mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fenomena gerhana matahari separa

PADA 9 Mac nanti, sebaik sahaja matahari terbit, seluruh Malaysia dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari separa.

Fenomena gerhana matahari umumnya boleh berlaku apabila tiga jasad besar di angkasa lepas iaitu bumi, bulan dan matahari berada dalam kedudukan selari.

Hasil daripada kedudukan yang unik ini, jasad bulan berupaya menutupi jasad matahari, lalu mengakibatkan bentuk matahari di langit menjadi tidak bulat seperti biasa, dan akan kelihatan seolah-olah hilang sebahagiannya.

Pada lokasi-lokasi tertentu, jasad matahari akan hilang keseluruhannya, lalu terjadilah fenomena gerhana matahari penuh. Pada 9 Mac nanti, hanya Negara Indonesia sahaja yang bernasib baik dapat melihat fenomena ini.

Insya-ALLAH saya sendiri akan ke sana untuk cuba merakam fenomena tersebut.

Bagi anda yang berada di Malaysia, anda akan dapat melihat sebahagian besar  matahari tertutup (bukan sepenuhnya). Fenomena yang ini dikenali sebagai fenomena gerhana matahari separa.

Kali terakhir penduduk Malaysia dapat melihat fenomena gerhana matahari separa ialah pada Januari 2010.

Gerhana matahari separa yang akan berlaku pada 9 Mac ini bermula sebaik sahaja matahari terbit di ufuk timur. Bagi penduduk di utara Malaysia, anda akan dapat melihat matahari sudah pun 'hilang' sedikit sebahagian daripada sisinya ketika terbit.

Bagi penduduk arah selatan Malaysia, anda akan dapat lihat matahari dalam keadaan sempurna bulat ketika ia terbit, dan berpeluang melihat sentuhan pertama (First Contact), iaitu saat jasad bulan kali pertama mula kelihatan di salah satu sisi matahari, lebih kurang 5 hingga 6 minit selepas terbitnya matahari.

Kemuncak gerhana matahari separa ini berlaku sekitar jam 8.23 pagi. Namun, ia bergantung juga kepada kawasan dan lokasi. Selain itu peratusan matahari tertutup juga bergantung kepada lokasi. Semakin ke selatan, semakin banyak peratusan matahari akan tertutup.

Jadual dan rajah di bawah boleh digunakan sebagai panduan asas untuk waktu puncak gerhana serta peratusan matahari tertutup.

Cara melihat gerhana

Disebabkan fenomena ini gerhana matahari separa, maka sebahagian matahari masih kelihatan dan bersinar terang di langit. Walaupun peratusan matahari yang tertutup itu tinggi (sekitar 87 peratus di Kuching), namun masih berbahaya untuk dilihat dengan mata.

Amaran! Jangan sekali-kali melihat matahari, sama ada dengan mata atau peralatan astronomi tanpa menggunakan penapis khas matahari. Ia boleh mengakibatkan anda buta.

Pastikan anda mendapat nasihat dan tunjuk ajar yang betul daripada pakar astronomi tempatan, pegawai falak di jabatan mufti, dan juga organisasi seperti Planetarium Negara.

Saya syorkan agar hubungi mereka terlebih dahulu untuk mendapat tunjuk ajar yang betul cara-cara melihat gerhana matahari ini.

Penggunaan cermin mata gerhana iaitu 'cermin mata' khas yang mempunyai lapisan khas yang akan menapis segala cahaya  berbahaya yang datang daripada matahari. Ia boleh didapati daripada kedai-kedai teleskop.

Bilakah gerhana matahari seterusnya yang akan berlaku di Malaysia? Jika anda terlepas peluang menyaksikan fenomena gerhana matahari separa ini, anda perlu menunggu hingga 26 Disember 2019. Pada tarikh tersebut, sebahagian kecil di selatan Semenanjung Malaysia akan berpeluang menyaksikan gerhana matahari cincin, manakala kawasan lain di Malaysia dapat menyaksikan gerhana matahari separa.

Tags: kuasa, mukjizat
Subscribe

Posts from This Journal “mukjizat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments