mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Julang maruah keluarga

AYAH meninggal dunia amat muda dalam usia 39 tahun, akibat sakit jantung pada 20 Ogos 1999. Ayah pergi kala kami sekeluarga sebenarnya amat mendambakan pembelaan dan perlindungan daripadanya.

"Bayangkan, emak mewarisi lapan orang anak yang semuanya masih dalam usia mentah. Sebagai anak sulung, saya dapat melihat sendiri, betapa sabar dan jerihnya emak membesarkan kami adik-beradik."

Demikianlah perkongsian kisah penuh nostalgia Aqilah Amir Jamalullail, 24, yang berpeluang diwawancara buat mewarnai Jejak Asnaf kali ini.

Aqilah ditemui pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2012 di Shah Alam, baru-baru ini. Beliau diangkat sebagai ikon anak asnaf cemerlang dan dijemput khas dalam sesi perkongsian pengalaman dengan semua peserta program.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berharap, kejayaan yang pernah ditempa oleh Aqilah mampu menjadi obor pembakar semangat semua warga asnaf yang lain, khususnya generasi kedua asnaf.

"Saya masih ingat, orang-orang kampung mengejek kami dengan sindiran yang sinis dan menyakitkan hati. Telinga saya sendiri mendengar, ada orang berkata, hati-hati apabila berjumpa dengan emak, sebabnya emak beranak ramai.

"Walau bagaimanapun, mujurlah pencen ayah sebagai anggota polis berpangkat inspektor agak besar juga bagi menampung keperluan kami sekeluarga. Dengan pencen itulah, emak telah memanfaatkannya demi kami semua," cerita Aqilah lagi sambil merenung kisah silam yang amat menghiris perasaan.

Kata Aqilah, kala itu emaknya Rukiah Mahmood tidak dapat bekerja lantaran bimbangkan keselamatan anak-anak jika ditinggalkan sendirian di rumah tanpa seliaan sesiapa.

"Kemudian, pada 2005 emak bawa anak-anak pindah ke Selangor. Pada tahun itu jugalah, kami diberikan bantuan zakat oleh pihak LZS.

"Bantuan ini amat diperlukan oleh emak dan kami tidak menyangka semuanya kami peroleh di Selangor. Bagi saya, LZS benar-benar memahami keperluan asnaf seperti emak. Bantuan itu, amat besar maknanya kepada kami semua.

"Dalam persekolahan, saya memulakan pendidikan di Sekolah Rendah Manong, Perak. Selepas ayah pergi, saya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Bernadettes Convent, Batu Gajah, Perak.

"Walaupun hidup dalam serba kesederhanaan, saya masih mendapat pencapaian 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Pada tahun 2000 itu juga, saya dianugerahkan Tokoh Sahsiah Sekolah, di samping turut menjawat jawatan Ketua Pengawas Sekolah.

"Dengan keputusan yang cemerlang itu, saya telah dipilih memasuki Sekolah Menengah Sains (SMS) Teluk Intan, Perak. Sekolah ini menempatkan hanya pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik. Saya tidak mahu mensesiakan harapan emak, maka saya tidak membuang masa dan cuba mengekalkan kecemerlangan.

"Saya mendapat 8A di dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2003. Saya merasa puas, kerana setakat ini saya tidak mensesiakan harapan yang emak semaikan. Namun, saya tahu masih ada ujian lebih besar menunggu, iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujar Aqilah.



*HAMIZUL ABDUL HAMID
Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID ialah Eksekutif Komunikasi Korporat,Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 12/07/2012
Tags: mrsm
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments