mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Meremajakan peranan fatwa

AGAMA Islam adalah suatu sistem kehidupan. Islam bukanlah agama yang mementingkan ritual sahaja atau hanya sesuai ditempatkan di rumah ibadah semata-mata, Islam menghubung jalinkan sekalian urusan ibadah dengan urusan kehidupan.

Disebabkan setiap aktiviti kehidupan perlu berpandukan tuntutan agama, maka setiap Muslim memerlukan satu garis panduan yang mampu memandu aktiviti harian mereka agar benar-benar berlandaskan syariat. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa mendepani perubahan zaman, suasana dan landskap sosiobudaya.

Di sinilah fatwa berperanan penting untuk memimpin masyarakat untuk berhadapan dengan pelbagai permasalahan baru yang muncul.

Malangnya, ada segelintir dalam kalangan masyarakat yang tertanya-tanya sejauh manakah institusi fatwa masih lagi relevan dengan kehidupan? Bukankah kepesatan teknologi maklumat menjadikan sesuatu informasi itu lebih mudah diakses dan segala-galanya boleh diperoleh di hujung jari? Masih perlukah lagi masyarakat bergantung kepada fatwa dan institusi kefatwaan di alaf baru ini? Jika persoalan ini dibiarkan begitu sahaja, tidak mustahil peranan fatwa akan diperkecil dan bakal dipandang enteng.

Fatwa berasal daripada perkataan Arab afta - ifta’an yang bermaksud pandangan, penjelasan dan huraian hukum permasalahan. Dari sudut istilah, ia mempunyai beberapa definisi. Antaranya, fatwa boleh ditakrifkan sebagai perkhabaran hukum ALLAH SWT (sama ada wajib, sunat, harus, haram atau makruh). Ia kebiasaannya berhubung dengan isu baru yang menimbulkan pertikaian kerana tidak terdapat hukumnya secara jelas dalam al-Quran, hadis, atau karya ulama silam.

Fatwa juga bermaksud sebagai suatu keputusan yang dibuat oleh mufti atau penjelasan hukum syarak oleh sesuatu kumpulan yang terdiri daripada ulama iaitu Jawatankuasa Fatwa atau Jawatankuasa Syariah bagi sesuatu masalah sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya sama ada secara bersendirian atau berjemaah. Berbanding pandangan seseorang alim yang lebih bersifat umum, fatwa adalah suatu proses yang mempunyai prosedur dan metodologi khusus.

Fatwa secara sembrono?

Proses penyediaan fatwa bukanlah sesuatu yang mudah. Ia mempunyai kaedah tertentu dan pelbagai aspek perlu dikaji dan diperhalusi.

Di Malaysia, proses penyediaan fatwa mempunyai prosedurnya tersendiri. Ia melibatkan proses yang kompleks seperti penyediaan kertas kerja oleh Setiausaha Jawatankuasa Fatwa, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri, pembuatan keputusan fatwa, penelitian terhadap laporan minit mesyuarat, semakan sighah fatwa oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan seterusnya fatwa akan dihantar kepada sultan atau Yang di-Pertuan Agong (bagi Wilayah, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak) untuk mendapat perkenan baginda, dan akhirnya barulah proses pewartaan fatwa dilaksanakan.

Dalam fasa penyediaan kertas kerja dalam sesuatu isu, penyelidikan yang terperinci mengenai sesuatu isu dilaksanakan dengan teliti. Proses ini melibatkan gabungan kepakaran daripada pelbagai bidang yang relevan dengan sesuatu isu. Oleh itu integrasi antara ilmuwan agama dan ilmuwan dari bidang lain seperti perubatan, farmaseutikal, undang-undang, industri dan sebagainya adalah penting dalam rangka untuk menjawab isu-isu kontemporari.

Berhubung hal ini, pada 2 September 2009, Unit Pengurusan & Pembangunan Fatwa telah ditubuhkan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menjalankan kajian yang mendalam sebelum sesuatu fatwa diputuskan.

Fatwa bukanlah dikeluarkan secara sembrono. Menurut Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia Universiti Sains Islam Malaysia (Infad Usim), Prof Madya Dr Irwan Mohd Subri, sebelum memutuskan pengeluaran hukum bagi sesuatu isu, Majlis Fatwa akan dibantu oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

Sebagai contoh, dalam isu pengharaman rokok dan vape, Muzakarah Majlis Fatwa akan memanggil pakar dan wakil dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan penjelasan secara saintifik dan membentangkan hasil kajian yang berkredibiliti agar keputusan sesuatu permasalahan dapat dibuat secara holistik dan teliti.

Daripada pandangan dan perbincangan dengan pakar tersebut, barulah keputusan atas sesuatu isu akan dikeluarkan. 

Membina kredibiliti kefatwaan

Terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi institusi fatwa kini. Sudah tentu yang paling asas ialah cabaran untuk memastikan setiap fatwa yang diberikan terhadap sebarang isu mampu menawarkan solusi berkesan dan boleh memperbaiki keadaan masyarakat. Namun cabaran lebih besar dihadapi institusi fatwa dengan tercetusnya perkembangan teknologi maklumat. Ini mengakibatkan setiap individu mampu membina perspektif dan pendirian tersendiri terhadap sesuatu isu.

Oleh itu menjadi cabaran yang besar bagi institusi fatwa untuk memastikan fatwa dikeluarkan adalah kukuh dan tepat (disokong dengan hujah yang bernas) demi memelihara kredibiliti institusi tersebut. Antaranya ialah melalui kajian terperinci (sama ada dari sudut sosial, politik atau  ekonomi) supaya mufti dan ahli majlis fatwa benar-benar memahami permasalahan semasa dihadapi masyarakat hari ini.

Setiap isu perlu dianalisis secara menyeluruh, mengambil kira pelbagai faktor serta latar belakang yang melatari isu tersebut. Ini kerana masalah dalam masyarakat sentiasa bersifat kompleks dan terkait di antara satu sama lain. Sayugia, dalam rangka pengeluaran fatwa, analisa yang terperinci perlu dilaksanakan. Untuk menjayakannya, integrasi dan kerjasama pelbagai pakar dalam sesebuah institusi fatwa amatlah penting.

Selain itu, kesan masa depan hasil daripada pengeluaran sesebuah fatwa perlu juga dipertimbangkan supaya kepentingan masyarakat bukan hanya dipelihara dalam jangka masa yang singkat tetapi juga dalam jangka masa panjang.

Sebagai contoh, kita menyambut baik fatwa-fatwa kontemporari yang dengan tegas mengharamkan aktiviti yang mendatangkan kemusnahan kepada alam sekitar atau pupusnya spesies haiwan tertentu dalam ekosistem. Pada November 2015, Mufti Terengganu, Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifly Muda telah mengeluarkan fatwa  mengharamkan pemburuan binatang liar secara haram yang didapati bercanggah dengan prinsip Islam.

Fatwa ini mengambil kira faktor kepupusan spesies haiwan terancam yang mengganggu gugat ekosistem sekiranya tidak dikawal. Ia juga menimbangkan peranan manusia sebagai khalifah yang perlu mewujudkan kestabilan dan kesejahteraan alam. Fatwa ini disambut baik oleh pelbagai agensi dan aktivis pencinta alam sekitar seperti Perhilitan, National Geographic, TRAFFIC (Wildlife Trade Monitoring) dan WWF malah turut diberikan  perhatian di peringkat antarabangsa kerana ia amat relevan dengan dilema yang dialami di peringkat global.

Resolusi Seminar Isu Kefatwaan 2016

Menyedari peri pentingnya memberikan pencerahan kepada masyarakat mengenai fungsi fatwa dan peranan institusi kefatwaan di Malaysia, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia telah menganjurkan Seminar Isu-Isu Kefatwaan Kontemporari 2016 pada 10 Mac lalu.

Seminar ini didokong pelbagai organisasi termasuklah Pejabat Mufti Wilayah, MAIWP, MAIS, Ikim, Usim, APIUM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ia bertujuan untuk memberikan pemahaman perihal konsep fatwa dalam kehidupan dan fungsi institusi kefatwaan itu sendiri supaya ia bergerak selari dengan perubahan zaman.

Tags: fatwa
Subscribe

Posts from This Journal “fatwa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments