mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jangan gila nak jadi Arab Oleh Kunta Kinte

CERITA Melayu nak jadi Arab bukan baharu. Kunta Kinte pun dah cerita sebelum ini. Ada orang setuju dan ada yang tak setuju malahan marah. Banyak orang Melayu emosi dan sensitif bila kita sentuh pasal Arab.

Dalam fikiran banyak orang Melayu, orang Arab istimewa. Ada yang percaya darjat orang Arab lebih tinggi daripada bangsa lain. Susah juga Kunta Kinte nak salahkan mereka.




Ada banyak sebab orang Melayu pandang orang Arab macam itu. Yang pertama selalu kita dengar orang kita kata adalah orang Arab keturunan Nabi Muhammad (SAW). Betul dan tak betul.

Ya ada orang Arab keturunan Nabi, tapi sikit saja berbanding dengan bilangan orang Arab yang ada hari ini. Lagi pun kalau kita ikut al-Quran, semua manusia adalah keturunan Nabi - Nabi Adam Alaihis Salam.

Kedua banyak orang kita taksub kepada bangsa Arab pasal merekalah yang paling awal peluk Islam.

Ketiga memanglah kita tak boleh nafi yang sebahagian besar ulama dan cendekiawan Islam dulu dan sekarang adalah Arab.

Keempat dan paling penting, bagi kebanyakan orang Islam, satu-satunya negara asing yang mereka kunjung adalah Arab Saudi bagi menunaikan haji.

Ada yang sekali seumur hidup dan ada yang berulang kali. Jadi tak hairanlah bila ada orang kita yang samakan Arab dan Islam. Bila balik dari Makkah banyak jemaah, khususnya lelaki, yang pakai cara Arab.

Mereka kata ambil berkat. Allahyarham ayah Kunta Kinte pergi haji dua kali. Pergi pakai pakaian biasa, balik pun sama.

Bila emak Kunta Kinte suruh dia pakai jubah dan serban, dia kata: "Aku pi Makkah nak jadi haji bukan nak jadi Arab." Tapi pada akhir-akhir ini nampaknya ada tanda yang kurang baik dan boleh cetus masalah.

Orang kita bukan setakat nak nampak macam orang Arab dengan jubah, serban, janggut, misai dan jambang tapi dah mula terikut-ikut dengan ideologi agama orang Arab.

Yang perempuan pula ada yang tutup muka sampai kita tak kenal anak siapa atau isteri siapa. Ini asalnya pakaian Arab padang pasir sebab mereka kena tutup muka untuk elak pasir masuk mata, mulut dan telinga.

Kakitangan tak boleh tutup muka

Masa Kunta Kinte jadi pengarang di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Kunta Kinte buat syarat kakitangan wanita tak boleh tutup muka. Mula-mula ada yang kata jangan, takut cetus kontroversi.

Kunta Kinte kata, Islam yang Kunta Kinte tahu tak suruh macam itu. Lagipun kita ada syarat-syarat keselamatan. Kalau tutup muka tinggal mata saja, macam mana nak kenal kakitangan atau pelawat.

Yang paksa Kunta Kinte buat syarat itu adalah kerana ada penuntut perempuan dari institusi pengajian tinggi, khususnya UiTM, yang datang buat latihan amali tutup muka.

Kunta Kinte maklumkan kepada semua IPT, kalau nak hantar penuntut perempuan buat latihan amali dengan NSTP, tak boleh tutup muka. Inilah masalah sesetengah orang kita - nak jadi Arab lebih daripada orang Arab.

Mereka tak tahu atau tak sedar bukan semua orang Arab baik, banyak ilmu dan taat perintah agama. Yang banyak berjudi, pergi kelab malam, minum arak, rasuah, pecah amanah dan tunjuk kekayaan yang bukan-bukan di negara-negara Eropah adalah orang Arab.

Sebenarnya kita di Malaysia ni boleh kata memenuhi firman yang maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).] Surah Al-Hujurat: ayat 13.

Kita orang Islam Malaysia dari dulu lagi dah elok. Kita hidup dalam suasana yang Allah terangkan dalam ayat di atas.

Kita amalkan perintah agama, kita sederhana, toleransi dan bersaudara sesama Islam dan berbaik-baik dengan jiran tetangga bukan Islam.

Tapi kononnya kerana nak jadi lebih baik ada yang bertukar daripada Melayu yang toleransi kepada Arab yang memang terkenal sejak turun-temurun suka bergaduh dan berperang sampai negara terjajah.

Hargai tradisi kebudayaan

Jadi sangat tepatlah kita bagi perhatian kepada nasihat Duta Besar Libya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Aref Ali Nayed, yang mahu masyarakat Islam di Asia Tenggara teruskan tradisi kebudayaan mereka yang unik daripada mengambil budaya Arab.

Dalam temuramah dengan stesen televisyen Channel NewsAsia, Singapura yang disiarkan pada 28 Mac lalu, dia berkata: "Saya rasa sudah tiba masanya Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei benar-benar menghargai tradisi yang diajar di sekolah-sekolah kecil dan kampung selama beberapa abad."

Katanya lagi: "Mengapa seorang Melayu perlu tinggalkan cara beliau berpakaian atau cara bercakap atau bahasa semata-mata untuk membuktikan beliau lebih Islam dengan menggunakan beberapa perkataan Arab?"

Dr Nayed adalah juga pengasas dan pengarah Institut Kajian dan Media Kalam di Tripoli, Libya. Dia datang ke Singapura untuk bagi ucapan berkenaan cara tumpas IS di Institut ISEAS-Yusof Ishak.

Itulah juga pesanan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar baru-baru ini yang ingatkan orang Melayu supaya berpegang kepada budaya mereka daripada terikut-ikut trend Arab.

Kunta Kinte setuju dengan kedua-dua saranan itu. Lagipun tak guna kita pakai macam tok Arab kalau perintah agama kita tak ikut. Malah lebih teruk daripada orang kafir. Wallahuaklam.
Tags: arab
Subscribe

Posts from This Journal “arab” Tag

  • Bisik-Bisik Awang Selamat

    Siapa gagal? Keghairahan makin ramai individu bukan Islam menghina Islam di negara ini sudah tidak boleh dibiarkan lagi. Puncanya kerana pihak…

  • Manfaat pelajari bahasa Arab

    Kepentingan digunakan dalam ibadah, komunikasi peringkat antarabangsa Bahasa Arab antara bahasa antarabangsa yang semakin terkenal dan dipelajari…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments