mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Roh Yang Tergantung

Petikan Khutbah Jumaat 25 Mac 2016: JAIS

 “Roh Yang Tergantung"

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; نفْس الْمؤمنِ معلَّقَةٌ بِدينِه حتى يقْضي عنه “Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya sehinggalah dia menjelaskan hutangnya”. (Riwayat at-Tirmizi)

Islam mengharuskan seseorang itu berhutang untuk memenuhi keperluan hidup khususnya dalam perkara-perkara dharuriyyat (tersangat penting). Umat Islam pula dituntut mengamalkan sikap tolong menolong antara satu sama lain termasuk memberikan bantuan sama ada melalui sedekah ataupun pinjaman bagi meringankan bebanan dan memenuhi keperluan yang ditanggung.

Terdapat dua keadaan seseorang yang ingin berhutang;

Pertama; seseorang yang terpaksa berhutang demi memenuhi keperluan kehidupan seperti mendapatkan makanan, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan seumpamanya.

Kedua; seseorang yang sengaja berhutang demi memenuhi tuntutan nafsu semata-mata seperti hiburan dan perhiasan, tambahan pula peluang pinjaman mudah diperolehi.

Pada 4 Mac 2016 sebuah akhbar tempatan melaporkan hasil daripada Kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI), mendapati 68 peratus daripada rakyat Malaysia dibebani dengan hutang. Ini merupakan rekod tertinggi dalam kalangan lapan Negara di Asia iaitu Filipina 41%, Singapura 33%, China dan Taiwan 32%, Hong Kong 22%, Indonesia 21% dan Jepun 15%.

Statistik sejak tahun 2010 hingga April 2015 menunjukkan daripada 107,000 individu yang telah diisytihar muflis, 23,484 daripadanya adalah golongan belia yang berumur antara 25 hingga 34 tahun. Seramai 1,469 belia di bawah umur 25 tahun turut muflis manakala individu yang berumur antara 35 hingga 44 tahun pula merupakan golongan tertinggi yang diisytiharkan muflis iaitu sebanyak 37,888 orang daripada jumlah keseluruhan.

Islam menganjurkan antara perkara-perkara yang wajib disegerakan di atas dunia ialah membayar segala hutang piutang selain daripada menyegerakan pengkebumian jenazah dan mengahwinkan anak perempuan apabila telah dipinang orang.

Seseorang yang tidak melunaskan hutang setelah berkemampuan, akan mendatangkan kesan yang buruk bukan sahaja didunia bahkan di akhirat kelak. Antaranya :-

1) Bertemu Allah SWT sebagai seorang pencuri. Hadis daripada Suhaib al-Khair RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; أَيما رجلٍ يدين دينا وهو مجمع أَنْ لاَ يوفِّيه إِياه لَقي اللَّه سارِقًا “Sesiapa yang berhutang lalu berniat tidak mahu membayarnya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) sebagai pencuri.” (Riwayat Ibnu Majah).

2) Perbuatan melewatkan bayaran hutang sebagai seorang yang zalim. Hadis daripada Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; مطْلُ الْغنِي ظُلْم “Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa (mampu) membayarnya adalah satu kezaliman.” (Riwayat Ibn Majah).

3) Mereka adalah berdosa besar. Hadis daripada Abu Musa alAsy’ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; إِنَّ أَعظَم الذُّنوبِ عند االلهِ أن يلْقَاه بِها عبد – بعد الْكَبائرِ الَّتي نهى االلهُ عنها أَن يموت رجلٌ وعلَيه دين لاَ يدع لَه الْقَضاءَ. “Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti, selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.” (Riwayat Abu Daud)

4) Tidak diampunkan dosa walaupun mati syahid. Hadis daripada Abdullah Bin Amr’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; يغفَر للشّهِيد كُلُّ ذَنبٍ إِلاَّ الدين “Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutang” (Riwayat Muslim).

5) Rasulullah SAW sendiri tidak menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang.

Hadis daripada Abu Hurairah RA menceritakan bahawa bila didatangkan kepada Rasulullah SAW satu jenazah, Rasulullah SAW tidak akan bertanya tentang amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, baginda menyuruh sahabatnya menyembahyangkan jenazah tersebut atau baginda meminta sesiapa yang sanggup menanggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang tersebut akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal. (Riwayat Muslim).

6) Kehidupan mereka dan ahli keluarga, sentiasa dalam ketakutan kerana diancam bunuh malah boleh membawa kepada membunuh diri.

Betapa beratnya tanggungan dan akibat orang yang tidak membayar hutang, maka marilah kita menginsafi bahawa;

1. Umat Islam hendaklah menjadi contoh apabila berhutang maka hendaklah melunaskan pembayarannya.

2. Setiap orang diharuskan berhutang (khususnya pada perkaraperkara dharuriyyat), tetapi hendaklah diingat jangan jadikan hutang sebagai budaya hidup sehingga membebankan diri kita sendiri.

3. Islam mewajibkan orang yang berhutang untuk membayar semula hutang mengikut tempoh perjanjian yang ditetapkan.

4. Islam mensyariatkan bahawa perjanjian hutang piutang hendaklah ditulis dengan adil dan disaksikan oleh dua orang lain supaya tidak berlaku penipuan atau mungkir janji.

5. Islam menghendaki supaya orang yang berhutang berniat untuk melunaskan hutangnya sebelum dia meninggal dunia, supaya Allah memudahkan urusannya untuk melunaskan hutang.

6. Rasulullah SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauh dan dibebaskan dari belenggu hutang dengan doanya yang masyhur:

َللُّهم إِني أَعوذُبِك من غَلَبة الدينِ وقَهرِ الرجالِ. “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindungan-Mu dari bebanan hutang dan paksaan dari orang yang memaksa”.

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan”. (Surah al-Hasyr: 18).

Wallahualam.
Tags: hutang, khutbah, roh
Subscribe

Posts from This Journal “hutang” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments