mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Golongan Hawa kian menyerlah

SEKIRANYA wanita itu sudah berkahwin dan mahu menyertai misi menyelamat, baguslah kerana dia meminta izin suaminya atas nawaitunya yang luhur. Tetapi pada masa yang sama suaminya juga memikirkan keselamatan bagaimana keadaannya di sana, siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa terhadapnya.

Ustaz Mohamad Amiro Safwan menjelaskan, pertamanya, di saat dia meminta izin satu pujian harus kita berikan sebab dia berani minta izin daripada suaminya untuk pergi membantu. Kedua, sekiranya suami tidak izinkan maksudnya suami telah mengkaji atau melihat dalam konteks dengan lebih besar.

"Suami tidak izinkan dan si isteri ingkar maka wanita itu nusyuz (derhaka) kepada suaminya, kerana membelakangi perintah suami. Sesetengah memahami nusyuz ialah apabila melanggar perintah dan tidak taat pada agama sahaja sedangkan konteks nusyuz berlaku apabila isteri melanggar perintah yang tidak diredai suaminya.

"Renung situasi ini, tidak salah jika isteri minta izin suami, suaminya tidak bagi tetapi dia memberikan alasan yang menjamin keselamatannya, NGO yang diikuti membawa 70 anggota keselamatan kemudian ada juga pakar perubatan dan paramedik, tidak hanya ada kaum lelaki tetapi turut disertai penglibatan kaum wanita.

"Dia menjelaskan bahawa dia turut serta sebab melihat keselamatan golongan kaum sukarelawan wanita tersebut. Wanita berkenaan hanya membantu dari sudut rawatan dan ubat-ubatan," katanya lagi.

Menurutnya, jika wanita itu mahu menyertai misi kemanusiaan atas niat untuk bersuka ria dan suaminya tidak memberi izin kepadanya maka dia tidak boleh pergi. Dijadikan cerita, jika suaminya tidak mengizinkan dan isterinya tetap pergi dan wanita itu meninggal dunia, dia meninggal dalam keadaan nusyuz kepada suaminya.

Jaga aurat

Walau di mana sahaja wanita itu menyertai misi kemanusiaan tidak kiralah di kawasan bergolak, mereka perlu menjaga aurat. Beliau berkata, aurat itu bukan hanya menutup apa yang dipakai tetapi dia menjaga maruah dan kehormatan dirinya, ke mana sahaja dia pergi dia membawa imej sebagai wanita Islam yang mana masyarakat atau dunia melihat dia seorang Islam.

Contohnya, jika sebelum ini dia memakai jubah, berpurdah. Dia sertai misi kemanusiaan di kawasan yang agak sukar untuk berpakaian sedemikian menyebabkan dia perlu memakai seluar, berbaju T labuh dan bertudung labuh. Apa pun dipakai, yang penting biar kena dengan situasi tanpa meninggalkan tuntutan syariat.

"Pakaian yang dipakai perlu kena dengan tempat, contohnya jika berlaku kebakaran, perlukah lagi wanita itu memakai purdah? Sedangkan asap sudah berkepul-kepul. Kena lihat pada situasi dan faham kaedah. Bagaimana cara untuk menutup aurat terpulang kepada wanita berkenaan, yang penting selari dengan apa agama tetapkan.

"Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita (ikhtilat) yang tidak ada halangan dan dicegah dalam Islam. Apabila menyertai misi kemanusiaan, wanita dan lelaki perlu menjaga perhubungan mereka. Kekadang, ramai yang ambil mudah perihal ini sedangkan lelaki dan perempuan yang ajnabi tidak dibenarkan bersama kecuali atas sebab untuk berbincang (mushawarah). Walaupun niat kita baik pada awalnya, tetapi kita jangan buka ruang-ruang untuk sesuatu yang tidak baik," terang beliau lagi.

Untuk lebih memahami, Ustaz Mohamad Amiro Safwan membawakan contoh, semua tahu arak haram dan apa-apa yang berkaitan dengannya adalah haram dan walaupun kita tidak memegang arak, tetapi jika kita bekerja di tempat yang ada arak, berkemungkinan besar, kita akan terpengaruh dengannya.

Buta dan pekak

Rehal turut mendapatkan respons daripada Aktivis Kemanusiaan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) merangkap Pengurus Kanan MyCARE, Roha Hassan yang berpengalaman hampir 20 tahun lebih dalam kerja sukarelawan ini.

Kongsinya, misi kemanusiaan adalah satu tugas mulia melibatkan keinginan untuk membantu sesama insan yang diuji musibah. Samada ada lelaki dan wanita, peranan berada di medan amat perlu bila sesuatu musibah berlaku. Bukan sekadar membantu yang diuji krisis peperangan, penjajahan, bencana alam dan perbuatan manusia malahan ia juga membantu diri sukarelawan itu sendiri.

"Melalui peranan di lapangan, sukarelawan turut membantu diri sendiri menjadi insan lebih kuat, tabah, sabar, prihatin, bijak dan beberapa kualiti penting lain kerana semua ini diperlukan sukarelawan kemanusiaan.

"Sukarelawan kemanusiaan mestilah mereka yang 'buta' juga 'pekak'. Buta dalam memberikan bantuan tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama, darjat dan latar belakang pendidikan. Tidak cenderung pada mana-mana parti politik dan kefahaman," katanya.

Roha berkata lagi, menjadi sukarelawan juga mesti menutup telinga dari khabar-khabar angin dan hasutan. Bertindak berdasarkan ilmu, kemahiran, fakta dan kerja berkumpulan.

Manakala untuk sukarelawan Muslim, al-Quran dan sunnah adalah sebaik-baik panduan selain ilmu dan amal yang menjadi bekalan ketika menghulurkan bantuan. Akhlak dan budi pekerti mulia juga pakaian yang penting untuk seorang sukarelawan.

Gabungan lelaki, wanita

Penolong Setiausaha Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Zulhanis Zainol berkata, sememangnya gerak kerja dalam kesukarelawan ini tidak terhad kepada satu gender sahaja, sebaliknya ia terbuka kepada lelaki dan wanita. Dalam Mapim, 30 peratus sukarelawan adalah wanita.

"Penglibatan wanita dalam isu kemanusiaan mutakhir ini lebih menyerlah, memandangkan banyak isu-isu yang berlaku memerlukan penglibatan wanita sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa. Kini, dunia turut mengiktiraf penglibatan wanita dalam isu kemanusiaan dengan adanya pelbagai anugerah.

"Dalam Mapim sama ada anda sukarelawan lelaki atau wanita, kami melihat kepada kepakaran yang dimiliki individu tersebut.  Namun kepakaran dilihat dengan mengambil kira peranan dan hak-hak wanita. Mapim juga ada membawa sukarelawan wanita menyertai misi kemanusiaan di Gaza, Myanmar dan Syria," jelasnya lagi.

Tags: wanita
Subscribe

Posts from This Journal “wanita” Tag

  • Khutbah Jumaat: Menghargai Pengorbanan Wanita

    Petikan Khutbah Jumaat: 15 September 2017M /24 Zulhijjah 1438H JAKIM Menghargai Pengorbanan Wanita Allah SWT telah meletakkan kedudukan…

  • Ke mana wanita ingin pergi?

    WANITA Islam di Malaysia tidak terpinggir! Itu hasil kajian sedekad yang lalu untuk melihat keterlibatan wanita dalam proses pembangunan negara…

  • Wanita Syurga Permata Dunia

    SETIAP manusia beriman mengimpikan syurga sebagai kediaman abadi mereka. Namun, masih ramai yang tidak tahu mengenai jalan menuju ke syurga bahkan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments