mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Menangani kekeliruan jantin

MASALAH kekeliruan jantina sukar untuk di­atasi kerana ber­kaitan dengan pera­sa­an dan naluri. Mereka yang terlibat perlu ditangani se­ca­ra lembut dan halus manakala ma­syarakat pula perlu menolak gejala tersebut dengan tegas agar tidak tersebar.

Untuk menyekat pengaruh kekeliruan jantina memerlukan dua langkah pencegahan, pertamanya, melalui undang-undang syariah iaitu mengenakan hukuman terhadap sebarang anasir yang aktif menyebarkan kegiatan tersebut dalam kalangan remaja dan kanak-kanak Islam.


SEORANG guru, Mohd. Khariri Ramli berkongsi pengalamannya dengan kakitangan dan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dalam program Dulu Mak Nyah Kini Berubah di Gelugor, Pulau Pinang pada 2013. UTUSAN/SAZALI CHE DIN

Umat Islam diseru supaya be­kerjasama menumpaskan sebarang kegiatan yang menghancurkan umat Islam sama ada berkaitan hal ehwal peribadi atau masyarakat. Dalam Islam tidak ada istilah, ‘ja­ngan jaga tepi kain orang’ atau ‘mind your own business’. Ini adalah prinsip hidup masyarakat yang menganuti fahaman sekularisme dan individualistik. Sebaliknya, umat Islam diseru supaya hidup bermasyarakat kerana setiap individu Islam dianggap saudara sesama Islam yang perlu dibantu dan saling prihatin demi kebaikan di dunia dan di akhirat.

Konsep kasih sayang dan tanggungjawab umat Islam terhadap individu dan masyarakat amat berbeza dengan konsep kemanusiaan dunia sekular atau ajaran agama lain. Allah menyeru umat-Nya supaya membentuk satu masyarakat paling ideal yang menjadi model kepada umat lain dalam setiap aspek kehidupan. Firman Allah dalam Surah al-Imran: Ayat 110 yang bermaksud; “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah.”

Firman Allah tersebut memberi pengertian bahwa jika umat Islam beriman kepada Allah maka mereka akan membentuk keperibadian mereka sebagai umat Islam yang mematuhi perundangan Islam termasuk undang-undang peribadi. Jika kesemua umat Islam menonjolkan keperibadian Islam dengan yang lelaki mempamerkan keperi­badian lelakinya yang sejati manakala wanita pula sentiasa menampilkan dirinya sebagai wanita beriman dan bermaruah maka masyarakat Islam akan menjadi model kepada umat yang tidak didedahkan dengan agama wahyu Ilahi.

Allah juga menyeru umat Islam supaya menunjukkan sikap prihatin terhadap individu-individu Islam agar tingkah laku dan keperibadian mereka sejajar dengan perundangan peribadi dan kemasyarakatan sepertimana digariskan oleh agama suci ini. Kekeliruan jantina yang dianuti oleh segelintir remaja Islam adalah berkaitan dengan dosa peribadi yang jika dibiarkan akan merosakkan sistem sosial masyarakat Islam.

Jika mahkamah syariah mengambil tindakan terhadap individu tersebut maka perkara ini tidak sepatutnya dianggap sebagai satu kegiatan yang bercanggah dengan konsep kemanusiaan. Jika kegiatan ini dibiarkan maka sudah pasti akan merebak dengan pantasnya dalam kalangan masyarakat Islam seperti berlaku di Barat kini.

Apabila individu-individu Islam dipengaruhi dengan sifat dan corak kehidupan kumpulan yang menghadapi kekeliruan jantina maka secara tidak langsung umat Islam semakin hari kian terhapus identiti jantina mereka. Individu-individu yang terpengaruh dengan kekeliruan jantina, corak kehidupan dan tingkah laku mereka adalah terkeluar daripada tata susila Islam. Akhirnya boleh menyebabkan mereka menjadi individu yang tidak mempunyai agama, terumbang-ambing dalam arus bisikan hati tanpa arah tuju kehidupan yang hakiki.

Tindakan mahkamah dan masyarakat yang mencegah kegiatan kekeliruan jantina ini adalah satu cara untuk menyelamatkan individu-individu Islam daripada penderitaan di hari akhirat.

Langkah kedua bagi memben­dung kekeliruan jantina ini ialah melalui pendidikan agama dan ke­rohanian secara tekun dan dedikasi. Ibu bapa dan para guru perlu memainkan peranan penting mendi­dik dan melatih anak-anak dan para pelajar yang mempunyai kecende­rungan untuk menjadi individu yang menghadapi kekeliruan jantina supaya bersikap dan bertingkah laku sejajar dengan jantina mereka secara beransur-ansur.

Guru-guru agama dan kaunseling di sekolah dan universiti sepatutnya mengadakan pelbagai kegiatan fizikal dan latihan kerohanian bagi memulihkan minda dan nurani para pelajar yang menghadapi kekeliruan jantina.

Pengalaman penulis bergaul dengan kumpulan yang menghadapi kekeliruan jantina ini mendapati bahawa mereka mengalami permasalahan untuk menentang keinginan menukar jantina. Mereka menjelaskan bahawa mereka sentiasa menghadapi bisikan yang kuat untuk menukar identiti mereka yang bertentangan dengan fizikal asal mereka. Mereka gagal untuk mengawal diri dan keinginan yang keterlaluan sehingga menyebabkan mereka memilih corak hidup yang bertentangan dengan fitrah kejadian mereka.

Ulama, para guru agama dan pendakwah sepatutnya bergaul dan menghampiri saudara Islam yang menghadapi situasi ini secara tekun dan sabar, dengan menganggapnya sebagai tanggungjawab terhadap Allah kepada mereka yang mempelajari ilmu wahyu dan kerohanian.

Guru-guru sebagai ibu bapa kedua kepada para pelajar sepatutnya menggunakan pendekatan psikologi atau keagamaan bagi menyemarakkan sifat-sifat pelajar bersesuaian dengan fitrah kejadian mereka. Golongan kekeliruan jantina ini boleh dipulihkan jika ibu bapa, guru-guru agama dan ulama mendekati dan mendidik mereka secara sabar dan berperingkat atau beransur-ansur.

Manusia boleh berubah watak dan personaliti jika jiwa atau kerohanian mereka didorong ke arah yang baik dan mulia. Hampirilah kumpulan ini dan bimbinglah mereka meninggalkan nafsu al-ammarah (hawa nafsu yang mendorong kepada perkara yang buruk atau jahat) ke arah nafsu al-mutma’innah iaitu jiwa yang tenang dan tenteram.

Inilah perjuangan dan tanggungjawab golongan agama dalam era globalisasi terhadap masyarakat bagi membentuk satu umat yang ideal.

-
Tags: lgbt, transvertit
Subscribe

Posts from This Journal “transvertit” Tag

  • LGBT: Jangan undang bala Allah

    SESI pembentangan Malaysia dalam proses semakan berkala (UPR) di Geneva telah berlalu. Proses seterusnya adalah dijangkakan pada tahun 2017.…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments