mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Qarun mati, siapa pewaris kesombongannya?

"SESUNGGUHNYA Qarun adalah dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba ALLAH) sebagaimana ALLAH berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."

Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku." (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa ALLAH telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya perihal dosa mereka, (kerana ALLAH sedia mengetahuinya).

Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik."

Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada ALLAH lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar."

Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab ALLAH dan  dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri." (Surah Al-Qasas: 76-81)
Qarun mati, kesombongannya masih hidup

Demikian sebahagian kisah Qarun yang dirakamkan oleh al-Quran. Nama Qarun terus segar hingga ke hari ini. Namun, ia segar dalam konotasi yang negatif. Kisahnya diulang sebut bukan untuk diteladani tetapi untuk dijauhi. Kisah manusia yang tidak sedar diri. Dikurniakan harta kekayaan yang melimpah ruah, lalu terus lupa kepada Sang Pemberi. Terus sombong sesama insani.

Walaupun berulang kali diperingatkan, Qarun tetap tidak berubah. Bahkan semakin takabbur dan sombong, bukan sahaja sesama manusia tetapi juga kepada ALLAH. Dia mendakwa segala harta kekayaan yang dimiliki adalah hasil kebijaksanaan dan titik peluh beliau sendiri.

Kekayaan yang dimiliki menjadikannya semakin jauh dengan Pencipta. Bukan sahaja tidak bersyukur, bahkan dia berada di tahap kebongkakan dan kesombongan yang sangat dahsyat. Lalu, harta yang dibangga-banggakannya bukan menjadi pembela dan penyelamat. Tetapi, menjadi asbab untuk Qarun diazab. Musnah dan tenggelamlah Qarun bersama harta-hartanya.

Dua jenis manusia takabbur

Qarun sudah tiada lagi. Ceritanya menjadi sejarah. Hartanya hilang entah ke mana. Namun, kesombongan, kebongkakan dan takabbur terus kekal diwarisi oleh sebahagian manusia hingga hari ini.

Sombong dan takabbur adalah sifat terkeji yang boleh membinasakan diri sendiri. Ia boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu takabbur ke atas kebenaran dan takabbur sesama manusia.

Rasulullah SAW menjelaskan: "Takabbur ialah menolak kebenaran dan menghina orang lain." (Riwayat Muslim)

Bagaimana? Manusia yang berasakan dirinya serba tahu dan sentiasa betul tidak akan senang-senang untuk mengakui dirinya salah dan menerima kebenaran yang bertentangan dengan pendapatnya. Sekali pun dibentangkan hujah yang sahih dari al-Quran dan sunnah, namun diri yang bongkak tidak akan menarik balik pendapat atau pegangannya. Ketika itu, jadilah dia seorang yang bongkak dengan kebenaran.

Mungkin jauh di sudut hatinya akur dan sedar kebenaran yang ada tidak berpihak kepadanya. Namun demi menjaga air muka, maruah, kedudukan dan sokongan, dia tetap menolaknya. Apatah lagi jika dia seorang yang ternama, dikenali ramai, berjawatan tinggi dan punyai populariti. Kesombongan dan ketakburannya menjadikan dia seorang yang menafikan kebenaran dengan seribu satu alasan.

Kedua, sombong dan takabbur sesama manusia. Mengapa manusia boleh jadi sombong dan takabbur dengan manusia lain? Antara faktornya kerana dia berasa mempunyai kelebihan berbanding orang lain. Orang yang berasakan dia lebih banyak harta, lebih cantik, lebih pandai, lebih berpangkat, lebih tua, lebih berpengalaman termasuk lebih 'beragama' boleh menjerumuskan dirinya menjadi sombong dan takabbur.

Kesombongan itu boleh menjadikannya memandang rendah dan hina kepada orang lain. Jika dia dalam kalangan orang berada, berasa tidak selesa bergaul dengan orang miskin. Jika dia orang ternama, tidak suka berada di kelompok orang-orang biasa.

Takwa sebagai penyelamat

Hanya takwa yang boleh menjadi penyelamat. Manusia yang banyak harta, tinggi jawatan, ada kedudukan dan punyai segala kelebihan boleh sahaja menjadi insan tawaduk dan merendah diri sekiranya takwa menjadi perhiasan diri.

Ketika terlintas perasaan sombong dan membangga diri, lantas dia teringat pesanan ALLAH SWT: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." (Surah Luqman: 18)

Dalam ayat lain, ALLAH berfirman: "Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang." (Surah Al-Israa: 37)

Apa untungnya menjadi orang yang sombong? Siapa yang menyukai orang-orang yang sombong? Tidak ada untungnya langsung. Manusia yang sombong mungkin berasa puas dan megah apabila dia kelihatan lebih dari orang lain. Hakikatnya dia hanya tertipu dengan nafsunya sendiri.

Di dunia si takabbur boleh memandang orang lain dengan pandangan yang hina. Sewenang-wenangnya memperlekehkan orang lain. Sentiasa berasa dirinya besar, mulia, berharta dan berkuasa. Namun, di akhirat, orang takabbur bakal dihinakan pula oleh ALLAH sekiranya taubat tidak mengiringi. Ini kerana, kemuliaan dan kenikmatan negeri akhirat hanya disediakan bagi orang bertakwa.

Firman-Nya: "Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Al-Qasas: 84)

Tags: harta
Subscribe

Posts from This Journal “harta” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments