mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Islam tolak sekularisasi

Dalam masyarakat Barat, agama telah semakin hilang peranannya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, dan kalau ada pun sedikit peranannya kini ia dihadkan kepada kehidupan peribadi (private sphere) semata-mata. Tidak boleh dipaksakan ke atas orang lain. Untuk menjamin itu berlaku, maka tempat awam (public spaces) dan jawatan awam hendaklah dipastikan bebas daripada pengaruh agama.

Maka seringkali kita dapati timbul kontroversi dan bantahan terhadap apa yang dianggap campur tangan kerajaan dalam perkara-perkara yang dianggap sebagai hak peribadi, seperti amalan keagamaan dan akhlak, Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), homoseksualiti, perkahwinan sejenis, dan pendidikan agama di sekolah kerajaan.

Negara sekular adalah negara yang memisahkan negara dari gereja. Maka ia hendaklah mengambil pendirian rasional dan humanistik dalam membuat dasar dan tindakan, serta tidak cenderung kepada sebarang agama, walaupun pada masa sama, ia menjamin kebebasan mengamalkan sebarang agama. Itulah yang dipercayai oleh sesetengah pemikir sebagai jalan terbaik ke hadapan bagi sesebuah negara yang memiliki kepelbagaian budaya (multicultural society) dan agama, dan dalam dunia tanpa sempadan.

Kaum Muslimin juga tidak terkecuali dari dilanda oleh arus sekularisasi ini sehingga menimbulkan berbagai-bagai masalah dan konflik dalam kalangan mereka. Walaupun masalah yang dihadapi itu mungkin tidak sama dengan apa yang dihadapi di Barat, apa yang pasti adalah kekeliruan yang telah ditimbulkan olehnya.

Sekularisasi adalah suatu proses yang pada akhirnya membawa kepada ‘terhapusnya dari akal dan bahasa kawalan agama dan metafizik’. Proses inilah yang dialami oleh kebudayaan dan tamadun Barat dalam sejarahnya. Dan inilah yang membawa kepada teori sekularisasi dalam sosiologi yang mengatakan dengan kedatangan zaman moden agama semakin ke belakang.

Menurut teori ini, selaras dengan kemajuan sains dan teknologi, asas-asas kepada pemikiran keagamaan seperti tuhan, roh, dan perkara-perkara ghaib sudah tidak lagi di­terima, diragui, atau dipandang dengan rasa curiga. Lama-kelamaan agama akan kehilangan makna dan ditinggalkan

Ramai yang masih tidak mengetahui bahawa sekularisasi itu adalah suatu agenda falsafah dan ideologi yang bermatlamat menghapuskan dasar-dasar agama, dengan menafikan makna-makna kerohanian dari alam semesta, menolak ­peranan agama dalam kehidupan politik dan kemasyarakatan. Dalam masyarakat Barat sekularisasi itu kini sudah dianggap sebagai nasib sejarah yang tidak dapat dielakkan lagi.

Bahkan golongan pemikir dan ahli teologi Kristian sendiri turut memberikan justifikasi terhadap sekularisasi itu dengan mengatakan ia adalah berakar umbikan ajaran kitab Injil sendiri. Tidak seperti Barat, yang dalam pengalaman sejarah keagamaannya melihat dunia secara terpisah dari akhirat, Islam tidak pernah memisahkan dunia dari akhirat, dan tidak memandang hina kepada kehidupan duniawi. Maka dalam Islam tiada istilah yang boleh membawa maksud yang sama.

Istilah yang terdekat adalah al-hayat al-dunya yang bererti ‘kehidupan duniawi’ seperti yang disebut dalam al-Quran. Perkataan dunya, dari kata dana yang bererti sesuatu yang dibawa dekat, dan ia bermaksud bahawa dunia dan kehidupan dunia itu amat dekat dan kuat mempengaruhi kesedaran kebanyakan manusia sehingga mereka lupa kepada nasib terakhir, iaitu akhirat.

Oleh itu, al-Quran berulang kali memberi amaran perihal kehidupan dunia. Akan tetapi itu tidak pula bermakna dunia itu sendiri dipandang hina seperti mana yang dikandung dalam kata sekular. Sebaliknya dunia dan alam ini adalah tanda-tanda (ayat) Allah yang dibawa dekat kepada kita agar kita mengenali Penciptanya.

Jika demikianlah tujuan dan sifat dunia, maka tidak mungkin ia sesuatu yang hina. Walaupun demikian, dunia dan kehidupan duniawi itu ada penamatnya. Maka ­pem­­ba­ngunan duniawi hanyalah bermakna apabila ia diikat dengan matlamat akhir iaitu kejayaan yang datang selepasnya, yakni di akhirat. Demikianlah rapatnya hubungan dunia-akhirat dalam pemikiran dan kesedaran kaum Muslimin.

Maka masalah pertentangan negara Islam-negara sekular tidak sepatutnya timbul atau ditimbulkan. Apabila ditimbulkan juga maka ini bermaksud bahawa kaum Muslimin sudah keliru tentang hakikat dan sifat agamanya sendiri sehinggakan mereka telah menganggapnya satu masalah, sedangkan ia, tidak sepatutnya menjadi masalah. - Utusan Malaysia Rencana Pandangan IKIM 02 Mei 2016 6:20 PM

Tags: sekular
Subscribe

Posts from This Journal “sekular” Tag

  • Sekularisme dan Wibawa Manusia

    FAHAMAN sekularisme yang dianuti oleh masyarakat di negara Barat bukan sahaja boleh menyebabkan penganutnya memisahkan kehidupan mereka daripada…

  • Polemik Malaysia sebagai negara Islam

    SEJAK kebelakangan ini timbul persoalan apa yang akan berlaku jika Malaysia menjadi sebuah negara Islam? Ini disebabkan ada golongan mendakwa…

  • Memahami apa itu sekularisme

    SECARA umumnya, sekularisme merujuk kepada kedudukan dan peranan agama daripada sesuatu yang berkaitan dengan segala aspek kehidupan kepada sesuatu…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments