mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tabi'in: Sambung legasi sahabat pelihara hadis

IMAM Al-Suyuti dalam Tadrib Al-Rawi menyebutkan golongan tabi'in ialah mereka yang berjumpa dengan sahabat dalam keadaan Islam dan mati juga dalam Islam. Keutamaan golongan tabi'in selepas golongan sahabat tidak perlu dipertikaikan lagi. Merekalah generasi yang mewarisi perjuangan sahabat dalam menyampaikan risalah Islam.

Pujian dan pengiktirafan kepada mereka tercatat jelas dalam al-Quran: "Dan orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang Muhajirin dan Ansar, dan orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), ALLAH reda akan mereka dan mereka pula reda ke atas Dia, serta ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar." (Surah At-Taubah: 100)

Antara sumbangan terbesar tabi'in ialah meneruskan usaha memelihara ketulenan riwayat hadis yang diwarisi daripada golongan sahabat. Di antara mereka terdapat tujuh orang yang terkenal sebagai tokoh ilmuwan (fuqaha' al-sab'ah) iaitu Sa'id bin Al-Musayyib, Al-Qasim bin Muhammad, 'Urwah bin Al-Zubair, Kharijah bin Zaid, Abu Salamah bin Abdul Rahman, 'Ubaidillah bin Abdullah bin 'Utbah dan Sulaiman bin Yasar.

Dalam ruang terbatas ini, mari kita berkenalan serba ringkas dengan dua tokoh tabi'in iaitu Said bin Al-Musayyib dan Muhammad ibn Sirin.

Said bin Al-Musayyib

Beliau ialah Said bin Al-Musayyib Ibn Huzn Al-Qurashi Al-Makhzumi. Bapa dan datuknya adalah dalam kalangan sahabat. Beliau dilahirkan pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab memerintah atau empat tahun sebelum beliau menjadi khalifah. Sebahagian berpendapat beliau dilahirkan dua tahun sebelum Umar Al-Khattab menjadi khalifah. Meninggal dunia pada tahun 94 hijrah dalam usia 75 tahun. (Tarikh Al-Islam li Al-Zahabi 6/371)

Said bin Al-Musayyib adalah pembesar dan pemimpin dalam kalangan tabi'in. Seorang yang dihormati, thiqah, kuat beribadat, warak dan banyak meriwayatkan hadis.

Said bin Al-Musayyib sanggup berjalan jauh beberapa hari semata-mata untuk mencari sebuah hadis. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: "Said bin Al-Musayyib adalah dalam kalangan tabi'in yang paling thiqah dan hadis mursal yang diriwayatkan oleh beliau adalah sahih."

Beliau banyak meriwayatkan hadis yang diambil daripada Abu Bakar, Umar, Uthman, Zaid bin Thabit, Aisyah dan Abu Hurairah. Antara ahli hadis yang meriwayatkan hadis daripada Said bin Al-Musayyib pula seperti Salim bin Abdullah, Ibn Shihab al-Zuhri, Qatadah, Yahya bin Said al-Ansari dan lain-lain lagi.

Muhammad ibn Sirin

Muhammad ibn Sirin Al-Ansari dilahirkan dua tahun sebelum kematian khalifah Uthman bin Affan. Dibesarkan di rumah Anas bin Malik kerana bapanya adalah seorang hamba yang telah dibebaskan oleh Anas bin Malik.

Beliau adalah seorang yang bersifat warak, zuhud, alim, pakar dalam bidang fiqh, penghafaz dan sasterawan. Memiliki akal fikiran yang tajam dan pintar. Meninggal dunia pada tahun 110 hijrah, ketika berusia 77 tahun.

Muhammad bin Sirin adalah salah seorang tokoh tabi'in yang banyak meriwayatkan hadis. Beliau meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik, Zaid bin Thabit, Abu Hurairah, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan ramai lagi.

Beliau memang terkenal sebagai seorang yang thiqah dan sangat berhati-hati ketika meriwayatkan hadis. Antara kata-katanya yang terkenal ialah: "Sesungguhnya ilmu ini (hadis) adalah sebahagian daripada urusan agama. Maka, periksalah daripada siapa kamu mengambil agama kamu."

Era tabi' al-tabi'in

Selepas golongan tabi'in, perjuangan mereka disambut pula oleh generasi selepas itu yang dikenali sebagai tabi' tabi'in. Mereka ialah generasi yang bertemu dengan tabi'in dalam Islam dan mati juga dalam keadaan Islam. Tokoh-tokoh hadis pada zaman tabi' al-tabi'in juga ramai. Antara mereka ialah:

Al-Awza'i

Beliau ialah Abd Rahman bin 'Amr Al-Awza'i. Dilahirkan pada tahun 88 hijrah dan wafat pada tahun 157 hijrah. Beliau ialah tokoh hadis dari negeri Syam.

Al-Awza'i adalah salah seorang tokoh hadis yang hebat pada zamannya. Al-Zahabi memetik kata-kata Al-Hakim yang menerangkan mengenai kedudukan Al-Awza'i, katanya: "Al-Awza'i adalah tokoh hadis pada masanya secara umum dan khususnya bagi penduduk Syam. Beliau seorang yang thiqah, banyak menghafaz hadis dan ahli fiqh."

Beliau meriwayatkan hadis daripada 'Ata' bin Abu Rabah, Muhamad bin Muslim Al-Zuhri, Rabia'h bin Yazid, Al-Qasim bin Muhammad dan lain-lain lagi.

Antara ahli-ahli hadis yang meriwayatkan daripada beliau pula ialah Syu'bah bin Al-Hajjaj, Abdullah bin Al-Mubarak, Yahya bin Said Al-Qattan dan lain-lain lagi.

Waki' bin Al-Jarrah

Waki' bin Al-Jarrah lahir pada tahun 129 hijrah dan wafat pada tahun 197 hijrah. Beliau juga seorang tokoh hadis yang hebat dalam kalangan tabi' al-tabi'in. Beliau meriwayatkan hadis daripada Hisham bin 'Urwah, Sulaiman bin Mahran Al-'Amash, Ismail bin Abu Khalid dan selainnya.

Antara ahli-ahli hadis yang meriwayatkan hadis daripada Waki' ialah Ahmad bin Hanbal, Abdullah bin Al-Mubarak, 'Ali bin Al-Madini, Sufiyan Al-Thauri dan lain-lain lagi.

Waki' bin Al-Jarrah adalah seorang yang kuat hafalannya dan juga seorang yang thiqah.

Sufiyan bin 'Uyainah

Sufiyan bin 'Uyainah juga adalah tokoh hadis dalam kalangan tabi' al-tabi'in. Dilahirkan pada tahun 107 hijrah di Kufah, dan meninggal dunia pada tahun 198 hijrah.

Beliau meriwayatkan hadis daripada Muhammad bin Muslim Al-Zuhri, 'Amr bin Dinar, Abdullah bin Dinar dan lain-lain lagi. Antara ahli-ahli hadis yang meriwayatkan daripadanya pula ialah Sulaiman bin Mahran Al-'Amash, Abd Aziz ibn Juraij, Sufiyan Al-Thauri dan lain-lain lagi.

Sufiyan bin 'Uyainah adalah seorang yang thiqah dan banyak meriwayatkan hadis. Ibn Hajar Al-'Asqalani memetik kata-kata yang disebutkan oleh Imam Al-Syafie, katanya: "Kalau tidak ada Imam Malik bin Anas dan Sufiyan bin 'Uyainah, nescaya hilanglah ilmu (hadis) di Hijjaz."

Demikianlah beberapa tokoh dalam kalangan tabi'in dan tabi' tabi'in yang diceritakan serba ringkas. Banyak babak kehidupan mereka yang perlu diterokai. Masih terlalu besar sumbangan mereka yang perlu diselusurkan. Mereka hidup dengan penuh bermakna. Seluruh kehidupan berbakti kepada agama. Mengharungi susah payah menuntut ilmu, mencari hadis dan menyebarkannya. Semua itu tercatat dalam sejarah dinukilkan ulama  berkredibiliti. Hanya tinggal kehendak kita sahaja untuk membaca dan mencari mutiara hikmah yang boleh diteladani dan disuburkan dalam kehidupan hari ini.

Tags: hadis, legasi
Subscribe

Posts from This Journal “legasi” Tag

  • Legasi Nabi Ibrahim AS

    DALAM kehidupan berkeluarga, siapakah idola anda? Kebiasaannya orang mengidolakan individu tertentu dan bukannya sesebuah keluarga untuk berjaya…

  • Legasi Melayu dalam tamadun Islam

    BULAN Ramadan yang mulia ini, masyarakat Islam di negara kita menerima ujian daripada beberapa peristiwa yang boleh dianggap sebagai dugaan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments