mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jaga Islam di setiap penjuru

MENJADIKAN Islam sebagai neraca mengukur sesuatu adalah perkara yang wajib diimani dan diamalkan dalam kehidupan ini.

Sebelum kita bertutur, sebelum kita menulis, sebelum kita bertindak, jadikan Islam sebagai 'filter' sama ada ia mendatangkan pahala ataupun dosa, sama ada ia akan menempatkan kita dalam syurga atau menghumbankan kita ke dalam neraka.

Janganlah kita masih terperangkap dengan mitos Islam hanya layak digunakan di atas tikar sembahyang, mahupun hanya laku dalam ritual agama sahaja. Itu bid’ah kuno yang perlu dibuang jauh dan itulah impian musuh Islam agar Islam difahami begitu, hasilnya Islam dilihat hanya statik dan tidak bergerak seiring dengan pantasnya kehidupan ini.

Sedangkan Islam adalah agama yang sangat dinamik dan sesuai sepanjang zaman. Menjadikan Islam sebagai 'penapis' kepada setiap tindakan yang kita akan lakukan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja bahkan ia tanggungjawab semua golongan yang sudah akil baligh kerana ia akan dipertanggungjawabkan terhadap setiap pilihan tindakannya.

Raja, menteri, rakyat, lelaki dan perempuan semuanya tertakluk dengan peraturan ini. Logiknya semakin besar kedudukannya di dalam masyarakat maka semakin luaslah tanggungjawabnya dan semakin banyaklah persoalan yang akan dihadapinya ketika nanti berlaku soal jawab selepas kematian nanti.

Bertitik tolak dari kefahaman inilah, mari kita melihat posisi kita diamanahkan oleh ALLAH ketika kita masih diberi peluang hidup sekarang. Jangan sampai Islam itu dilemahkan melalui sudut-sudut Islam yang kita diamanahkan untuk menjaganya melalui posisi kita.

Al Marwazi menyebut dalam kitab al Sunnah sebuah hadis Hasan yang bermaksud: “Setiap lelaki dari kalangan orang Islam diamanahkan menjaga satu penjuru dari kubu-kubu umat Islam. Demi ALLAH janganlah Islam itu dilemahkan dari sudut yang dijaganya.”

Ulama diamanahkan untuk membimbing kehidupan pemimpin dan rakyat ke arah mengabdikan kehidupan ini selaras dengan kehendak ALLAH dan selayaknya sebagai hamba-hamba ALLAH di atas muka bumi ini.

Ulama sangat dilarang daripada kehilangan arah ketika menjalankan amanah ini. Meletakkan kepentingan menjaga perpaduan umat Islam adalah keutamaan berbanding bertegang leher menegakkan hujah dalam perkara khilafiah.

Sentiasa mengingatkan khalayak tentang ancaman dan bahaya yang sedang melingkari umat Islam seperti mengingatkan masyarakat mengenai ungkapan terang-terangan Thedore Hertzel pengasas negara haram Israel di dalam persidangan Yahudi Basel Switzerland 1897 : “Misi kamu semua bukanlah mengeluarkan mereka daripada Islam, walaupun yang terakhir ini adalah merupakan keberhasilan yang gemilang, tapi lebih pada usaha bagaimana menjauhkan mereka daripada Islam. Jadikanlah mereka sebagai orang Islam yang tidak kenal agamanya sendiri. Orang Islam yang gemar berfoya-foya. Hidup semata-mata untuk mencari harta dan kekuasaan. Suka dengan kemaksiatan. Hidup semata-mata untuk mencari harta dan kekuasaan. Jika umat Islam sudah menjadi seperti ini, maka misi kamu sudah berhasil. Laksanakan dan tunaikan misi kamu ini dengan penuh kesedaran”.

Masyarakat akan tercengang-cengang dan turut kehilangan arah apabila ulama kesukaannya lebih banyak terlibat dalam perdebatan daripada mengingatkan ancaman-ancaman yang timbul terhadap umat Islam.

Dan tidak semua pengikut sampai kepada tahap memahami sesuatu isu mengikut pemahaman sebenar sebaliknya akan melahirkan lebih ramai fanatik-fanatik tokoh bukan menilai lagi isu dengan hujah tetapi lebih kepada tokoh.

Islam perlu dijaga dengan kuasa pemerintahan. Tugas pemimpin sangat besar iaitu menjaga Islam dari posisinya. Sebagaimana besarnya kedudukan di sisi masyarakat begitu juga besarnya tanggungan selepas meninggal dunia nanti.

Islam di tanah air ini bukan sekadar dijaga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau ataupun Exco Agama sesebuah negeri tetapi setiap menteri dan Exco wajib merasai bahawa bertanggungjawabnya mereka jika Islam dilemahkan melalui posisi yang dijaga.

Ini tanggungjawab agama dan diwajarkan dengan peruntukan perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Bahkan pemimpin bukan Islam pun mesti menghayati semangat ini sekurang-kurangnya mempertahankan peruntukan Perlembagaan sedia ada dan menjaga agar sensitiviti umat Islam terus terpelihara.

Tags: islam
Subscribe

Posts from This Journal “islam” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments