mempertahankan Islam perlu berdasarkan kepada strategi yang rasional dan komprehensif iaitu nyawa orang awam dan harta benda perlu diselamatkan.

Apalah erti perjuangan apabi­la sebutir bom diletupkan secara membunuh diri maka pembunuhan tersebut melibatkan banyak nyawa awam terkorban. Adakah ini dianggap sebagai jihad dan mati syahid? Apakah hukumnya membunuh diri di dalam Islam? Konteks hukum hakam perlu dikaji supaya perjuang­an yang dilaksanakan itu bertepatan dengan konteks ajaran Allah.

Islam menyeru umatnya supaya mempertahankan diri bukan membunuh diri dan meragut nyawa manusia yang tiada kaitan dengan keganasan dan pembunuhan. Jika perjuangan yang dilaungkan adalah untuk menghapus keganasan rejim yang kejam terhadap rakyat maka pejuang Islam sepatutnya bertindak mengikut lunas ajaran Islam. Jika rejim membunuh orang awam secara kejam, perlukah pejuang Islam juga bertindak sama dengan rejim tersebut? Apakah perbezaannya di antara rejim yang zalim dengan pejuang Islam yang melaungkan slogan Islam jika sikap dan tindak-tanduk mereka adalah sama.

Dalam peperangan setiap tentera Islam perlu prihatin terhadap kese­lamatan nyawa orang awam terutama orang tua, kanak-kanak dan wanita. Ini adalah satu perundang­an yang paling serius perlu diambil perhatian oleh setiap individu Islam yang menyertai peperangan. Walaupun Islam mengharuskan peperang­an dalam keadaan di mana hanya peperangan sahaja dapat menyelesaikan permasalahan dan menghapuskan kekejaman maka Islam juga memperuntukkan perundangan yang paling ketat berkaitan peperang­an. Adalah haram membunuh musuh yang menyerah diri dan meminta keselamatan nyawa kerana konsep peperangan dalam Islam ialah untuk menegakkan keadilan dan kedamaian.

Jika Islam adalah slogan perju­ang­an untuk keadilan, kedamaian, kese­jahteraan umat Islam dan manusia sejagat maka setiap tindak-tanduk dan strategi peperangan mesti berlandaskan hukum-hakam berkaitan peperangan. Kecuaian dalam aspek ini bukan sahaja menjadikan perjuangan yang suci tergelincir daripada landasan perjuangan Islam yang hakiki malah boleh merosakkan maruah dan imej agama Islam sebagai agama yang memperjuangkan keamanan dan keharmonian.

Menghapuskan kumpulan radikal secara kekerasan bukan sesuatu yang mudah kerana semakin tinggi tekanan dikenakan kepada kumpulan ini maka semakin tinggi semangat perjuangan mereka kerana tekanan begini adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh golongan yang ingin mati dalam peperangan. Hati dan pemikiran mereka telah diresapi dengan janji-janji syurga sebagai orang mati syahid oleh ketua kumpulan dan ahli-ahli mereka.

Oleh itu, perkara penting yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah mengkaji faktor-faktor yang boleh mendorong golongan muda terjebak dalam kumpulan radikal. Guru-guru agama yang mengajar pelajaran Islam perlu dikaji latar belakang pendidikan mereka supaya ajaran agama Islam yang disampaikan kepada pelajar bertepatan de­ngan konteks ajaran Islam.

Kemiskinan juga adalah faktor golongan muda terjebak dalam pergerakan radikal. Jika kerajaan mengabaikan kepentingan asas rakyat maka kemungkinan pengaruh per­gerakan radikal begitu mudah me­nular dalam negara terutama di ka­wasan yang mempunyai ramai penduduk yang miskin. Kajian me­nunjukkan pergerakan radikal menjadi begitu berpengaruh di negara-negara Arab adalah disebabkan oleh kemiskinan dan ramai orang miskin dibiayai oleh pergerakan Islam.

Oleh itu, jika ada pergerakan Islam yang kaya dan mampu membiayai individu Islam yang miskin maka kemungkinan ramai individu miskin di negara-negara Islam akan menyertai pergerakan itu dengan slogan ‘pembentukan sistem khalifah’. Ini adalah slogan kesemua pergerakan radikal Islam di negara-negara Islam.

Para pemimpin negara Islam sepatutnya sedar pengabaian terhadap keperluan asas rakyat bukan sahaja boleh menyebabkan rakyat kecewa dengan sistem pemerintahan negara malah ia juga akan menggugat kestabilan politik, ekonomi dan keamanan negara. Jika pergerakan radikal dapat menguasai kekayaan negara Arab dan memiliki peralat­an tentera yang canggih maka pengaruh pergerakan itu mudah menular ke dalam negara-negara Islam terutama dalam kalangan golongan yang miskin.

Apabila perut rakyat kosong ma­ka ketika ini mereka hanya berfikir bagaimana hendak mendapatkan makanan dan minuman serta tidur dengan nyenyak. Oleh itu, jika i­ngin membendung kegiatan radikal maka giatkan usaha bagaimana hendak menyediakan kemudahan asas kepada rakyat supaya mereka dapat tidur dengan nyenyak. Pejabat zakat perlu proaktif menyalurkan wang kepada golongan miskin.

Pejabat zakat di negeri kaya perlu menyalurkan wang kepada negeri-negeri yang miskin supaya sumbang­an umat Islam dalam bentuk zakat dinikmati oleh seluruh umat Islam yang miskin di negara ini. Harapan pembayar zakat adalah wang yang disalurkan melalui pejabat zakat adalah untuk membantu umat Islam yang miskin tanpa mengira negeri mana mereka berada. Oleh itu, tumpukan perhatian kepada penyediaan kemudahan asas rakyat bagi membendung kegi­atan pergerakan radikal dalam negara.

Tags: radikal, tokoh
Subscribe

Posts from This Journal “tokoh” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments