mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ “Fahaman Liberal Perosak Akidah”

Petikan Khutbah Jumaat 26 Februari 2016:  JAIS

“Fahaman Liberal Perosak Akidah”

Liberalisme adalah satu fahaman yang menuntut kebebasan berfikir tanpa batasan dan menolak prinsip kebenaran agama Islam serta mengambil jalan mudah dalam beragama.

Melalui fahaman liberal ini, pemikiran umat Islam diadun dengan acuan kebebasan tanpa batasan, iaitu bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan, kongkongan atau diskriminasi yang dianggap sebagai kebebasan asasi. Sekiranya disekat, dihalang atau didakwa, maka golongan ini dengan pantas mencanang satu dunia bahawa hak kebebasan mereka telah dicabuli.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 83: “Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk Yang ada di langit dan di bumi, sama ada Dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadanya lah mereka dikembalikan”.

Statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa bermula Januari hingga Julai 2013 sebanyak 90 kes pembuangan bayi direkodkan. Daripada jumlah tersebut sebanyak 59 bayi ditemui meninggal dunia. Manakala pada tahun 2014 sebanyak 53 kes direkodkan bagi tempoh yang sama. Daripada jumlah tersebut seramai 38 bayi ditemui meninggal dunia. Adakah kebebasan ini yang dituntut?

Mimbar ingin menegaskan bahawa matlamat undang-undang kesalahan khalwat digubal adalah bertujuan mengawal dan mencegah daripada berlakunya kesalahan yang lebih besar iaitu zina. Islam juga memberi peringatan untuk mencegah sesuatu yang mungkar bagi menjamin kemaslahatan umat Islam daripada terjerumus ke lembah kebinasaan.

Oleh sebab itu Islam menetapkan supaya 5 asas objektif pensyariatan wajib dijaga dan dipelihara oleh kita semua iaitu;

1. Menjaga agama,
2. Menjaga nyawa,
3. Menjaga keturunan,
4. Menjaga akal,
5. Menjaga harta.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 32: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)”.

Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِني تركْت فيكُم شيئَينِ لَن تضلُّوا بعدهما؛ كتاب االلهِ وسنتي “Wahai manusia! Sesungguhnya aku tinggalkan untuk kamu dua perkara jika kamu berpegang kepadanya kamu tidak akan sesat selamanya; kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku”. (Riwayat al-Hakim).

Melihat kepada ideologi liberalisme yang bertentangan dengan syariat Islam, maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 telah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam. Disamping itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 6 Jun 2013 telah memutuskan bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai aliran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan telah diwartakan pada 31 Julai 2014.

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita renung dan ambil pengajaran serta penghayatan yang memberi manfaat dalam hidup kita iaitu;

1. Umat Islam dituntut supaya kembali kepada petunjuk al Quran dan asSunnah dengan menghayati isi kandungannya dan diaplikasikan dalam kehidupan kita seharian disamping menghormati dan merujuk kepada ulama-ilama yang muktabar.

2. Umat Islam hendaklah memastikan agar tidak terpedaya dengan pemikiran liberalisme yang boleh melemahkan iman mereka.

3. Umat Islam diwajibkan menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan harta disamping mengutamakan maslahah ‘ammah berbanding dengan masalah peribadi sahaja.

4. Umat Islam hendaklah menolak fahaman-fahaman yang menyesatkan dan bertentangan dengan prinsip-prinsip pegangan Ahli Sunnah walJamaah yang boleh merosakkan akidah.

“Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak). Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya”. (Surah Ibrahim : 2-3).

Wallahualam
Tags: khutbah, liberal
Subscribe

Posts from This Journal “liberal” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments