mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Elak keciciran agihan zakat, Cabaran penghantar bantuan

Cabaran penghantar bantuan

SEKALI pandang, tiada apa yang istimewa untuk dibanggakan bagi mereka ini. Tidak ternama, apatah lagi berpangkat besar dan bergaji lumayan untuk berbakti kepada masyarakat.

Sebaliknya, hanya menjalankan tugas harian membawa lori hijau sarat barangan keperluan makanan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.


Kehadirannya sentiasa dinanti penerima


HAMPIR keseluruhan hari dihabiskan di dalam lori yang menjadi punca rezeki Huslie dan Rasyidi.

Itulah pekerjaan dilakukan oleh Huslie Hussin, 42, dan Rasyidi Sulaiman, 32, yang bertanggungjawab mengagihkan bantuan diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus ke hadapan pintu rumah asnaf fakir dan miskin di seluruh daerah Gombak, Selangor.

Mungkin kecil bagi kita, namun kehadiran mereka dengan membawa beras, gula, minyak dan tepung gandum itu sentiasa dinanti-nantikan dan dianggap besar nilainya bagi golongan yang tidak berkemampuan.

Keperluan yang dihantar oleh mereka menjadi ‘talian hayat’ tempat pergantungan golongan asnaf untuk menyara kehidupan harian diri dan keluarga disebabkan kesempitan hidup.



SEBANYAK 1,009 bungkus barang bantuan perlu disiapkan oleh Huslie dan Rasyidi dalam tempoh empat hari.

Bagi Huslie, meredah kesesakan lalu lintas ibu kota dan hujan lebat di pertengahan jalan sudah menjadi rutin, malah sakit dan demam juga sering tidak diendahkan demi memastikan sasaran penghantaran yang dijadualkan pada setiap hari itu berjalan lancar.

Tugasan itu ialah mengagihkan kepada 1,009 penerima bantuan makanan LZS di daerah itu, iaitu dengan purata 65 penghantaran rumah pada setiap hari.

Walaupun mengakui agak letih pada awalnya, namun bapa kepada tiga orang anak itu berkata, peluang bertemu dan membantu saudara seagama yang memerlukan memberikan kepuasan yang tidak dapat digambarkan buat dirinya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui.

“Melihat senyuman mereka ketika menerima barang, malah ada yang mengangkat tangan sambil berdoa mengucapkan kesyukuran cukup membakar semangat kami untuk berkhidmat dan memberikan yang terbaik.



HUSLIE Hussin (kiri) dan Rasyidi Sulaiman (kanan) perlu menyelesaikan penghantaran kepada penerima dalam tempoh yang ditetapkan.

“Siapalah saya untuk membantu orang lain, tetapi dengan kerja yang saya lakukan ini memberi peluang kepada saya untuk membantu orang yang benar-benar memerlukan. Hanya bermula daripada menghantar bantuan, keakraban yang terjalin bersama penerima seakan satu keluarga.

“Inilah sebabnya saya memilih meneruskan tugasan ini walaupun sedar terpaksa melakukan pengorbanan terutamanya dari aspek masa dan tenaga,” katanya yang merupakan pemandu lori MAIS Zakat Sdn. Bhd. (MZSB).

Huslie merupakan seorang daripada petugas agihan program pintu ke pintu yang diperkenalkan LZS untuk mengedarkan bantuan makanan bulanan secara terus kepada asnaf yang layak di kesemua lapan daerah di seluruh negeri Selangor.

Berkongsi pengalaman yang dilalui, anak jati negeri Sabah itu tidak menafikan terpaksa melaalui pelbagai cabaran semasa penghantaran bagi memastikan barang bantuan sampai ke tangan penerima dalam keadaan baik.

“Kadang kala lori tidak dapat masuk ke kerana laluan sempit atau jalan berliku menyukarkan lagi proses penghantaran. Tiada cara lain boleh dilakukan selain masuk berjalan kaki, malah kami juga pernah memanjat tangga hingga 10 tingkat sambil memikul beras kerana lif rosak.

“Jika difikirkan kemampuan, memang agak berat, tetapi bagi saya tugas ini bukan sekadar kerja untuk mengejar pendapatan di dunia semata-mata, tetapi lebih penting dijanjikan ganjaran daripada Allah SWT di akhirat,” katanya yang telah memasuki tahun keempat mencari rezeki bersama LZS.


BERAS adalah keperluan yang diagihkan dalam bantuan Door to Door.

SUNTIK KEINSAFAN

Sementara itu, bagi Rasyidi, berbeza dengan pekerjaan dilakukan sebelum ini, bertugas sebagai penolong agihan dalam program itu memberikan nilai dan pengajaran tersendiri buatnya.

Beliau berkata, walaupun memperoleh pendapatan tidak seberapa, namun menyaksikan sendiri keadaan dan keperitan hidup yang dialami penerima daripada pelbagai latar belakang menguatkan semangat untuk melakukan tugas sebagai penghantar bantuan tersebut.

Perkara itu juga tambahnya, menjadi faktor yang menyuntik motivasi untuk terus melakukan pekerjaan tersebut dalam keadaan termampu dengan sebaik mungkin.

“Jika dibandingkan dengan kerja yang saya lakukan sebelum ini, lebih memberi pendapatan lumayan, di samping tidak perlu melakukan tugas berat atau menggunakan banyak tenaga seperti pekerjaan ini.

“Tetapi, apabila saya melihat sendiri kehidupan asnaf dalam pelbagai keadaan setiap hari, mengajar erti syukur dan secara tidak langsung menanamkan lagi perasaan ingin membantu mengikut kemampuan tersendiri.

“Ia juga mengajar saya, betapa susah hidup kita, hakikatnya ada lagi orang yang menerima nasib lebih teruk, susah dan perit berbanding kita,” katanya.

Malah ujarnya, berkhidmat menerusi program itu juga berjaya merubah cara hidupnya yang sebelum ini bersifat tiada batasan dan mementingkan kebebasan sehingga mengabaikan perintah ajaran Islam.

“Bukan kata ibadah sunat, perkara wajib seperti solat, zakat dan perintah lain tidak berapa saya ambil berat. Jika ada masa buat, jika terlupa atau sibuk tinggal begitu sahaja.

“Selain itu, saya juga sering mengikuti rakan-rakan kumpulan motosikal melakukan aktiviti haram termasuk berlumba dan perbuatan melanggar undang-undang lain.

“Namun syukur, di sini saya dan kakitangan lain sering diarahkan untuk menghadiri kursus dan bengkel pemantapan akhlak dan jati diri yang dapat membangunkan diri sebagai seorang pekerja dalam masa sama menjadi Muslim yang beriman,” jelasnya.




ANTARA barangan keperluan yang diagihkan dalam bantuan Door to Door.

DAKI 17 TINGKAT ANGKAT BERAS

Terpaksa memikul beras puluhan kilogram dengan menaiki tangga setinggi 17 tingkat merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh anak kelahiran Gombak, Selangor itu sepanjang berkhidmat bersama LZS.

Katanya, selepas tiada cara lain boleh dilakukan untuk memberi bantuan makanan kepada penerima apabila lif pada pangsapuri 18 tingkat itu tidak berfungsi dan dalam proses penyelenggaraan.

“Bantuan perlu diserahkan kepada penerima kerana ini merupakan harapan mereka. Lebih-lebih lagi bagi yang uzur dan tidak mempunyai kemudahan untuk mengambil bantuan.

“Biasanya jika berlaku keadaan seperti itu, kita akan menghubungi penerima untuk mengambil sendiri di lokasi tertentu atau memberikan kepada mereka yang benar-benar dipercayai dengan persetujuan penerima.

“Malangnya, kedua-dua pilihan itu tidak berjaya dan akhirnya kami terpaksa mendaki tangga setinggi 17 tingkat untuk memberikan keperluan tersebut,” katanya.

Elak keciciran agihan zakat

MENJEJAKI dan mengetuk pintu sebanyak 13,354 rumah bagi mengagihkan bantuan secara terus ke tangan penerima di seluruh negeri Selangor bukannya tugas yang mudah.

Ditambah dengan kekangan tenaga kerja dan peruntukan masa yang terhad membataskan serta menyukarkan lagi proses agihan untuk disampaikan kepada penerima pada setiap bulan.


‘Door to door’ pastikan agihan selamat sampai

ABDUL Basith Hamid (kiri) sambil diperhatikan Muhammed Edeneen Firdaus Mazli (dua dari kiri) membantu petugas penghantaran ketika melawat stor penyimpanan bekalan makanan Door to Door, di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Namun, itulah cabaran yang diambil oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila memperkenalkan program ‘Door to Door’ bagi memastikan agihan bantuan bulanan berupa keperluan makanan asasi sampai terus kepada penerima dalam tempoh yang ditetapkan.

Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS, Abdul Basith Hamid berkata, program itu mengambil kira kesukaran yang dilalui oleh penerima untuk mengambil bantuan disebabkan pelbagai kekangan dihadapi penerima seperti kurang upaya, tidak berkemampuan serta tidak mempunyai kenderaan.

Beliau berkata, inisiatif terbaharu LZS itu berjaya mengurangkan tahap keciciran dan penyelewengan agihan bantuan yang diterima oleh penerima bantuan zakat sejak diperkenalkan.

“Secara tidak langsung, menerusi program ini membantu menyelesaikan masalah dan beban dihadapi penerima untuk memikirkan cara bagi mengambil bantuan tersebut pada setiap bulan yang akhirnya menjadi punca keciciran atau tidak dituntut.

“Malah, terdapat juga segelintir individu yang cuba menyembunyikan status terkini untuk menuntut bantuan zakat sedangkan tidak lagi layak memperoleh zakat



BARANGAN yang ingin diagihkan akan dikelaskan mengikut keperluan penerima.

“Oleh itu, dengan kaedah penghantaran bantuan terus ke rumah ini, membolehkan pusat zakat memastikan sumbangan itu sampai terus kepada penerima di samping mengemas kini perkembangan mereka,” katanya ketika ditemui di stor penyimpanan barangan Door to Door di Gombak, Selangor baru-baru ini.

Sebanyak sembilan stor penyimpanan yang ditempatkan di sembilan daerah di seluruh Selangor bagi mengagihkan bantuan keperluan makanan kepada asnaf.

Tambah Abdul Basith, langkah itu merupakan amalan yang dilakukan oleh Khalifah Islam kedua selepas Rasulullah SAW, Saidina Umar Al-Khattab yang menggalakkan zakat perlu dihantar kepada asnaf supaya bantuan itu sampai terus kepada mereka.

Beliau berkata, kaedah itu merupakan antara inisiatif yang diambil LZS bagi memudahkan proses agihan kepada penerima zakat mengikut kesesuaian dan keadaan menerima.

“Terdapat seramai 43,000 keluarga asnaf dikategorikan sebagai fakir miskin yang berdaftar dengan LZS di Selangor. Selain menerusi Door to Door, LZS turut memperkenalkan skim e-Taisir yang membolehkan penerima membeli barangan keperluan menggunakan kad debit di pasar raya terpilih.

“Skim ini lebih menumpukan kepada penerima yang sibuk dan tidak berada di rumah pada waktu siang bagi mendapatkan keperluan bulanan masing-masing dengan lebih mudah dan berkesan.



PENGHANTARAN secara terus dapat mengurangkan keciciran bantuan disamping mengelakkan penyelewengan.

“Kaedah bantuan ini diberikan mengikut keadaan dan kesesuaian penerima di samping mengikut keperluan penerima tersebut,” jelasnya.

Kekurangan dan kesempitan yang dilalui sering menjadi dilema bagi segelintir golongan kurang bernasib baik untuk berhadapan dengan masyarakat. Ini kerana timbul perasaan rendah diri yang membuatkan mereka beranggapan tidak setaraf dengan masyarakat lain.

Eksekutif Agihan Makanan Daerah Gombak, Muhammad Edeneen Firdaus Mazli berkata, kunjungan petugas Door to Door secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan LZS dalam menyantuni asnaf tanpa mengira latar belakang dan keadaan mereka.

Usaha itu juga tambahnya, membuktikan masih ramai masyarakat yang mengambil perhatian terhadap keadaan golongan kurang berkemampuan yang merasakan diri mereka sering tersisih.

“Selain mengagihkan bantuan, kita juga selalu menasihatkan kepada petugas penghantaran untuk menyantuni dan menunjukkan nilai-nilai kasih sayang terhadap penerima dengan menganggap mereka itu sebahagian daripada keluarga sendiri.

“Dengan sentiasa bertanya khabar, mengambil maklumat terkini penerima apabila bertemu, ia akan membuatkan mereka berasa dihargai dan juga mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan, dengan kuantiti tenaga kerja yang terhad membataskan institusi zakat untuk mengesan semua umat Islam yang layak memperoleh bantuan zakat terutamanya di kawasan pedalaman.

Tambah Edeneen, program Door to Door merupakan antara saluran maklumat LZS untuk mengesan lebih ramai asnaf di negeri Selangor.

“Mustahil dengan jumlah petugas LZS ini kita dapat menjejaki semua asnaf di negeri ini. Penghantar bantuan inilah yang menjadi sebahagian daripada ‘mata-mata’ LZS untuk mengesan umat Islam yang memerlukan di sesuatu kawasan tersebut.

“Dalam masa sama, ia juga bagi mengelakkan salah faham masyarakat yang mendakwa pusat zakat tidak menyalurkan bantuan atau tidak buat kerja sedangkan kita tidak menerima sebarang laporan mengenai individu tersebut,” ujarnya.

Tags: asnaf, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments