mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Islam untuk semua

WALAUPUN Islam berlaku di tanah Arab, dalam budaya Arab dan wahyu disampaikan dalam bahasa Arab, namun Islam menjadi sebuah tamadun agung yang dibangunkan oleh bukan Arab, berlaku di luar jazirah Arab serta menjadikan bahasa selain dari Arab sebahagian dari bahasa Islam.

Kota Baghdad pada zaman Abbasiah menyaksikan bukan Arab dan bukan Islam sama-sama membangun keagungan Islam. Karya Greek atau Yunani seperti astronomi, sains, matematik, perubatan dan  falsafah diterjemah ke dalam bahasa Arab juga oleh mereka yang bukan Arab dan bukan Islam.


Sekadar gambar hiasan. - Foto Internet

Usaha terjemahan ini berterusan semasa Islam bertapak di Sepanyol, yang mana karya-karya Yunani dalam bahasa Arab diterjemahkan pula ke dalam bahasa Latin dan Ibrani.

Di Parsi atau Iran silam, Islam menjadi sebuah sistem pentadbiran yang unggul serta menghasilkan pemikir-pemikir ulung dalam sains dan teknologi, perubatan, matematik, falsafah dan kesusasteraan.

Imam Ghazali yang dikenali sebagai Algazel di Barat adalah orang Parsi. Begitu juga dengan Ibnu Sina yang dikenali sebagai Avicenna menjadi sumbangan yang besar kepada tamadun Barat dalam bidang perubatan dan falsafah juga adalah orang Parsi.

Bahasa Parsi menjadi bahasa kedua terpenting selepas bahasa Arab dan digunakan dengan meluas di Asia Tengah di pusat keilmuan seperti Bukhara dan Samarqand.

Di Turki semasa empayar Uthmaniah atau Ottoman, gereja Byzantine yang paling agung iaitu Hagia Sophia sekadar diubahsuai untuk menjadi masjid. Malah boleh dikatakan kebanyakan masjid lama di Turki dibina mengikut seni bina Hagia Sophia.

Kesemua yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa keagungan Islam adalah hasil perkongsian ilmu dan budaya antara Islam dan bukan Islam serta antara Arab dan bukan Arab.

Hari ini terdapat suara-suara dalam kalangan umat Islam yang melaungkan pandangan bahawa Islam sahaja yang boleh mengubati masalah dunia. Namun yang berlaku ialah masyarakat Islam adalah paling bermasalah dan perlu diubati.

Lebih parah ialah Islam bukan setakat ditakuti oleh yang bukan Islam, malah orang Islam sendiri pun takut dengan Islam yang ada hari ini.

Islam dilihat sebagai berada di satu pihak dan yang selain dari Islam berada di pihak lain. Yang selain dari Islam dilihat sebagai ancaman dan musuh dan sebarang permasalahan dalam masyarakat Islam adalah kerana agenda Zionis dan angkara Yahudi dan Nasrani.

Orang Islam melihat diri mereka sebagai the good guy atau manusia baik dan yang selain dari Islam, terutamanya Barat dilihat sebagai the bad guy atau manusia jahat yang senantiasa ingin menghancurkan Islam.

Persepsi sebegini adalah rentetan dari penjajahan Barat ke atas umat Islam yang berlaku sekitar abad ke-16 hingga abad ke-20. Boleh dikatakan sehingga hari ini dunia Islam belum pulih dari trauma penjajahan ini. Sebagai reaksi, sering kali kedengaran ialah kata-kata seperti seandainya bukan kerana Islam maka Barat tidak akan mengecapi apa yang dikecapi hari ini. Malah demokrasi juga dikatakan sudah diamal pada zaman para sahabat dan Barat hanya meniru sahaja.

Berikutan ini, Islam yang muncul selepas penjajahan Barat ialah Islam yang dilaungkan sebagai mampu menjadi sebuah tamadun agung tanpa sumbangan tamadun lain tetapi sebaliknya tamadun lain terutamanya tamadun Barat semuanya terhutang budi kepada Islam untuk kemajuan dan kejayaan mereka.

Lama-kelamaan Barat dan Timur dilihat sebagai lawan dan bukan kawan serta pembawa ancaman dan bukan kemaslahatan. Malah falsafah, budaya dan nilai hidup sama ada Barat atau Timur dilihat sebagai tiada kaitan langsung dengan Islam.

Umat Muhammad perlu kembali kepada ketika mana Islam menjadi tarikan kepada bukan Islam dan bukan Arab yang turut menyumbang kepada tamadun Islam yang di dalamnya terdapat pelbagai tamadun lain seperti tamadun Barat sebagaimana di Andalusia dan Eropah Timur dan Selatan, India, China, Afrika, Asia Tengah, Nusantara, Turki dan juga Parsi. Hanya dengan cara ini baru boleh dikatakan Islam adalah untuk semua dan bukannya Islam untuk orang Islam sahaja.

Tags: islam
Subscribe

Posts from This Journal “islam” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments