mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Keutamaan didik anak

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang memerintahkan ibu bapa supaya memberikan didikan yang baik kepada anak, di samping mewajibkan anak supaya mentaati ibu bapa dalam hal makruf dan berbakti kepada mereka sebagai balasan atas jagaan dan didikan yang diberikan.

Firman ALLAH SWT: "Dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang mereka memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah Al-Israa': 24)

Sesungguhnya keutamaan mendidik anak diberi perhatian serius oleh golongan nabi. Lihat bagaimana Nabi Ibrahim AS berdoa kepada ALLAH agar dianugerahkan anak yang soleh dengan berkata: "Wahai Tuhan-ku! Kurniakanlah kepada-ku anak soleh!" (Surah As-Saffaat: 100). Juga doa beliau: "Dan jauhkanlah aku dan anakku daripada menyembah berhala." (Surah Ibrahim: 5)

Berkata Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS ketika membina Kaabah: "Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu." (Surah Al-Baqarah: 128)

Demikianlah keprihatinan nabi terhadap anak sebelum kelahiran mereka. Adapun sesudah kelahiran anak mereka, keprihatinan mereka terus bertambah untuk mengarahkan anak kepada kebaikan dan menjauhkan daripada kejahatan. Dan perkara pertama yang diberi perhatian adalah  membetulkan akidah kepercayaan anak mereka.

Firman ALLAH: "Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya; dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya ALLAH telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam." (Surah Al-Baqarah: 132)

Bahkan ketika hampir meninggal dunia, ternyata Nabi Yaakub begitu prihatin akan keadaan akidah anak-anaknya. Firman ALLAH: "Ketika Nabi Yaakub hampir meninggal, dia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?"

Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhan-mu dan Tuhan datuk nenek-mu Ibrahim, Ismail dan Ishak; iaitu Tuhan Yang Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri." (Surah Al-Baqarah: 133)

Adapun Lukman Al-Hakim, beliau mewasiatkan perkara besar lagi penting kepada anaknya dengan mengingatkan mereka supaya menjauhi syirik di samping menyuruh mereka mendirikan solat, mengajak kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran dan sabar menghadapi musibah.

Beliau melarang anaknya bersikap sombong merendah-rendahkan orang lain, takabbur dan menunjuk-nunjuk. Demikianlah sebahagian yang ALLAH ceritakan kepada kita perihal nabi dengan anak mereka supaya kita menjejaki langkah mereka dan memahami betapa besarnya tanggungjawab mendidik anak.

Lahir dalam fitrah

Nabi Muhammad SAW menyebut setiap bayi itu lahir dalam keadaan fitrah yang baik. Sekiranya bayi itu disemai dengan baik sejak daripada kecil maka anak tersebut akan membesar menjadi orang yang soleh dengan mudah kerana sudah dibiasakan dengan akhlak dan didikan yang baik sejak daripada kecil.

Tambah lagi akhlak dan didikan yang baik itu bertepatan dengan fitrah yang ALLAH berikan buat seorang bayi.

Menurut Baginda SAW, fitrah tersebut akan terpesong dan berubah akibat didikan dan tunjuk ajar yang buruk. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Sesungguhnya setiap bayi itu lahir dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Yakni berdasarkan didikan ibu bapa yang terpesong itulah yang mengubah agama si anak daripada agama fitrah iaitu Islam menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Justeru, peliharalah fitrah anak-anak anda jangan sampai ia berubah.

Sungguh anak-anak kecil tidak memahami yang mana baik dan yang mana buruk. Sebagaimana dia tidak mampu untuk menyediakan buat dirinya makanan, pakaian dan tempat tinggal. Sebaliknya, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menyediakan itu semua.

Untuk itu, anak diperintahkan supaya bersyukur dan berterima kasih kepada kedua orang tuanya atas jasa baik mereka dengan mengucapkan: "Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang mereka memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah Al-Israa': 24)

Tarbiah anak

Tanggungjawab ibu bapa tidak hanya tertumpu kepada tarbiah jasmani dengan memberi makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal di samping kelengkapan lain seperti wang ringgit dan kenderaan. Itu adalah tarbiah yang mirip haiwan barangkali boleh merosakkan dan memudaratkan anak.

Tarbiah yang betul dan hakiki adalah mendidik anak perihal agama dan akhlak yang baik di samping memastikan jangan sampai fitrah mereka berubah menjadi rosak. Ibu bapa wajib mengawasi anak-anak mereka dalam dan luar rumah. Persekitaran rumah juga perlulah dalam keadaan baik dengan dijaga aspek agamanya dan dijauhkan unsur yang tidak baik.

Ibu bapa perlu memastikan anak-anak pergi ke sekolah yang baik di bawah pengawasan guru besar dan guru-guru bertanggungjawab. Ibu bapa perlu berganding bahu dengan pihak sekolah bagi memastikan anak mendapat kualiti didikan yang tinggi. Sekiranya terdapat guru yang berkelakuan tidak baik, perkara tersebut perlu dimaklumkan kepada pihak bertanggungjawab agar guru tersebut ditukar dengan guru yang lebih baik.

Ibu bapa juga perlu  melihat dengan siapa anak mereka bergaul dan bermain agar dapat dipastikan tingkah laku dan akhlak mereka. Jangan sampai dibiarkan anak bergaul dan bermain dengan siapa sahaja yang mereka mahu.

Golongan remaja pada hari ini dihanyutkan oleh dua arus yang berbahaya iaitu:

- Arus pertama: Arus yang meremehkan hal agama dan akhlak. Arus ini mengorbankan ramai dalam kalangan remaja Islam hari ini sehingga mereka menjadi golongan yang tiada agama mahupun akhlak. Malah kemahiran dunia pun mereka gagal menguasainya.

- Arus kedua: Arus yang bersikap melampau dalam hal agama atas sebab kejahilan. Terdapat dalam kalangan remaja yang berminat dengan agama tetapi mereka tidak diberi tunjuk ajar yang betul. Akhirnya remaja ini bertindak melampaui batas. Hal ini berlaku akibat gagal memahami agama yang benar dan mendekati ulama yang tulen.

Kata sebahagian ulama salaf: "Sungguh ilmu yang dipelajari ini adalah agama. Maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu."

Ternyata syaitan mendatangi manusia daripada kedua-dua pintu ini. Pintu kelalaian dan mengambil mudah, dan pintu bersikap keras dan melampau. Kedua-dua pintu ini membawa kepada kesesatan. Sebaliknya agama ALLAH adalah agama pertengahan. Itulah yang dikatakan sebagai Jalan yang Lurus, sebagaimana dijelaskan dalam Surah Al-An'aam ayat 153.

Tags: anak, didik, tarbiah
Subscribe

Posts from This Journal “didik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments