mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

'Saya hanya membantu, ALLAH menyembuhkan'

PUCHONG – Niat Datuk Seri Baharuddin Abu, 50, bukan mengejar wang atau kekayaan, jauh sekali populariti sebaliknya melakukan amal jariah untuk dibawa ke akhirat kelak.

Kelebihan merawat menggunakan kaedah rawatan Islam digunakan untuk membantu warga emas dan fakir miskin atau golongan yang memerlukan.

"Saya memberikan rawatan secara percuma kerana ingin membantu warga emas yang uzur sehingga menyebabkan mereka sukar mendirikan solat dan aktiviti lain," katanya.


Baharuddin merawat pesakit yang menghidap angin ahmar menggunakan ayat al-Quran

Kerana tujuan itu, beliau menubuhkan Pusat Rawatan Islam Al-Qalam yang terletak di Kampung Tengah, Puchong yang kini menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan rawatan.

Pusat rawatan itu katanya, mula beroperasi sejak 2011 adalah sumbangan beliau dan sukarelawan Al-Qalam dalam membantu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurut bekas pegawai polis ini, apa yang dihajatinya hanyalah mahu mengejar akhirat dengan melakukan sebanyak mungkin amal dengan membantu mereka yang memerlukan.

“ALLAH SWT berikan saya kelebihan ini, seharusnya saya gunakan ke jalan yang benar agar agar lebih ramai orang kurang berkemampuan dan kurang upaya dapat dibantu,” katanya.

Berkongsi pengalaman berdepan dengan pesakit yang menghidap pelbagai penyakit kronik, Baharudin berkata, ia merupakan satu kepuasan apabila pesakit yang datang pulih atau setidak-tidaknya beransur sembuh.

“Saya hanya membantu, yang menyembuhkannya kuasa ALLAH SWT,” katanya.  Selain pusat rawatan katanya, Al-Qalam juga sering mengadakan program secara mingguan di lokasi terpilih untuk mengadakan rawatan percuma dan sumbangan kepada warga emas.

Katanya, untuk tahun ini  Al-Qalam telah mengadakan dua program di Sijangkang dan Kampung Tengah dan sedang merancang untuk mengadakan program di IPD Kuala Langat pada 17 April ini.

“Saya tahu, banyak tempat rawatan Islam seumpama ini mengenakan bayaran yang agak tinggi bagi merawat pelbagai penyakit. Malah ada yang memanipulasi pesakit bagi mengaut keuntungan.

“Ada dalam kalangan mereka ini tidak berkemampuan, dan menyukarkan penyakit mereka di rawat. Dengan memberikan rawatan percuma ini, sekurang-kurangnya mengurangkan beban mereka dan pulih seperti sediakala.

“Di samping itu, saya boleh memberi tazkirah kepada pesakit agar memahami hikmah sakit yang ALLAH SWT berikan kepada setiap hamba-Nya dengan memperbanyakkan amalan bertaubat dan bersedekah,” katanya.

Ujarnya, pusat rawatan itu tidak menolak sekiranya mereka yang datang mendapatkan rawatan adalah kalangan mereka yang berkemampuan.

“Mereka boleh memberikan derma, agar sumbangan itu kelak boleh disalurkan kepada program-program luar yang kami jalankan di seluruh negara.

“Selain rawatan percuma di pusat, kami juga menyediakan program di merata tempat melalui kerjasama dengan pelbagai badan NGO lain.

“Di situ, sedekah pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan yang penah dirawat akan diberikan kepada golongan yang memerlukan khususnya warga emas,” ujar beliau.

Katanya, Al-Qalam tidak pernah menetapkan sebarang bayaran kepada pesakit, jauh sekali mengenakan 'pengeras' kerana mereka membantu kerana ALLAH SWT.

Baharudin berkata, ada seorang pesakit wanita dari Singapura yang sebelum ini langsung tidak boleh berjalan dan hanya menggunakan kerusi roda.

"Selepas menerima rawatan, wanita itu boleh bangun dan terus berjalan sampai terlupa dengan kerusi rodanya," katanya sambil tersenyum.

Mengenai kaedah rawatan yang diberikan, Baharudin menjelaskan pesakit perlulah mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum rawatan di mulakan serta datang ditemani dengan waris terdekat.

“Saya menggalakkan pesakit mengambil wuduk terutamanya orang Islam. Kemudian, barulah saya memulakan rawatan dengan menepuk-nepuk dan mengurut bahagian anggota badan yang sakit,” katanya.

Menurutnya, ada dalam kalangan pesakit yang datang memerlukan rawatan berulang kali, bergantung kepada tahap penyakit yang dihidapi.

“Jika penyakit kronik seperti kanser mahupun strok atau lumpuh, biasanya memerlukan pesakit datang beberapa kali sehinggalah pesakit menunjukkan tanda-tanda positif,” katanya.

Berkongsi akan hobi kegemarannya di waktu terluang, bapa kepada 10 orang anak ini gemar membaca al-Quran dan sentiasa mengamalkan surah al-Fatihah.

Selain pusat rawatan, Al-Qalam juga mempunyai Pusat Rawatan Jagaan Warga Emas dan sebuah pusat tahfiz untuk anak-anak yatim yang akan beroperasi April ini.

Dalam pada itu, salah seorang pesakit warga emas yang mendapatkan rawatan, Rukiah Yupi, 67, dari Jenjarum, Banting menunjukkan perkembangan positif meskipun pertama kali.

Rukiah yang lumpuh akibat serangan angin ahmar (strok), sejak tujuh tahun lalu berupaya mengangkat sedikit kaki kanan serta tangannya.

Anaknya, Fuad Mohd Hamdan, 35, berkata, kalau tidak dapat berjalan sekalipun dia berharap agar ibunya mampu menggerakkan anggota badan secara beransur-ansur.

“Ibu saya jatuh ketika mengayuh basikal, sejak itu dia hilang ingatan dan terkena serangan stroke. Kami mencuba serata tempat untuknya berubat termasuk hospital.

“Mujur atas pertolongan rakan, mencadangkan tempat rawatan ini. Baru hari pertama, nampak ada perkembangan positif setelah mendapatkan rawatan.

“Apa pun kita kena yakin dan tidak letih berusaha mencari rawatan sesuai. Selepas ini, saya perlu membawanya lagi untuk rawatan susulan,” katanya.

Pusat Rawatan Islam Al-Qalam terletak di 18C,Lorong 1, Kampung Tengah Puchong atau dihubungi melalui no; 03-80601673

Tags: islam, perubatan
Subscribe

Posts from This Journal “perubatan” Tag

  • Fuqaha sepakat hukum harus rawatan pulih dara

    Kemajuan teknologi memungkinkan pelbagai perkara boleh dilakukan dan dalam aspek perubatan ada kaedah untuk memulihkan selaput dara. Namun, timbul…

  • Memahami rawatan alternatif

    Soalan? Mutakhir ini rawatan alternatif semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Apakah yang dimaksudkan dengan rawatan alternatif dan…

  • Jangan perjudi nyawa kandungan

    BARU-BARU ini, dunia perubatan negara dikejutkan dengan kes kematian seorang ibu muda di Selangor akibat komplikasi ketika melahirkan anak di…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments