mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hayati tanggungjawab perkahwinan

PADA masa ini ramai yang mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan kerana percaya ramai yang mempunyai kelapangan berkunjung untuk memeriahkan hari bersejarah bagi pasangan mempelai itu. Maka sibuklah naib-naib kadi lantaran permintaan yang tinggi bagi musim cuti ini. Memang hasrat ini amatlah baik kerana Islam juga menggalakkan kita meraikan pasangan-pasangan yang baru berkahwin. Malah adalah menjadi syiar Islam mengumumkan sesuatu perkahwinan itu.

Dalam sesuatu majlis perkahwinan perlulah kita membezakan yang mana adat dan ibadat. Dari kaca mata Islam upacara akad nikah itu sebenarnya lebih penting dari kenduri itu sendiri kerana saat menjadi suami isteri itu ialah tatkala lafaz ijab dan qabul itu sempurna. Tatkala itulah bermulanya layar bahtera perkahwinan suami isteri tersebut dan keluarga ini perlu diacu mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Berapa ramaikan pasangan pengantin baharu dan ahli keluarga yang menghantar pengantin itu memberi tumpuan kepada khutbah nikah yang disampaikan oleh jurunikah? Sebenarnya inti pati khutbah nikah itu amat bermakna bagi dijadikan teladan dan sempadan dalam setiap perkahwinan.

Walaupun kenduri majlis perkahwinan itu dituntut dalam Islam, namun apalah gunalah jika wang dihabiskan untuk majlis tersebut di tempat-tempat mewah tetapi apabila hendak memulakan kehidupan seharian kelak, raja sehari ini terpaksa meminjam dan meminta-minta daripada orang lain. Ia sebenarnya membawa implikasi besar kerana tanggungjawab menyara keluarga pada ketika itu adalah tanggungjawab si suami sepenuhnya. Tiada guna bermegah-megah dengan majlis yang mewah tetapi perkahwinan tidak dapat bertahan kerana masalah kewangan dan kemungkiran tanggungjawab.

Di samping itu juga, penulis mengambil kesempatan di ruangan ini untuk menasihati pasangan pengantin baharu agar memperdalami ilmu agama, tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kerukunan rumah tangga hendaklah sentiasa disemai dan dibajai agar ia mekar dan mencapai matlamat rumah tangga yang sebenar iaitu ‘mawaddah wa rahmah’ (kasih dan sayang). Memanglah tidak dinafikan sesebuah rumah tangga itu mesti akan diuji, anggaplah ujian itu sebagai pemangkin menambah kasih sayang antara suami isteri itu. Oleh yang demikian ketepikan ego dan dendam bagi memastikan bahtera rumah tangga itu dapat dilayari dengan baik. Dengan cara ini, segala masalah rumah tangga dapat diselesaikan dengan baik. Maaf-memaafi amatlah penting bagi memastikan kasih sayang sentiasa dipupuk.

Sepertimana pernikahan, perceraian membawa implikasi yang amat besar kepada pasangan dan keluarga. Malah perceraian adalah perkara halal yang amat dibenci oleh ALAH. Apabila perceraian berlaku penyesalan sudah tidak bermakna lagi.

Perkara yang sering dilupakan oleh pasangan pengantin baharu ialah belajar ilmu agama walaupun sepatutnya tatkala bergelar suami atau isteri persoalan ini tidak perlu diungkitkan lagi. Namun bagi peringatan kita yang sering lupa, suami wajib mengajar sekurang-kurangnya ilmu fardu ain kepada isterinya. Jika suami itu tidak mampu mengajar isterinya maka hendaklah si suami mencari pengajar-pengajar agama bagi mengajar isteri. Juga amat baik sekiranya si suami juga meluangkan masa sama-sama mendalami ilmu agama itu kerana sekiranya terdapat sebarang masalah di dalam keluarga suami isteri ini boleh kembali kepada agama bagi mencari formula penyelesaiannya. Lantaran itu risiko perceraian akan dapat dikurangkan.

Bagi orang Islam di Malaysia, terdapat undang-undang khusus berhubung dengan perkahwinan dan perceraian. Undang-undang ini digubal bagi memelihara hak-hak sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam. Undang-undang ini dinamakan Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Akta/Enakmen ini telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia. Amatlah penting bagi suami isteri mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagai suami atau isteri menurut undang-undang yang berkuat kuasa.

Apa pun keadaannya, terpulanglah kepada kedua pasangan bagaimana mencorakkan rumah tangga mereka ini. Tanyalah diri masing-masing, rancanglah perbelanjaan dan pendidikan bagi diri dan keluarga. Sentiasalah berbincang antara satu sama lain sesuatu perkara sama ada dianggap sebagai remeh-temeh ataupun tidak. Hormatilah pasangan masing-masing. Semakin hari tanggungjawab yang dipikul itu semakin berat dan sekiranya kita tidak mendekatkan diri kepada ALLAH, sudah pasti ALLAH tidak akan membantu kita meringankan beban tersebut.

Tags: perkahwinan, tanggungjawab
Subscribe

Posts from This Journal “perkahwinan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments