mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : “Mengenali Beberapa Golongan Perosak”

Petikan Khutbah Jumaat 06 Mei 2016: JAIS

“Mengenali Beberapa Golongan Perosak”

Al-Quran menggunakan kata fasad (kerosakan) dengan makna yang luas yang secara umum bermaksud apa-apa jua jenis kerosakan di muka bumi yang berupa pelbagai aktiviti yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan demikian, setiap orang yang melakukan apa sahaja kemaksiatan, kemungkaran atau kejahatan samada besar maupun kecil, bererti telah berbuat kerosakan.

Surah al-Baqarah ayat 11 dan 12 yang bermaksud; “Dan apabila dikatakan kepada mereka, “janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi”. Mereka menjawab, “sesungguhnya kami hanya orang yang membuat kebaikan. Ketahuilah! Sesungguhnya mereka itulah orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”.

Dalam al-Quran terdapat orang-orang atau kelompok orang yang secara langsung digolongkan sebagai para pembuat kerosakan, antara lain adalah;

1. Pemerintah-pemerintah yang zalim.

Ini dijelaskan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 4;  “Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi dengan melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak (untuk berkhidmat dengannya). Dia menindas segolongan daripadanya (iaitu Bani Israel) dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anakanak perempuan mereka. Sesungguhnya dia daripada golongan yang membuat kerosakan”.

2. Orang-orang yang tidak beriman dan ingkar kepada Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 40;  “Antara mereka ada yang beriman kepada al-Quran dan ada antara mereka yang langsung tidak beriman kepadanya. (Ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan”

Orang-orang yang tidak beriman lagi ingkar juga dianggap melakukan kerosakan kerana mereka enggan mematuhi perintah Allah SWT. Apabila mereka enggan atau ingkar mematuhi syariat Islam sudah pasti mereka akan melakukan pelbagai perbuatan yang bertentangan dengan peraturan syariat.

3. Orang munafik.

Golongan munafik ialah mereka yang berpura-pura beriman, menyembunyikan kekufurannya dan sentiasa merancang melakukan kerosakan terhadap agama Islam.

Hadis daripada Abdullah Bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu ialah) apabila diberi kepercayaan ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran”. (Riwayat Imam Ahmad)

4. Tukang fitnah.

Fitnah adalah merupakan tuduhan palsu yang diada-adakan yang berniat jahat untuk mengaibkan atau menjatuhkan maruah seseorang yang boleh merosakkan keharmonian dan akhirnya menyebabkan terputusnya silaturrahim dalam keluarga dan masyarakat. Ianya sering dilakukan melalui perkataan, tulisan atau perbuatan. Bahkan si pembuat fitnah dikatakan juga sebagai mengadu domba.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 27; “(Iaitu) orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya dihubungkan (beriman dan menghubungkan silaturrahim dengan Nabi SAW),serta mereka pula membuat kerosakan (dengan melakukan maksiat) di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi (kerana dimasukkan ke dalam neraka selama-lamanya)”.

Pembuat fitnah tidak akan masuk syurga sepertimana sebuah hadis daripada Huzaifah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; لا يدخلُ الْجنةَ قَتات “Tidak masuk syurga orang-orang yang suka memfitnah (mengadu domba). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai kesimpulannya, mimbar pada hari ini menyeru supaya;

1. Umat Islam hendaklah berwaspada dan menjauhi golongan perosak yang boleh menjejaskan akidah.

2. Umat Islam hendaklah mengenal pasti ciri-ciri golongan perosak yang telah dihuraikan dalam khutbah ini.

3. Umat Islam hendaklah membersihkan hati dan jiwa supaya tidak menjadi golongan perosak dalam masyarakat dan selamat hidup di dunia dan akhirat

“Antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang sangat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia beredar (setelah mendapat hajatnya), dia berjalanlah di bumi untuk melakukan kerosakan padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternakan dan manusia), sedang Allah tidak suka kepada kerosakan”. (Surah al-Baqarah : 204-205).

Tags: khutbah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments