mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ikhtilaf, khilaf fitrah manusia, Fitrah manusia untuk bersatu

Fitrah manusia untuk bersatu

KEWUJUDAN isu ikhtilaf atau khilaf dalam kalangan manusia telah menimbulkan satu persoalan iaitu adakah manusia mempunyai fitrah yang cenderung untuk berbeza pandangan?

Bagi menjawab persoalan itu, Felo Kanan Pusat Kajian Syariah dan Undang-Undang IKIM, Dr. Farid Mohd. Shahran menyatakan ia perlu dilihat dari sudut sejarah kewujudan manusia atas muka bumi.

Katanya, jika dilihat dalam sejarah pertelingkahan manusia, dapat dirumuskan bahawa manusia memang diciptakan oleh Allah SWT dengan sifat suka berbeza pandangan.

Sikap jumud tidak harus diraikan


IKHTILAF yang taksub membawa kepada kewujudan kumpulan fanatik. - GAMBAR HIASAN -

Antara hujah beliau:


  • Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa ketika Adam a.s. ingin dicipta, para malaikat mempersoalkan tujuan penciptaannya dengan berhujah bahawa manusia bakal menumpahkan darah.

  • Pelbagai bentuk perbalahan dan pertentangan antara kelompok manusia berlaku sepanjang sejarah kemanusiaan yang melibatkan peperangan dan pembunuhan. Sejarah jatuh bangun pelbagai tamadun adalah cerminan pertentangan pandangan yang berlaku antara manusia.

  • Kewujudan pelbagai mazhab dalam bidang ilmu.

“Namun sekiranya ditinjau daripada sisi lain, pandangan bahawa fitrah manusia yang pada asasnya adalah bersetuju dan bersatu juga mempunyai asas dan hujah yang kukuh,” katanya semasa menjadi antara panel pada Persidangan Meja Bulat Prinsip Dan Kaedah Perbezaan Pandangan Dalam Kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Farid, selain perbalahan dan perselisihan, sejarah manusia juga merakamkan banyak aktiviti manusia yang dijalankan atas kerjasama, kesatuan fikiran dan persepakatan.

Katanya, wujudnya pelbagai tamadun menggambarkan bahawa manusia dapat bersama dan bersatu dalam melakukan sesuatu. Sekiranya fitrah manusia adalah berbalah sudah pasti tidak banyak hasil peradaban hebat tercipta.

“Mengikut sejarah, jangka masa manusia hidup dalam keadaan aman dan sejahtera dalam kesatuan lebih lama dari masa bersengketa. Malah pada zaman Rasulullah SAW sendiri, peperangan dan perbalahan hanyalah sebahagian kecil daripada episod kehidupan baginda,” katanya.



Fitrah manusia untuk bersatu dan berlapang dada, bukannya untuk berpecah.- GAMBAR HIASAN

Dalam masa sama, Farid memberitahu bahawa al-Quran menegaskan tentang kepentingan kesatuan yang merupakan fitrah kepada aspek tunduknya setiap hamba kepada Pencipta.

“Konsep ijmak sebagai antara sumber hukum Islam menggambarkan bahawa fitrah manusia cenderung untuk mencapai persetujuan. Walaupun khilaf banyak berlaku dalam masyarakat, namun ia bukanlah fitrah manusia yang perlu dipertahankan,” katanya.

Malah, sekiranya diteliti semangat yang dibawa oleh al-Quran berkaitan ikhtilaf dan kesatuan, ternyata kitab suci itu sentiasa menyarankan manusia agar bersatu dan bersepakat dalam melakukan sesuatu.


Ikhtilaf, khilaf fitrah manusia

HAKIKATNYA, kepelbagaian yang wujud dalam semua bidang kehidupan merupakan hasil daripada perbezaan pendapat atau pandangan dalam kalangan manusia itu sendiri.

Sejarah ketamadunan manusia sejak Nabi Adam a.s diciptakan menunjukkan bahawa kepelbagaian itu ada yang memberi manfaat dan membawa kepada kehancuran. Namun, ia bukan sesuatu yang boleh dielak atau ditolak sama sekali secara total.

Terima perbezaan dengan berlapang dada

Khilaf tidak berlandaskan ilmu yang betul, menyebabkan wujudnya sikap fanatik keterlaluan dalam kalangan pengikut. – GAMBAR HIASAN

Cuma, ia menjadi sempit dan susah apabila disusuli dengan pertimbangan hawa nafsu, mementingkan diri atau berlaku tanpa mengikut jalan yang dibenarkan oleh syarak. Natijahnya, ia akan bertukar kepada perpecahan, perbalahan, persengketaan dan menimbulkan huru-hara dalam kalangan ummah.

Justeru, apa yang boleh kita buat adalah memahami dengan jelas sama ada perbezaan pendapat atau pandangan itu berteraskan prinsip ikhtilaf atau khilaf.

Melalui pemahaman dua istilah bahasa Arab itu sedikit sebanyak membolehkan kita mengutamakan akal berbanding nafsu apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat atau pandangan.

Fellow Kanan Pusat Kajian Syariah dan Undang-undang Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Md. Asham Ahmad berkata, ikhtilaf berlaku antara dua pihak yang berada pada zaman yang sama, sedangkan khilaf bukan sahaja merupakan pandangan baharu tetapi juga lebih lemah kerana ia menyanggah apa yang sudah diterima sebelumnya “Ikhtilaf hanya diraikan dalam rangka proses pencarian ilmu kerana bagi setiap Muslim sama ada lelaki atau perempuan, ilmu merupakan satu tanggungjawab atau taklif,” katanya semasa menjadi antara panel pada Persidangan Meja Bulat Prinsip Dan Kaedah Perbezaan Pandangan Dalam Kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, perbezaan pendapat atau pandangan yang mungkin wujud sepanjang proses tersebut bukanlah suatu yang boleh dielakkan tetapi satu hakikat yang terpaksa dilalui sebelum tercapai matlamat pencarian ilmu itu.

“Atas sebab itulah, para alim ulama zaman silam telah menyusun kaedah ilmiah yang memandu penyelidikan dan perbahasan agar ia menjadi penyatuan dan bukannya perpecahan pada masa depan.

“Melalui kaedah berkenaan, dapat dizahirkan pendapat yang benar daripada yang batil, walaupun tidak semua orang akan mengenali dan mengakuinya (pendapat yang benar),” katanya.

Oleh yang demikian, umat Islam harus menerima kenyataan bahawa khilaf dalam perkara ijtihad dan hukum yang berasaskan kepada dalil-dalil zanni adalah suatu perkara yang pasti akan berlaku.

Seruan untuk menyatukan mazhab-mazhab fikah adalah suatu yang lucu, iaitu untuk memaksa orang lain mengorbankan pandangan ijtihadnya untuk berada dalam satu mazhab sahaja.

Ini tidak mungkin bahkan ia bercanggah dengan konsep dan tuntutan ijtihad kerana seorang yang mampu berijtihad dan beramal dengan hukum yang dihasilkannya tidak harus dia bertaklid atau berpaling daripada mazhabnya kepada pendapat orang lain.

Sementara orang awam pula wajib bertaklid kepada mana-mana mazhab dan pendapat ulama mujtahidin yang menjadi pilihannya.

Fahami hukum dan ilmu agama terlebih dahulu

KEFAHAMAN jitu terhadap hakikat ikhtilaf termasuk prinsip dan adabnya merupakan satu keperluan yang amat kritikal bagi umat Islam pada masa ini. Ini kerana pengabaian tentangnya boleh membantutkan agenda merawat dan membangunkan ummah sehingga bila-bila.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Saadan Man menyatakan bahawa terdapat beberapa rumusan terhadap sikap dan peranan yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu Muslim dalam mengharungi fenomena perbezaan pendapat sedemikian.

Katanya, antara agenda terpenting apabila berlakunya apa jua bentuk ikhtilaf dan khilaf ialah kembali kepada al- Quran dan Sunnah iaitu dasar utama yang menjadi pegangan utama umat Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah al- Nisa’: 59: “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya) dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah (al Quran) dan rasul-Nya (Sunnah), jika kamu benarbenar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya,”.

PUNCA PERMASALAHAN

Hakikatnya pada masa ini tidak ramai daripada mereka yang terlibat dengan perselisihan pendapat ini mengikhlaskan diri untuk kembali melihat dasar-dasar dalam al-Quran dan Sunnah ini.

“Sebaliknya mereka lebih gemar berfalsafah dan bersikap taksub kepada pendapat masing-masing atau berfikiran sempit dengan berpegang teguh kepada pandangan sesuatu aliran atau mazhab anutannya.

“Malah ada dalam kalangan mereka yang teguh berpaut pada hawa nafsu untuk mencapai matlamat peribadinya yang bersifat kebendaan,” katanya semasa menjadi panel pada Persidangan Meja Bulat Prinsip dan Kaedah Perbezaan Pandangan Dalam Kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Saadan turut mengingatkan umat Islam supaya mengukur kedudukan dan tahap ilmu agama yang dimiliki apabila terlibat dalam isu perbezaan sebegini supaya tidak menyeleweng dan menyalahi fitrah kehidupan ciptaan Allah SWT itu.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa perkara terpenting ialah usaha untuk merapatkan saf dan mengukuhkan ukhuwaah dalam kalangan umat Islam.

“Perbezaan fikrah dan manhaj dalam kalangan gerakan dakwah atau aliran pemikiran Islam yang wujud dalam dunia Islam sekarang ini adalah satu lumrah kehidupan.

“Kita harus berlapang dada kerana usaha menyatukan umat Islam dalam satu wadah tertentu adalah sesuatu yang mustahil dan menyalahi fitrah kehidupan ciptaan Allah,” katanya.

Tags: fitrah, ikhtilaf
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments