mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Melakukan sesuatu kerana keterpaksaan atau keikhlasan?

Sikap seseorang itu ditentukan oleh ‘dunia dalaman’. Jika baik ‘dunia dalaman’, maka akan terpancarlah kebaikan ‘dunia luaran’ kita. Analoginya, kalau diperah limau akan keluarlah jus limau, tidak mungkin keluar daripada perahan itu, jus epal. Sebab itu kita sangat perlu memelihara ‘dunia dalaman’ kita, agar tidak terjejas dengan unsur-unsur negatif. Bahkan, kita perlu memprogramkan sistem nilai yang mahu dicorakkan atau dibentuk dalam hidup kita, yang akan menjadi sifat dan tabiat hidup kita.

Hal ini adalah kerana unsur-unsur positif akan membentuk persepsi dan paradigma diri yang positif, dan demikianlah sebaliknya. Persepsi atau tanggapan seseorang itu bergantung pada jenis pendedahan dan pengalaman yang diterima, sama ada positif atau negatif. Pengalaman akan menentukan keperibadian, pemikiran dan segala-galanya tentang seseorang.

Setiap pendedahan akan tertanam dalam pemikiran seseorang sebagai pengalaman masa lalu dan persepsi seseorang itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor (agama, umur, ilmu pengetahuan, budaya dan sebagainya). Contohnya bagi individu yang kuat pegangan agamanya, persepsinya tentang kebahagiaan dan ketenangan hidup berlainan dengan individu yang tidak bertakwa. Bagi yang kuat pegangan agamanya, konsep fokus dan bersyukur dengan apa yang kita miliki, sudah memadai untuk membuatkan dirinya bahagia dan tenang. Tetapi, bagi individu yang tidak bertakwa, sentiasa tidak berpuas hati dengan segala yang dimiliki, bahkan hidupnya penuh persaingan. Persepsinya selagi ada orang lain boleh mengatasi kekayaannya dan kehebatannya dicabar oleh orang lain, dia tidak akan bahagia dan tidak tenang.

Sebenarnya, perwatakan kita bermula daripada pemikiran. Pemikiran diukur daripada perkataan yang keluar daripada mulut dan tindakan kita. Iaitu tindakan yang terzahir yang menjadi tabiat dan karakter kita, yang akhirnya menentukan siapa kita, sama ada kita seorang yang positif atau negatif. Kita sendiri yang bertanggungjawab untuk mengubah diri kita, iaitu melalui pilihan kita dengan menggunakan kuasa minda (fikiran) dan kuasa hati (emosi). Apabila berlaku sesuatu disebabkan oleh pilihan kita, maka hal ini bermakna telah berlaku satu proses perubahan kepada diri kita secara natural dan ikhlas. Perubahan diri yang berlaku disebabkan oleh kesedaran diri kita sendiri atau dari segi prinsip disebut, ‘kehidupan berlaku melalui kita’, biasanya kita akan menjadi kuat dan bersemangat untuk berubah ke arah lebih baik.

Tetapi, apabila kita katakan sesuatu berlaku ke atas kita disebabkan oleh orang lain atau faktor luaran, bermakna kita masih berada dalam keadaan lemah. Hal ini adalah kerana, kita masih tidak boleh berdikari dan mengharapkan orang lain yang mengubah cara hidup kita, serta mengatur dan menentukan perjalanan hidup kita. Dari segi prinsip disebut, ‘kehidupan berlaku ke atas kita’ bermaksud, kita melakukan pekerjaan dan tindakan dalam kehidupan, bukan dengan kehendak hati kita, kerana ada orang lain yang menentukan keputusan dan tindakan dalam hidup kita. Mungkin kerana terpaksa atas sebab takut dan malu kepada orang tersebut kita melakukannya, bukan kerana kita melakukan pekerjaan dan tindakan itu dengan ikhlas dan untuk mendapat reda Allah. Maka kerana itu, kita melakukan sesuatu pekerjaan atau tindakan dalam kehidupan secara terpaksa, bukan datang daripada hati kita.

Kalau kita beranggapan bahawa ‘kehidupan berlaku ke atas kita’ sebenarnya kita berasakan diri kita menjadi ‘mangsa’. Tetapi, kalau kita beranggapan, ‘kehidupan berlaku melalui kita’, maknanya kita membuatkan kehidupan berlaku dengan terkawal dan kitalah yang mengawalnya. Kita akan berani membuat keputusan besar yang walaupun akan membawa perubahan dan kesan yang besar dalam hidup kita. Orang yang menjalani rutin kehidupan dengan prinsip ‘kehidupan berlaku melalui kita’, tidak akan peduli apa orang akan kata, yang kita pentingkan hanya adakah yang kita lakukan itu mendapat reda Allah atau tidak, serta mendapat pahala atau dosa? Kalau berdosa ditinggalkan, kalau pahala dijadikan istiqamah, yang diburu hanya untuk mendapat rahmat Allah dunia dan akhirat.

Dorongan

Kerana sifat-sifat positif tersebut itulah, terutamanya (sifat keikhlasan), apabila melakukan sesuatu pekerjaan atau tindakan dalam kehidupan, kita memegang kepada prinsip bahawa, ‘kehidupan berlaku melalui kita’. Maknanya, kita yang menentukan corak/bentuk kehidupan kita, bukan ‘kehidupan berlaku ke atas kita’. Konsep ‘kehidupan berlaku ke atas kita’ bermaksud, kita mengikut sahaja apa-apa yang ditakdirkan dalam hidup kita tanpa berusaha mengubah takdir itu. Jom audit diri, sama ada kita seorang yang berprinsipkan ‘kehidupan berlaku melalui kita’ atau ‘kehidupan berlaku ke atas kita’?

Oleh sebab kita sendiri yang mengawal fikiran dan emosi kita, maka kitalah yang menentukan sama ada sesuatu keputusan yang kita lakukan atau kehidupan yang kita lalui itu adakah membahagiakan kita atau membebankan kita. FIKIRAN yang baik akan menghasilkan EMOSI yang baik – EMOSI yang baik akan melakukan tindakan yang baik – TINDAKAN yang baik mendapat HASIL KEHIDUPAN yang baik, (4K = ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kekayaan).

Sama juga keadaannya jika dalam sesuatu pekerjaan, kita berada dalam situasi yang bagaimana? Adakah kita berada dalam situasi ‘kena melakukan’ kerja atau kita ‘mahu melakukan’ kerja? Jika kita beranggapan, ‘kena melakukan’ kerja, bermakna pekerjaan itu berlaku dalam keadaan terpaksa, tidak ikhlas dan tidak wujud suasana yang menyeronokkan. Tetapi, jika situasi kerja itu kita lakukan atas prinsip ‘mahu melakukan’ kerja, bermakna dorongan semangat bekerja itu datang dari dalam diri kita, dan mengambil tanggungjawab itu dengan ikhlas tanpa rasa terbeban, tidak akan berasa iri hati dan dengki, serta tidak berasa menjadi ‘mangsa’ kepada orang yang mengambil kesempatan ke atas kita.

Barulah timbul perasaan suka akan cabaran dalam pekerjaan; semakin mencabar semakin besar usaha untuk melaksanakannya. Contohnya sebagai pelajar, jika kita berpegang kepada prinsip, "mahu belajar", maknanya kita membenarkan kehidupan berlaku melalui kita’, dan kita boleh me­ngawal perasaan kita sendiri. Emo­si akan tenang apabila kita melakukan sesuatu kerja (mahu belajar) dengan kerelaan hati kita tanpa paksaan daripada ibu bapa atau guru. ‘Dunia dalaman’ kita yang bersih/positif akan me­ma­ni­festasikan emosi, sikap dan tin­dakan kita menjadi bersih/posi­tif. ‘Dunia dalaman’ kita mem­pengaruhi ‘dunia luaran’ kita bermaksud, apabila kita mahukan keseronokan dalam sesuatu yang kita lakukan, maka dunia dalaman iaitu fikiran (hasil daripada minda) dan emosi (hasil daripada hati) kita mesti positif.

Orang yang kehidupan berlaku melalui kita, akan mengambil tanggungjawab untuk memilih pemikirannya. Kita menggunakan fikiran untuk mengawal emosi kita, memilih kawan yang baik-baik dan memilih bahan bacaan dan tontonan kita yang membina minda positif. Sebaliknya orang yang "kehidupan berlaku ke atas kita", apa-apa yang dilihat, didengar dan dipercayainya akan terus masuk ke dalam mindanya. Sesungguhnya yang penting dalam kehidupan ini, adalah "pilihan" fikiran kita. Hiduplah kita, ibarat ikan di lautan, walaupun sepanjang hayat berendam dalam air laut yang masin, tetapi tidak memasinkan jasadnya (persekitaran tidak mempengaruhinya). “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

- Dr Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 07 Februari 2016 6:50 PM
Tags: emosi, fikiran, ikhlas, sikap
Subscribe

Posts from This Journal “sikap” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments