mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hak kebebasan bersuara sejagat: Apa ukuran Islam?

DI dalam ajaran Islam setiap kebebasan mempunyai batas dan hadnya yang tertentu. Hak bersuara umpamanya bukanlah diberikan tanpa sempadan sehingga semua orang boleh berbicara apa saja yang ia mahu tanpa mempunyai prinsip dan asas yang tertentu.

Masyarakat Barat yang dibangunkan sebagai masyarakat permisif tanpa terikat dengan prinsip nilai akhlak kerohanian memanglah memberi hak yang luas kepada kebebasan ini.

Voltaire mengisytiharkan: "Saya tidak menerima apa yang anda katakan. Tetapi saya akan bermati-matian mempertahankan kebebasan anda untuk bersuara."

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt ketika mengemukakan empat perkara dalam gagasan kebebasan menegaskan: "Hak pertama ialah kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat di mana saja mereka berada di dalam dunia ini."

Sejak itu, semua yang terbabit dengan penampilan kepada masyarakat seperti penulis, artis, kartunis, pengusaha filem dan sebagainya telah memasuki gelanggang masing-masing dengan penuh kebebasan untuk menyata dan menterjemahkan perasaan, fikiran dan bisikan naluri mereka, termasuklah memberikan idea dan pandangan tentang segala-galanya di dalam masyarakat tanpa ragu-ragu lagi.

Medan terbaru dimasuki oleh manusia moden pada hari ini ialah medan teknologi dan komunikasi maklumat yang dipergunakan seluasnya oleh mereka untuk mencari keuntungan kebendaan seperti berdagang dan berniaga, termasuk memperniagakan bahan lucah dan tidak bermoral.

Dunia tanpa sempadan

Laman baharu ini juga dimasuki oleh orang-orang yang ingin memberikan pandangan dan pendapat peribadi tentang agama, politik dan sosial sehingga pandangan tentang hal ini menjadi terlalu banyak disebarkan ke dunia tanpa sempadan ini.

Dalam masyarakat Islam sendiri hal ini menjadi duri dalam daging yang amat menyakitkan. Dalam sejarah kebebasan bersuara yang berbangkit di negara Islam umpamanya, terdapat beberapa kes yang dilakukan oleh penganut Islam sendiri dalam memanisfestasikan kebebasan ini.

Novel hasil karya Salman Rushdie 'The Satanic Verses' (1988) telah menimbulkan kontroversi dan menggemparkan masyarakat Islam, sehingga pengarang dan buku ini telah menimbulkan banyak krisis dalam dunia Islam dan di kalangan penganut Islam di dalam dunia.

Pejuang kebebasan wanita Bangladesh, Taslima Nasrin, dalam masa yang sama, menurut jejak langkah Salman Rushdie ketika menerbitkan tulisan dan bukunya yang banyak mengemukakan pemikirannya yang amat sinikal tentang kitab suci al-Quran dan undang-undang syariah.

Kedua-dua penulis ini telah 'dihukum' oleh fatwa pemimpin Iran dan ulama Bangladesh sebagai murtad dan kufur yang seharusnya menerima hukuman mati.

Malah, demonstrasi besar-besaran di dalam dunia Islam, ketika berlaku pada zaman kedua-dua penulis ini mengemukakan karya mereka, ramai pula yang cedera dan mati.

Masyarakat Islam di Malaysia sendiri pernah dikejutkan oleh penulisan dan komen serta sokongan terhadap perbuatan sumbang yang terang-terang bertentangan dengan ajaran agama kita, tetapi masyarakat kita di negara ini nampaknya lebih rasional dan berhikmah dalam menghadapi tindakan liar seperti ini, lalu tidaklah timbul sebarang perbuatan ganas atau berdemonstrasi membantah hal itu yang lebih berbentuk emosi dan sebagainya.

Burukkan imej, agama Islam

Kita juga pada waktu ini dapat lihat banyak sekali lahirnya portal berat sebelah politik, terutamanya politik menentang segala agensi, institusi dan 'establishments' kerajaan semasa, laman web dan ratusan blog di dalam internet, buku-buku tertentu, risalah, lukisan kartun dan karikatur serta komen dalam portal media baharu, yang dikeluarkan bertujuan memburuk-burukkan ajaran Islam di samping lawak jenaka mempersenda-sendakan nilai-nilai ajaran agama.

Mungkin ramai juga yang mengetahui wujudnya filem yang cuba menceritakan secara menyeleweng tentang Nabi Isa a.s. iaitu tentang kehidupan seks baginda seperti filem The Last Temptation of Christ tidak lama dulu.

Oleh itu, kita di negara ini merasa amat tersinggung dengan tuntutan kebebasan manusia yang melampaui batasan budaya, tatasusila dan ajaran agama sendiri yang cuba diketengahkan di dalam media sosial kini.

Islam telah mengehadkan kebebasan ini di dalam berbagai-bagai bidang. Makan dan pakailah dengan bebas, tetapi hal ini tertakluk kepada sistem dan peraturan yang tertentu.

Berkahwin dan berketurunan, juga tertakluk kepada ajaran yang tertentu. Demikian juga di dalam perkara-perkara yang lain, termasuk menulis, menyanyi, berlakon, berbicara atau bercakap, semuanya tertakluk kepada nilai-nilai yang ditentukan oleh agama.

Oleh itu, pihak kerajaan di samping usaha-usaha yang telah dilakukan selama ini, perlulah lihat dan kaji beberapa perkara terkini yang dibangkitkan di dalam masyarakat kita yang lebih bersifat polarisasi, rasial, fanatik, sekularis, tambahan pula sebagai negara yang ada Perlembagaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan negara yang mengakui kedudukan agama, maka segala sesuatu yang bercanggah dengan hal ini yang dikemukakan di atas dasar hak asasi manusia, haruslah ditolak dan ditentang dengan bersungguh-sungguh.
Dr Ismail Ibrahim Berita Harian Kolumnis Ahad, 7 Februari 2016 @ 7:23 AM
Tags: hak asasi manusia, suara
Subscribe

Posts from This Journal “hak asasi manusia” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments