mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

“Bersihkan Hati mu"

Petikan Khutbah Jumaat 19 Februari 2016: JAIS

“Bersihkan Hati mu"

Kata pepatah Melayu ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu’. Kenapa mati dikaitkan dengan hati? Kerana hati merupakan punca setiap perlakuan dan sesuatu tindakan. Hadis daripada Nu’man Bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: أَلا إِنَّ في الْجسد مضغةً إِذَا صلُحت صلُح الْجسد كُلُّه ، وإِذَا فَسدت فَسد الْجسد كُلَّه أَلا وهي الْقَلْب “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh jasad, Jika buruk daging tersebut maka buruklah seluruh jasad, itulah dia hati”.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manakala sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ اللَّه لا ينظُر إِلَى صورِكُم وأَموالكُم وإِنما ينظُر إِلَى قُلُوبِكُم وأَعمالكُم “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu”

Hati yang sejahtera namanya Qalbun Salim. Hati sejahtera sentiasa bertunjangkan akidah yang teguh. Akidah yang tidak mampu dirasuk dengan mainan harta dan pangkat. Malah sentiasa membuahkan hasil pada perbuatan yang terdorong untuk melakukan ibadat. Itulah perjuangan yang menentukan nasib kita di akhirat.

Bijak pandai berkata; buah iman pada amal, buah amal pada ihsan. Ertinya, perjuangan mencari hati yang sejahtera merupakan jihad menuju ke syurga. Kerana yang dinilai di akhirat pastinya amalan yang lahir daripada hati yang sentiasa tunduk dan patuh kepada arahan Allah.

Maka tepatlah firman Allah SWT dalam surah asy-Syuara’ ayat 88-89: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anakpinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)”.

Bagaimanakah sifat hati yang sejahtera itu? Hati yang sejahtera itu akan mudah terdorong untuk melakukan kebaikan. Itulah hati yang mengenal Allah dan jatuh cinta dengan segala sifat keagungan-Nya. Hati yang tenang itu melihat musibah sebagai dugaan dan ujian tanpa menyoal ketentuan Allah.

Hati yang bahagia itu tidak membesarkan masalah tetapi menyedari ia suatu proses latihan daripada Allah. Hati yang bahagia juga sifatnya mudah memaafkan kesalahan orang lain malah tidak suka berdendam. Untuk mendapatkan hati yang sejahtera, maka ikhlaskan diri dalam setiap amalan malah belajar untuk menghilangkan sifat-sifat keji yang menyelaputi hati. Buang segala hasad dan dengki serta dendam kesumat yang tidak berkesudahan.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 69: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”.

Mujahadah itu didikan kepada hati. Ia merupakan didikan untuk menjadikan hati kita tidak dididik dengan kaya harta tetapi miskin jiwa. Imam Ibnu al-Qayyim menjelaskan bencana yang menimpa jutawan dunia pada hari ini adalah akibat mereka berpaling tadah daripada Allah.

hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kaya bukanlah diukur dengan banyaknya kemewahan dunia, namun kaya yang sebenar ialah kaya hati”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Untuk membersihkan hati, marilah kita melaksanakan perkara-perkara berikut:

1. Perbanyakkanlah membaca al-Qur’an kerana ia kunci mengingati Allah.
2. Basahkanlah lidah dengan zikir memuji kebesaran Allah. Mudahmudahan dengan apa yang dilafaz meresap ke dalam hati.
3. Berkawan dan bersahabatlah dengan alim ulama’. Semoga dibimbing ke jalan yang benar.
4. Sentiasalah menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu, agar mendapat petunjuk dan hidayah Allah yang sebenarnya.
5. Sentiasalah membaca جِيمالر طَانيالش نم ِبِاالله وذُأَع moga terhindar daripada gangguan bisikan syaitan.

“(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku!”. (Surah al-Fajr : 27-30).

Wallahualam.
Tags: hati, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “hati” Tag

  • Jahil mata, hati jika tiada ilmu

    UMUR atau usia adalah modal bagi seorang Mukmin mendekati dan mendapat syurga Allah SWT. Ertinya bagi mereka yang taat, usia dimiliki adalah untuk…

  • Buka mata hati lihat yang tersurat

    Kepedihan dan kesedihan yang datang bersama dalam ujian yang kita hadapi sematkanlah dalam hati dan bersangka baik kepada Allah SWT. Sekiranya kita…

  • Puasakan hati dan lisanmu!

    "KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan merana!" Inilah pesan orang tua-tua kita dahulu. Benar sekali. Ada orang disukai kerana…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments