mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Datangkan kebaikan, hapus kejahatan

SEGALA puji bagi ALLAH SWT mengutus rasul-Nya membawa petunjuk dan agama yang benar supaya ia dimenangkan dan ditinggikan atas segala agama yang lain dan cukuplah ALLAH sebagai saksinya.

Sewajarnya kita bertakwa kepada ALLAH dan bersyukur atas nikmat-Nya yang zahir dan batin. Sebagaimana firman ALLAH: "Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH nescaya kamu tidak dapat menentukan bilangannya." (Surah Ibrahim: 34)

Sebesar-besar nikmat ALLAH atas penduduk bumi secara amnya dan orang beriman secara khasnya adalah nikmat Islam serta diutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat sekalian alam.

Ternyata manusia, sebelum kedatangan Baginda SAW mereka berada dalam kegelapan dan kesesatan yang parah. Ketika itu orang Majusi penyembah api menguasai negeri timur manakala Kristian pula menguasai negeri di barat serta kebanyakan negeri Arab. Adapun orang Yahudi, mereka bertebaran di negeri di sebelah timur dan barat menyebarkan kerosakan dan kekacauan.

Golongan penyembah berhala pula menguasai semenanjung negeri Arab. Merata-ratalah orang menyembah berhala di bandar dan perkampungan. Mereka mengubah agama Nabi Ibrahim AS dengan memenuhkan kawasan Masjid Haram dan Kaabah dengan berhala-berhala. Demikianlah cahaya petunjuk agama ALLAH dipadamkan sementara syaitan pula bermain-main menyesatkan manusia.

Diutus seorang rasul

Keadaan ini menuntut supaya diutuskan rasul bagi membolehkan manusia dikeluarkan daripada kegelapan kepada cahaya. ALLAH mengutus Nabi SAW di mana dengan risalah Baginda SAW bawa, Baginda SAW dapat menyinari bumi setelah kegelapannya di samping menyatukan umat manusia.

Datanglah agama Islam yang agung ini membawa kepada manusia kebaikan dan menghapuskan kejahatan. Untuk membantu Rasulullah SAW, ALLAH telah memilih buat Baginda SAW sahabat Baginda SAW yang membantu dan mempertahankan Baginda SAW. Mereka adalah sebaik-baik manusia, yang paling memahami agama ini dan tidak berlebih-lebihan dalam urusan agama.

Mereka berjihad di jalan ALLAH dengan sebenar-benarnya. Mereka sebarkan Islam ke sebelah timur dan barat sehingga di tangan mereka ALLAH memberi kemenangan serta ditinggikan agama Islam atas sekalian agama yang lain.

Dengan itu terpadamlah api najis orang Majusi, ditundukkan sifat takabbur dan sombong orang Yahudi, disingkapkan kesesatan orang Nasrani dan dihancurkan patung berhala. Dunia ketika itu diperintah dengan keadilan sementara hati nurani manusia penuh dengan perasaan khusyuk dan iman.

Islam ketika itu berjaya melahirkan tokoh panglima yang membuka kota baru Islam dengan jihad dan menawan hati manusia dengan ilmu serta kebijaksanaan. Terpancarlah mata air ilmu al-Quran dan Sunnah sehingga ia memenuhi halaqah ulama dan perpustakaan dunia dengan ilmu dan tulisan mereka.

Keadaan ini tidak pernah dilihat oleh dunia dalam sekalian agama yang lain. Inilah dia agama Islam yang ALLAH bersaksi akan kesempurnaannya.

Syaitan tidak senang

Bagaimana pula kedudukan syaitan dan pengikutnya terhadap agama ini setelah usaha mereka tergendala dan manusia dibebaskan daripada ikatan belenggu menyembah mereka?

Ternyata mereka memusuhi agama Islam ini sejak dahulu hingga sekarang. Dan mereka menggunakan segala cara untuk menghapuskannya, menghalang perkembangannya atau memburuk-burukkannya. Tetapi, ternyata agama Islam terus diterima oleh hati yang bersih suci memandang ia adalah agama fitrah yang bersesuaian untuk sepanjang zaman dan tempat.

Mereka berusaha menyebarkan syubhah dalam agama Islam dan hukum-hakamnya tetapi betapa cepatnya tipu daya mereka tersingkap. Mereka cuba bermuslihat dengan mengangkat orang yang berpura-pura Islam sedang hati mereka kufur tetapi golongan ini sekali lagi betapa cepatnya ALLAH menyingkapkan niat dan perancangan buruk mereka melalui penjelasan ulama mengenai bahaya mereka.

Setelah segala usaha mereka gagal, mereka mengambil jalan memecahbelahkan umat Islam dengan menimbulkan permusuhan antara mereka. Timbullah pelbagai kumpulan berbeza. Bermula dengan Khawarij, Syiah, Jahmiah dan Muktazilah kemudian daripada kumpulan ini lahir berbagai-bagai anak kumpulan lain.

Hal ini menepati sabda Nabi SAW umat Islam ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kumpulan, kesemuanya akan masuk neraka kecuali satu kumpulan sahaja. Kumpulan yang selamat ini adalah mereka yang mengikuti pegangan Nabi SAW dan sahabat Baginda SAW.  (Riwayat Abu Daud, sahih)

Kumpulan yang satu ini telah kekal dan wujud sepanjang zaman dan akan terus wujud sehingga tiba hari kiamat. Dengan adanya kumpulan yang selamat ini, agama Islam akan terus kekal zahir dan mereka yang berpegang dengannya akan terus diberi kemenangan. Adapun golongan yang menyelisihkan kumpulan ini, mereka tidak akan dapat merosakkan Islam mahupun penganutnya. Firman ALLAH: "Bagi ALLAH jualah kemuliaan dan kekuatan, dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan munafik tidak mengetahuinya." (Surah Al-Munafiquun: 8)

Musuh Islam hari ini

Pada hari ini, musuh terus melancarkan serangan mereka terhadap Islam melalui gerakan kuku besi Komunis, pertubuhan sulit Yahudi Freemason, organisasi Kristian yang benci Islam dan cuba memporak-perandakan orang Islam dengan segala tipu muslihat dan daya penarik. Tetapi Islam terus berdiri megah dan tinggi. Panah-panah musuh tidak sampai kepadanya dan salakan-salakan anjing tidak memberi sebarang kesan terhadapnya.

Sungguh agama Islam bukan pada sekadar nama dan dakwaan sebaliknya ia adalah dengan kata-kata, amalan dan kepercayaan. Islam agama dan negara. Ia juga kepercayaan dan tingkah laku yang berdiri atas asas rukun Islam lima;

- Mengucap dua kalimah syahadah

- Mendirikan solat

- Menunaikan zakat

- Puasa Ramadan

- Menunaikan haji

Agama seseorang itu akan menjadi sempurna dengan melaksanakan kewajipan dan ibadah sunat.

Islam apakah jika seorang itu meninggalkan solat, tidak melaksanakan hal-hal wajib dan melanggar hal-hal yang haram. Sesungguhnya agama Islam dipelihara ALLAH. Sekiranya kita tidak menjaganya maka ALLAH akan membawa kaum lain yang lebih baik daripada kita untuk menjaganya.

Tags: kebaikan, kejahatan
Subscribe

Posts from This Journal “kebaikan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments