mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Cantik wanita pada malunya

KEDUDUKAN wanita sebelum kedatangan Islam berada di tahap yang sangat rendah dan hina. Wanita hanya dianggap sebagai makhluk pemuas nafsu lelaki, dilayan seperti binatang, tiada hak membela diri, tiada hak dalam perwarisan bahkan dianggap sial.

Masyarakat Arab jahiliah dahulu sampai tergamak membunuh bayi perempuan mereka hidup-hidup kerana bayi tersebut bakal mendatangkan sial dalam keluarga.



Angkat martabat wanita

Namun, segalanya berubah apabila syariat Islam diturunkan. Wanita yang dahulunya dipandang hina dan direndah-rendahkan, kini diangkat dan dimuliakan oleh Islam. Islam memberikan hak yang adil kepada wanita. Contohnya, perhatikan ayat berikut. ALLAH menyatakan peluang yang sama kepada lelaki dan wanita dalam melakukan amal kebaikan.

Firman-Nya: "Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." (Surah Al-Nahl: 97)

Banyak lagi ayat lain dalam al-Quran yang mengangkat kedudukan wanita dan membela hak-hak kehormatan mereka. Sehinggakan terdapat satu surah khas yang dinamakan An-Nisa iaitu surah berkenaan wanita. Kebanyakan isi kandungan surah ini berkisar perihal wanita dari segenap aspek.

Rasulullah SAW juga secara jelas dan tegas mengangkat kedudukan wanita dan membela hak kehormatan mereka secara adil. Sehinggakan Baginda SAW pernah menyebut: "Terimalah wasiat ini supaya kamu semua berlaku baik dengan kaum perempuan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Justeru, kita dapati wanita yang dahulunya tiada nilai, rendah maruah dan boleh diperlakukan apa sahaja tanpa ada hak membela diri telah menjadi wanita yang sangat bernilai, bermaruah tinggi, mempunyai kehormatan dan diberi hak membela diri di dalam Islam.

Kembali jadi hina

Islam hadir mengangkat maruah. Islam hadir mengurniakan kemuliaan. Islam hadir memberi makna dan nilai sebagai seorang manusia dan wanita. Kemuliaan dan kehormatan ini akan terus kekal pada diri seorang wanita sekiranya wanita tersebut berpegang dan menghargainya. Namun, wanita boleh kembali menjadi hina, tidak bermaruah dan tercemar kehormatan apabila pedoman Islam sudah tidak lagi diendahkan.

Kebimbangan tersebut seakan menjadi realiti pada hari ini. Sebahagian wanita Muslim sanggup bertindak merendahkan diri sendiri, mencemari kehormatan dan kemuliaan diri. Membiarkan diri dipegang-pegang oleh lelaki yang bukan mahram, bergaul bebas tanpa batasan, menghisap rokok dan menghembus asap dengan bangganya, sanggup memeluk dan dipeluk artis lelaki yang diminati, menayangkan 'aset' diri bahkan sampai ada yang sanggup menjual diri.

Itu belum dikira lagi dengan mereka yang kelihatan bersemangat untuk mendapatkan pakaian menutup aurat, tetapi dalam masa yang sama sanggup berasak-asak sesama lelaki, bersentuh-sentuhan, dipegang dan diraba, menjerit terpekik terlolong dan pelbagai lagi adegan yang menghairankan.

Malu sebagai perisai

Jika ditanya apakah cara bagi mengatasi semua ini? Salah satu caranya ialah dengan kembali kepada apa yang dipesan Rasulullah SAW.

Dari Abu Mas'ûd 'Uqbah bin 'Amr Al-Anshârî Al-Badri RA berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui oleh manusia dari kalimat kenabian terdahulu ialah, Jika engkau tidak malu, maka buatlah apa yang kamu suka." (Riwayat Bukhari)

Pesanan Nabi SAW ini menunjukkan apabila sifat malu itu hilang dari seorang manusia, maka dia tidak lagi segan silu untuk melakukan apa sahaja, termasuk perbuatan salah dan berdosa. Maka, perasaan malu mampu menjadi benteng pertahanan yang melindungi seorang individu daripada melakukan perbuatan yang mencemarkan maruah dirinya. Rasa malu ini perlu disuburkan kerana 'Malu adalah salah satu cabang iman.' (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sifat malu sentiasa akan memberikan kebaikan kepada pemiliknya. Rasulullah SAW bersabda: "Malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan semata-mata." (Muttafaq 'alaihi)

Dalam riwayat lain, Baginda SAW bersabda: "Malu itu keseluruhannya adalah kebaikan." (Riwayat Muslim)

Malu membuahkan 'Iffah

Sifat malu yang dimiliki oleh seseorang akan membuahkan sifat 'iffah iaitu menjaga kehormatan dan maruah diri.

Imam Ibnu Hibban Al-Busti menyebutkan: "Wajib bagi orang yang berakal untuk bersikap malu terhadap sesama manusia. Di antara keberkatan mulia yang didapati dari membiasakan diri bersikap malu ialah akan terbiasa berperilaku terpuji dan menjauhi perilaku tercela.

Di samping itu berkat yang lain ialah selamat dari api neraka, iaitu dengan sentiasa berasa malu hendak mengerjakan sesuatu yang dilarang ALLAH. Ini kerana manusia memiliki tabiat baik dan buruk saat berhubungan dengan ALLAH dan saat berhubungan sosial dengan orang lain.

Apabila rasa malunya lebih dominan, maka kuat pula perilaku baiknya, sedang perilaku buruknya melemah. Ketika sifat malu melemah, maka sifat buruknya menguatkan dan kebaikannya menjadi lemah." (Raudhat Al-'Uqala' wa Nuzhat Al-Fudhala’, m/s 55)

Malu dalam konteks ini ialah malu untuk melakukan keburukan dan tindakan yang menjatuhkan maruah dan kehormatan diri. Malu perlu dimiliki oleh lelaki dan juga wanita. Namun, sifat malu pada seorang wanita lebih lagi dituntut.

Sifat malu yang ada seorang wanita itulah yang mampu menjadi benteng dirinya dari sifat 'tergedik-gedik', 'tomboy' dan sebagainya.

Wanita itu cantik pada kekuatan pegangan agamanya, kelembutan tutur katanya, kesopanan tatatertib susunan langkahnya dan tegas mengelak dari disentuh oleh lelaki yang tidak berhak.

Tetapi, apabila malu sudah tiada, hilanglah lembut berganti keras, lenyaplah adab bertukar biadab, mulia menjadi hina, maruah tinggi menurun ke bawah, lalu apa lagi yang akan tinggal pada diri seorang wanita?

Jangan malu dalam kebaikan

Wahai wanita, bersifat malulah kerana Nabimu sendiri lebih pemalu dari seorang gadis. Abu Said Al-Khudri berkata: "Nabi SAW lebih pemalu daripada gadis pingitan yang berada dalam kamarnya." (Riwayat Bukhari)

Namun, malu biarlah bertempat. Bersifat malu bukan menjadikan dirimu lurus bendul, dipijak-pijak, tidak boleh bersuara dan sebagainya. Jangan sampai malu menghalang dirimu dari mendapat hak dan peluang yang diberikan oleh Islam.

Ummul Mukminin 'Aisyah RA menyebut mengenai sifat wanita dalam kaum Ansar: "Sebaik-baik wanita adalah wanita Ansar. Rasa malu tidak menghalang mereka untuk memperdalam ilmu agama." (Riwayat Bukhari secara mu'allaq)

Wahai wanita, dirimu sudah dimuliakan oleh Islam, maka jangan dihinakannya semula. Maruah dirimu sudah diangkat oleh Islam, usah diruntuhkannya kembali. Kehormatan dirimu telah dibentengi oleh Islam, jangan dipecahkannya lagi. Malu sebagai perisai. Malu sebagai perhiasan. Hiaskan diri dengan sifat malu kerana itulah kecantikan pada dirimu.

Tags: wanita
Subscribe

Posts from This Journal “wanita” Tag

  • Khutbah Jumaat: Menghargai Pengorbanan Wanita

    Petikan Khutbah Jumaat: 15 September 2017M /24 Zulhijjah 1438H JAKIM Menghargai Pengorbanan Wanita Allah SWT telah meletakkan kedudukan…

  • Ke mana wanita ingin pergi?

    WANITA Islam di Malaysia tidak terpinggir! Itu hasil kajian sedekad yang lalu untuk melihat keterlibatan wanita dalam proses pembangunan negara…

  • Wanita Syurga Permata Dunia

    SETIAP manusia beriman mengimpikan syurga sebagai kediaman abadi mereka. Namun, masih ramai yang tidak tahu mengenai jalan menuju ke syurga bahkan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments