mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat “Hargai Nyawa, Beradablah Di Jalanraya”

Petikan Khutbah Jumaat 22 April 2016: JAIS

“Hargai Nyawa, Beradablah Di Jalanraya”

Nyawa adalah tanda hidupnya manusia. Selagi seseorang itu masih bernyawa maka selagi itulah ia berpeluang meneruskan kehidupan di dunia ini. Tetapi apabila nyawa telah tiada lagi maka berakhirlah episod kehidupan manusia. Memberi nyawa dan mencabut nyawa adalah hak mutlak Allah SWT yang tiada sesiapapun boleh mempertikaikannya. Lantaran itu Allah SWT boleh memendekkan umur seseorang dengan kehendak-Nya dan dengan kuasa-Nya jugalah ia boleh memanjangkan umur seseorang.

Firman Allah SWT dalam surah al- Nahl ayat 70: “Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian ia menyempurnakan tempoh umur kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua bersifat kebudakbudakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa”

Menghargai nyawa bermaksud memelihara dan menjaganya dengan sebaik mungkin dengan mengelakkan diri daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan atau tindakan yang boleh menghilangkan nyawa atau dengan kata lain menyebabkan kematian.

Berdasarkan laporan Jabatan Keselamatan Jalan Raya lebih daripada 6 ribu orang mati akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2015 dengan purata 18 kematian sehari atau 1 kematian setiap 1 jam 20 minit.

Kajian oleh Kementerian Kesihatan, kemalangan jalan raya adalah punca keempat kematian di negara kita, dan sekiranya tidak dibendung, kemalangan jalan raya boleh menjadi punca utama kematian menjelang tahun 2020.

Pada tahun 2015, sebanyak 6,706 kematian akibat kemalangan jalanraya, yang mana 4,203 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia bahawa 30% daripada kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal ialah golongan berumur 16 ke 25 tahun yang berbangsa Melayu, dan daripada jumlah tersebut 40% daripadanya tidak mempunyai lesen memandu.

Allah SWT dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 195; “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.

Jalanraya merupakan satu kemudahan awam yang menjadi penghubung kepada kita dari satu tempat ke satu tempat samada dari bandar ke desa atau sebaliknya. Ianya bukanlah tempat untuk kita menunjukkan kehebatan atau keberanian ketika memandu kenderaan, bahkan menjadi tanggungjawab kita semua sebagai pengguna supaya dapat menjaga dan memelihara kemudahan ini serta menjadikannya sebagai satu medan yang selamat dan bukannya sebagai punca kecelakaan.

Terdapat juga beberapa faktor yang menjadi punca utama kemalangan sehingga kehilangan nyawa iaitu;

1. Faktor sikap manusia, seperti memandu dalam keadaan mengantuk dan kurang tumpuan, kurang berhati-hati ketika memandu dalam cuaca buruk, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit serta berlumba secara haram terutamanya penunggang motosikal.

2. Faktor mekanikal kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik untuk memastikan keselamatannya di jalan raya.

3. Faktor keadaan jalanraya yang berlopak dan merbahaya kepada pengguna.

Hadis daripada Abu Said al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Tidak boleh ada bahaya dan tidak boleh membahayakan orang lain”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar menyeru kepada para Jemaah dan umat Islam sekalian, marilah;

1. Sama-sama kita menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah SWT dengan mengelak diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan memudratkan kehidupan.

2. Beradab dan bersopanlah ketika berada di jalan raya dengan mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan jalanraya.

3. Janganlah mementingkan diri sendiri ketika menggunakan jalanraya bahkan hendaklah menghormati dan bertolak ansur terhadap pengguna yang lain.

4. Pengguna-pengguna jalanraya dinasihatkan agar sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT ketika memulakan perjalanan dengan berkenderaan.

“Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan: “Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang Kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!". (Surah az-Zukhruf: 13&14).

Wallahualam.
Tags: kemalangan, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “kemalangan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments