mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Indahnya bersujud

SUJUD adalah satu ibadah yang sangat istimewa. Manakan tidak, apabila seseorang bersujud dia berbisik ke bumi, tetapi suaranya sampai sehingga ke langit. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia bersujud, kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."

Tiada apa yang menjarakkan hubungan sang hamba dengan Tuhan. Kita boleh memohon kepada-Nya tanpa perantara. Doa kita didengari setiap masa. Kita memohon hajat kepada-Nya tanpa Dia meletakkan syarat.

Ketika kehambaan kita bertambah, hubungan dekat kita dengan Tuhan juga semakin erat. Tuhan cinta kepada hamba-Nya yang merendah dan menghinakan diri di depan-Nya. Sujud itu adalah langkah untuk meningkatkan kehambaan dalam diri.

Rasulullah SAW bersabda lagi: "Hendaklah kamu memperbanyak sujud! Tidaklah kamu melakukan satu sujud melainkan ALLAH mengangkat darjatmu dan menghapuskan kesalahanmu."

Besarnya fadilat sujud sehingga sebuah surah dinamakan dengan nama As-Sajdah. Surah ini diturunkan di Makkah untuk mengenalkan ALLAH SWT sebagai Tuhan yang paling layak untuk disembah dan tunduk pada-Nya.

Pada ayat ke-15 dalam Surah As-Sajdah: "Orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami hanyalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengannya mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, dan mereka tidak menyombongkan diri."

Menariknya dalam Surah As-Sajdah selepas ayat orang yang tunduk sujud, ayat ke-16 seterusnya disambung dengan orang beriman yang bangun dari tidur mengerjakan solat malam dalam keadaan takut dan harap. Waktu sepertiga malam adalah waktu mustajab doa.

"Pada malam hari terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang Muslim memanjatkan doa pada ALLAH berkaitan dengan dunia dan akhiratnya bertepatan dengan waktu tersebut melainkan ALLAH akan memberikan apa yang dia minta. Hal ini berlaku setiap malamnya."

Percantuman sujud dan solat di sepertiga malam, adalah saat dekat yang bertambah dekat dengan Tuhan.

MANIFESTASI SEBUAH KETUNDUKAN

Di alam semesta ini bukan sahaja manusia yang bersujud, hidupan lain juga bersujud kepada ALLAH melalui cara yang telah ditetapkan-Nya. ALLAH berfirman: "Tidakkah engkau tahu bahawa kepada ALLAH bersujud setiap yang ada di langit dan di bumi, juga matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, haiwan yang melata dan kebanyakan manusia? Tetapi banyak manusia yang layak mendapat azab." (Surah Al-Hajj: 18)

Ayat ini menerangkan ramai manusia yang bersujud bersama ciptaan ALLAH yang gah dan indah. Orang ini dapat melihat segalanya bersujud kerana dia sendiri berada dalam suasana sujud dan menikmatinya. Sebab pada saat itu dia bukan lagi melihat dengan mata kasar, tetapi melihat juga dengan mata hati dan mata fikiran yang cerah.

Tetapi banyak juga manusia tidak melihat matahari, bulan, pohon dan pokok, burung serta haiwan bersujud. Kerana seperti kata Buya Hamka, jangankan melihat kesemua itu bersujud, melihat orang sujud pun dia jarang atau tidak pernah sama sekali. Dan dia sendiri pun jarang sujud atau tidak pernah.

Walaupun semua makhluk bersujud kepada-Nya, sujud yang dilaksanakan manusia itu lebih istimewa di sisi Tuhan. Makhluk lain tiada pilihan melainkan untuk tunduk dengan ketentuan yang diberikan. Manusia boleh sahaja memilih untuk tidak bersujud.

Pilihan manusia untuk bersujud berbanding tidak bersujud itulah yang membuatkan sujud manusia lebih mulia berbanding sujud makhluk yang tiada upaya untuk ingkar.

Kenikmatan sujud bukan sahaja dalam solat. Suasana sujud turut akan dirasai dalam kehidupan. Orang yang hatinya sentiasa sujud akan menjaga adab-adab hubungannya sesama manusia juga kepada alam. Tidak layak dalam kebersamaan kita bersujud untuk kita saling bergaduh. Tidak patut juga alam persekitaran dirosakkan kerana alam dan kita telah bersatu dalam ketaatan. Merosakkan hubungan ini bererti merosakkan hubungan sujud kita pada Pencipta.

ALLAH telah membeli kehidupan kita untuk Dia. Bayarannya adalah syurga. Semakin baik nilai ketundukan, semakin tinggi bayaran-Nya. Firman-Nya: "Maka tidak ada seorang pun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu bermacam-macam nikmat yang menyenangkan hati sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan." (Surah As-Sajadah: 17)

Tags: indah, sujud
Subscribe

Posts from This Journal “sujud” Tag

  • Melazatkan sujud

    “SETIAP kali sujud untuk solat, saya bayangkan sedang menyertai semua makhluk Allah lain sedang bersujud. Dengan cara ini rasa sedap untuk…

  • Tujuh anggota sujud

    ULAMA bersepakat bahawa sujud yang sempurna mestilah dilakukan di atas tujuh anggota. Majoriti mazhab iaitu Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat…

  • Perbanyakkan zikir, doa dalam sujud

    Pergerakan dalam solat ketika sujud adalah gambaran terbesar kehambaan kita kepada Allah SWT. Sujud keadaan yang paling hampir seseorang hamba itu…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments