mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Indeks Syariah Malaysia demi kelestarian sejagat

Sistem keadilan pada hari ini lebih berbentuk punitif dan rehabilitatif. Lebih berbentuk hukuman dan pembaikan kelakuan pesalah jenayah. Untuk membaiki kelakuan pesalah, program demi program diperkenalkan.

Kosnya juga amat tinggi. Hasilnya, amat mendukacitakan apabila pesalah kembali melakukan jenayah. Sistem pemenjaraan juga memberi beban kepada kerajaan.

Sistem pemenjaraan terlalu lama tanpa sebarang pekerjaan ditawarkan akan menjadikan banduan tepu dan buntu serta dan mengakibatkan trauma kebosanan melampau yang beri kesan negatif kepada mental.

Kaedah ini diguna pakai ketika zaman British sejak kedatangan Francis Light.


Mahkamah kehakiman. - Gambar hiasan

Fokus utama sistem punitif adalah pembayaran denda dan penjenayah.

Penjenayah akan dipenjarakan dan diberi kesedaran dalam program pemulihan.

Denda yang dibayar pesalah tidak diberi kepada mangsa jenayah.

Harapkan takaful, insurans

Keluarga mangsa lebih mengharapkan kepada takaful, khairat kematian atau insurans untuk menampung kos pengebumian serta kelestarian hidup.

Muka yang dicurah asid, keluarga yang hilang mata pencarian, akan menderita.

Mereka harus mengeluarkan kos sendiri demi membaiki kerosakan yang telah dilakukan oleh penjenayah.

Keluarga bagi mangsa pembunuhan mungkin kehilangan tempat bergantung jika yang dibunuh itu adalah pencari rezeki bagi sesebuah keluarga.

Mangsa serangan asid akan hilang nikmat fizikal dan mengalami gangguan psikologi. Tak kurang juga kehilangan kos ekonomi seperti terpaksa berhenti kerja kerana sakit atau trauma.

Mangsa rogol akan kehilangan harga diri, trauma mental dan ekonomi. Semua mangsa ini tidak mengalami kesan ini secara perseorangan.

Suami akan terganggu dan dianggap sebagai mangsa kedua jika isterinya adalah mangsa rogol atau mangsa simbahan asid.

Tempias trauma akan dialami juga oleh mangsa ketiga iaitu keluarga seperti ibu bapa, anak dan sebagainya untuk berdepan dengan masyarakat jika jenayah berkenaan memalukan. Inilah dilema masyarakat sekeliling jika jenayah berterusan dan cara pengendaliannya masih sama.

Keadilan restoratif atau lebih dikenali dengan 'restorative justice' dibangunkan oleh Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi pelbagai wacana konvensyen antarabangsa.

Ia adalah kaedah di mana mangsa jenayah diberi hak bersuara. Kaedah ini juga beri peluang kepada penjenayah menebus kesalahan dan membayar kerosakan yang diakibatkan kepada mangsa, masyarakat dan juga negara.

Kaedah ini membawa bersama kekuatan komuniti untuk bersuara memberi pandangan terhadap kesan jenayah ke atas komuniti setempat.

Kaedah ini juga menggalakkan mediasi antara penjenayah dan mangsa. Proses ini amat penting kerana mampu melahirkan rasa keinsafan penjenayah serta kekuatan dalaman terhadap mangsa.

Mangsa juga berpeluang menyertai prosiding mahkamah untuk menyatakan pandangan mengenai kerosakan yang dilakukan sama ada dari segi fizikal, mental, ekonomi dan sosial.

Keadilan restoratif pada hari ini mampu mengelakkan perkara ini terus berlaku. Keadilan kepada mangsa harus dibela dengan telus.

Ada beberapa undang-undang kita mengamalkan keadilan restoratif. Pujian harus diberi kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang memperkenal khidmat sosial sebagai satu cara bentuk hukuman kepada pesalah juvana.

Bayaran pampasan

Yang terbaru adalah Akta Kanun Acara Jenayah memperkenal Victim Impact Statement (VIS) yang beri peluang kepada mangsa untuk menyatakan kehilangan serta kerosakan dialami akibat jenayah.

Keadilan restoratif memperkenalkan bayaran pampasan diberikan kepada mangsa jenayah oleh kerajaan. Selain itu, kaedah ini juga membantu mangsa jenayah mendapat bayaran ganti rugi daripada penjenayah.

Kaedah ini lebih mirip kepada pembayaran al-diyat dalam sistem Islam. Lebih menarik lagi, kuasa hukuman diberi kepada mangsa untuk menentukan bentuk hukuman.

Mangsa dibenarkan meminta pampasan, menentukan hukuman atau memaafkan pesalah. Oleh kerana Malaysia menuju ke arah Indeks Syariah Malaysia, mungkin kaedah ini boleh dipertimbang dan diperluaskan demi kelestarian hidup sejagat.

Indeks Syariah dibangunkan bagi mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek maqasid syariah iaitu pemeliharaan nyawa, akal, keturunan, agama serta harta. Jelas, keadilan restoratif menjamin pemuliharaan bagi lima perkara diatas.
Tags: syariah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments