mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mutiara hiasan pemerintah dinasti Islam

MUTIARA merupakan satu ungkapan yang menggambarkan keindahan dan kemewahan. Ciri fizikal mutiara yang sering dilihat ialah berbentuk bulat dan berwarna putih. Tidak seperti permata lain yang tersimpan jauh di dalam tanah, mutiara merupakan permata yang tersimpan di dalam air. Ia dijadikan perhiasan oleh manusia sejak zaman sebelum Masihi. Mutiara mempunyai dua nama panggilan di dalam bahasa Arab iaitu lu’lu’ dan al-durr. Menurut Encyclopedia of Islam, istilah lu’lu’ digunakan untuk mutiara yang telah ditebuk dan al-durr adalah mutiara besar yang belum ditebuk.

Mutiara merupakan satu-satunya perhiasan berharga yang dihasilkan daripada benda hidup atau dikenali sebagai hidupan organik iaitu sejenis tiram yang dipanggil indung mutiara. Tiram yang menghasilkan mutiara boleh hidup di dalam air tawar atau air masin. Kebolehan tiram hidup dalam air masin dan air tawar telah diberitakan di dalam al-Quran, Surah Ar-Rahman ayat 22 yang bermaksud “Daripada keduanya keluar mutiara dan marjan”. Mutiara juga tidak boleh berada di dalam tiram untuk jangka masa yang panjang kerana sebagai bahan organik ia akan pudar dan lupus.

Alternatif kepada larangan pemakaian perhiasan emas

RANTAI mutiara dalam pelbagai warna semula jadi. - GAMBAR HIASAN

Kehebatan mutiara sebagai barangan perhiasan yang berharga turut mendapat perhatian beberapa penulis dan pengembara Islam terkenal seperti Al-Mas’udi, Ibn Masawayh, Al-Biruni dan Ibn Batuta. Mas’udi mencatatkan tentang lokasi pengumpulan mutiara pada zaman beliau iaitu sekitar abad ke-9 dan ke-10 Masihi. Lokasi yang beliau nyatakan ialah di sebuah perkampungan pesisiran pantai di Teluk Parsi. Apa yang menarik tentang catatan beliau ialah tentang penyelam mutiara yang boleh bernafas di dalam air untuk jangka masa lama tanpa menggunakan alat pernafasan seperti hari ini tetapi mereka mempunyai teknik tersendiri dengan mengelar bahagian leher di bawah telinga yang membolehkan mereka bernafas di dalam air ketika menyelam mencari mutiara.

LARANGAN PAKAI EMAS

Perhiasan mutiara banyak digunakan oleh pemerintah Islam di Turki, Iran, India serta di kepulauan Melayu sebagai hiasan serban, rantai, kerongsang dan sebagainya. Daripada lukisan miniatur dinasti Uthmaniyah, Parsi dan Mughal serta catatan hikayat kesusasteraan tempatan didapati mutiara juga turut digunakan sebagai perhiasan lain seperti pakaian, kasut, payung, senjata dan sebagainya. Kebanyakan rekaan mutiara yang dapat dilihat daripada lukisan miniatur dinasti Islam, penggunaan mutiara dan permata lain seperti berlian, zamrud dan delima menyerlahkan lagi rekaan mewah dinasti Islam bagi golongan pemerintah lelaki seperti Sultan dan Khalifah. Penggunaan mutiara dan permata adalah alternatif kepada larangan memakai perhiasan emas bagi golongan lelaki Islam.

Mutiara dikategorikan sebagai barangan perhiasan pertama yang paling berharga oleh Ibn Masawayh daripada 27 jenis permata yang disenaraikan oleh beliau. Mutiara di tempat pertama dengan diikuti oleh zamrud, delima dan berlian. Terdapat pelbagai saiz dan warna mutiara yang dijadikan oleh Allah SWT mengikut lokasi lautan di dunia ini.

Sebagai contoh, mutiara yang ditemui di China dan Jepun adalah lebih putih manakala mutiara yang ditemui di Lautan Hindi atau Laut Selatan lebih besar berwarna kekuningan hingga warna keemasan, manakala mutiara di kawasan kepulauan Cook atau Tahiti berwarna hitam metalik atau hijau gelap metalik dan biru gelap metalik. Namun pada hari ini terdapat pelbagai teknik menghasilkan mutiara termasuk mutiara saduran yang lebih murah berbanding mutiara yang hidup liar di dalam lautan. Mutiara sebegini lebih mahal dan amat jarang ditemui pada hari ini.

Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments