mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Menjaga jiwa supaya sentiasa celik mata hati

Dalam pemikiran ‘Reset Minda’ diperkenalkan tentang konsep ‘mata fizikal’, ‘mata akal’, ‘mata nafsu’ dan ‘mata hati’. Semua yang kita lakukan adalah hasil daripada pandangan empat ‘mata’ tersebut. Kedua-dua belah mata kita, yang kita nampak di wajah kita itu adalah ‘mata fizikal’, yang fungsinya dijadikan Allah untuk melihat. Dengan ‘mata fizikal’ kita nampak segala bentuk fizikal di hadapan kita. ‘Mata akal’ bermaksud kita memandang dengan fikiran kita. Dengan ‘mata akal’ kita dapat menilai, sama ada apa-apa yang kita pandang dengan ‘mata fizikal’ itu baik atau buruk untuk kita. Jika kita nampak perkara yang buruk/negatif itu indah, menarik dan baik/positif bermakna kita hanya memandang dengan menggunakan ‘mata nafsu’. Tetapi, kalau kita pandang dengan ‘mata hati’ kita akan nampak apa yang tidak tercapai oleh pandangan ‘mata fizikal’, ‘mata akal’ dan ‘mata nafsu’.

Memandang dengan ‘mata hati’ bermakna, memandang dengan jiwa/roh kita. Jiwa/roh yang bersih akan menyisih semua pandangan yang akan memberikan impak negatif kita, terutama pandangan yang bersandarkan ‘mata nafsu’. Sebab itu kita mesti menjaga roh kita, supaya kuat. Jika roh kuat ertinya jiwa kita kuat, dan jiwa yang kuat hanya datang dari jiwa yang bahagia, tenang dan sihat. Apabila roh kita kuat, fizikal kita juga akan menjadi kuat, sebab kekuatan fizikal itu datang daripada semangat kita yang kuat, yang lahir daripada jiwa atau roh yang kuat. Ingatlah, bahawa roh boleh mengawal tenaga kita, sebab itulah jiwa/roh kita perlu dijaga dengan baik dan dibangunkan dengan santapan kerohanian/spiritual.

Tiga cara utama menjaga jiwa/roh supaya kita sentiasa ‘celik mata hati’, dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk, dapat melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan, serta seterusnya ada perasaan belas kasihan, kasih sayang, simpati dan empati terhadap sesama manusia serta sekalian makhluk. Pertama, sentiasa menggunakan lidah untuk berzikir, akal untuk berfikirkan tentang kebesaran Allah, badan untuk beramal dan hati untuk yakin mengingati Allah. Kedua, buang semua penyakit hati dan sifat negatif yang mendahului dan mencintai duniawi, dengan menggantikan rasa cinta hanya kepada Allah dan Rasul. Ketiga, kekalkan ‘mata hati’ positif dengan sentiasa bersyukur dan niat sentiasa hendak memberikan kebaikan.

Ingatlah, kita hanya boleh beri apa yang ada dalam hati atau jiwa kita. Kalau hati atau jiwa kita asyik hendak marah-marah, maknanya banyak emosi marah dalam hati atau jiwa kita. Kalau hati dan jiwa kita penuh dengan kasih sayang, maka kita mudah memberi kasih sayang kepada orang. Kasih sayang adalah kunci segala kebahagiaan dalam hidup. Jika hati dan jiwa kita penuh dengan kecantikan, kita akan melihat semua kecantikan dalam semua perkara dan peristiwa yang berlaku di hadapan kita, kita akan melihat kecantikan dalam semua peribadi orang, melihat hikmah dalam semua peristiwa dan menjangkakan yang baik-baik berlaku pada setiap hari.

Dengan kesucian ‘mata hati’, insya-Allah setiap hari kita akan mendapat sesuatu yang kita jangkakan, mendapatkan keberkatan waktu, solat tepat pada waktu dan ketenangan jiwa. Waktu akan bersama-sama kita kerana waktu itu juga makhluk Allah, dan insya-Allah kita akan berjumpa orang yang baik, pada waktu yang baik, dalam keadaan yang baik dan dalam interaksi yang baik. Melalui interaksi dan komunikasi yang positif ini kita akan bahagia dan orang yang kita dampingi juga akan bahagia.

Apa-apa sahaja yang berlaku ke atas kita, sama ada bahagia atau derita, semuanya tanda kasih sayang Allah, sebab itulah kita kena celik ‘mata hati’ untuk mengenal Allah dan memahami hakikat kasih sayang Allah. Kita juga perlu celik ‘mata hati’ untuk mengambil peduli tentang perasaan orang sekeliling kita yang mendambakan kasih sayang kita, yang mengharapkan sikap pemurah kita, dan yang mengharapkan rasa simpati dan empati kita.

Keprihatinan

Sikap-sikap positif tersebut hanya ada pada orang yang memiliki kecerdasan emosi, iaitu berilmu, beramal, istiqamah atau konsisten dalam amalan dan tingkah lakunya, penuh dengan kasih sayang, hormat, murah hati, ceria, dan kaya dengan senyum. Orang memandangnya pun berasa tenang dan segala kekusutan fikiran bagai terburai, kerana aura positif pada wajahnya sahaja sudah menenangkan.

Pengalaman sebagai doktor, senyuman, sifat keprihatinan serta rasa simpati dan empati yang kita berikan kepada pesakit menenangkan pesakit. Kajian Saintifik menunjukkan bahawa 75% punca penyakit adalah datang daripada psikologi. Apabila kita hendak merawat ‘penyakit fizikal’ maka kita perlu rawat ‘penyakit hati’ pesakit dahulu. Contohnya pesakit darah tinggi mesti elakkan dirinya daripada terkena ‘penyakit hati’, terutama sikap marah-marah yang akan membuatkan penyakit darah tinggi itu akan semakin serius dan lebih memudaratkan. Apabila seseorang yang masih muda mempunyai darah tinggi, selalunya salah satu sebabnya mesti dia ada masalah stres dan tekanan hidup. Ingatlah hidup ini akan stres kalau kita tidak memandang dengan ‘mata hati’.

Dengan ‘mata hati’ kita boleh menukar rasa negatif kepada rasa positif. Kalau kita pesakit pula, jika kita melawan penyakit kita dengan rasa positif, kita akan lebih mudah dirawat dan cepat sembuh. Kalau kita ditimpa sakit dan kita asyik menyebut, “saya sakit”, “saya tidak larat”, “penyakit saya semakin teruk”, “saya tidak sihat”, “saya sudah tidak ada harapan”, “penyakit saya memang tidak boleh diubat “saya akan mati” dan seumpamanya yang menggambarkan rasa putus asa, takut dan kecewa, akan semakin lemah daya tahan kita melawan penyakit.

Sebab apabila kita menyebut perkataan negatif tersebut, kita akan menghantar mesej negatif kepada minda, hati, jiwa dan kesannya seluruh tubuh fisiologi menjadi lemah. Ada sesetengah orang jika mengalami sakit, mereka lebih suka memilih untuk menunjukkan yang mereka sedang sakit. Sebenarnya apabila kita ada penyakit, kita boleh memilih untuk sembuh atau untuk merana. Orang yang positif akan memilih ‘kepercayaan’ yang menguatkannya (sembuh) dan mengelakkan ‘kepercayaan’ yang boleh melemahkannya (sakit). Apabila kita tidak menyebut perkara negatif tentang sakit ini, maka 50% kehidupan kita sudah sihat, kuat dan tenang.

Oleh sebab itu, sebagai pesakit (orang yang berada di sisi negatif) positifkan hati dan fikiran. Sebagai doktor atau siapa pun kita (orang yang berada di sisi positif) hadirkan rasa simpati dan empati dalam hati kita. Tunjukkan kita senasib dengan mereka. Caranya menjadi pendengar yang baik dan tunjukkan perasaan yang sama dengan orang yang luahkan isi hati mereka kepada kita.

Kalau mereka bersedih kita turut berasa sedih, kita cuba membantu jika mampu dan kembalikan semangatnya. Tunjukkan kita memahami dan merasai apa yang sedang dihadapi dan dilalui oleh mereka. Letakkan diri kita dalam diri mereka yang dilanda musibah dan bermasalah, sarungkan kaki kita ke dalam kasut mereka dan sama-sama mengheret kesusahan itu, kerana kita memahami “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”. Jangan biarkan dia hanyut dalam kedukaan dan tidak stabil emosi. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

- Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 06 Mac 2016 6:30 PM
Tags: hati, mata
Subscribe

Posts from This Journal “mata” Tag

  • Jahil mata, hati jika tiada ilmu

    UMUR atau usia adalah modal bagi seorang Mukmin mendekati dan mendapat syurga Allah SWT. Ertinya bagi mereka yang taat, usia dimiliki adalah untuk…

  • Hilang lazat ibadah 
kerana mata?

    BAYANGKAN apa akan terjadi jika nikmat pandangan mata kita ditarik Allah buat seketika. Usah lama! Katakanlah dalam lima minit sahaja. Kita…

  • Panahan mata melumpuhkan

    ‘Ain’ adalah perkataan Arab yang bermaksud mata. Oleh itu, konotasi penyakit ain disebabkan oleh pandangan mata seseorang terhadap…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments