mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perintah berlaku ihsan

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang memerintahkan supaya manusia berlaku ihsan dan menyatakan bahawa Dia mencintai orang-orang yang berlaku sedemikian.

Sesungguhnya ALLAH memerintahkan supaya kita berlaku ihsan dalam banyak ayat al-Quran. Dia juga mengkhabarkan bahawa Dia mencintai orang-orang yang berlaku ihsan, memberi ganjaran pahala kepada orang-orang muhsinin dan tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik.

Disebutkan ihsan itu dalam al-Quran ada kalanya dengan dikaitkan dengan iman, ada kalanya dikaitkan dengan Islam dan ada kalanya dikaitkan dengan takwa dan amal soleh. Ini semua menunjukkan kelebihan ihsan serta besarnya pahalanya di sisi ALLAH.

Tiga jenis ihsan

Ihsan dapat dibahagikan kepada tiga jenis:

Berlaku ihsan dalam beramal: Iaitu mengerjakannya dengan baik dan sempurna.

Berlaku ihsan terhadap orang lain: Iaitu dengan membantu dan berbakti.

Berlaku ihsan dengan ALLAH.

Berlaku ihsan dengan ALLAH adalah tingkatan agama yang paling tinggi. Nabi SAW menjelaskan, ihsan dengan ALLAH adalah dengan kamu menyembah ALLAH seolah-olah kamu melihat-Nya, sekiranya kamu  tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat kamu.

Ertinya, hendaklah seorang hamba itu menyembah ALLAH dengan berasakan ALLAH dekat dengannya dan bahawasanya ALLAH berada di hadapannya sehingga dia mampu melihat-Nya. Ia akan menimbulkan perasaan takut dan takzim di samping kesungguhan untuk memperelok ibadah yang dilaksanakan serta menyempurnakannya.

Di samping ihsan dalam beramal dan ihsan dengan ALLAH, manusia juga diperintahkan supaya berlaku ihsan terhadap orang lain. Kita diperintahkan supaya menghormati kedua orang tua dan berbuat baik dengan anggota keluarga dan saudara-mara demi menjaga tali silaturahim dengan mereka. Begitu juga dengan jiran tetangga dan tetamu yang datang ke rumah.

Firman ALLAH: "Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terkandas dan juga hamba yang kamu miliki." (Surah An-Nisaa': 36)

Di samping melaksanakan ihsan yang wajib, syariat Islam turut menganjurkan perbuatan ihsan kepada sesama manusia yang berupa perkara sunat seperti bersedekah dan membantu orang yang susah. Tidak terhenti di situ, syariat Islam juga menyeru supaya kita berbuat ihsan dengan mengucapkan perkataan yang baik sebagaimana firman ALLAH:

"Dan berkatalah kepada manusia apa yang baik." (Surah Al-Baqarah: 83)

Hak orang lain yang ada pada kita dalam apa jua bentuk hendaklah ditunaikan dengan cara baik tanpa bertangguh-tangguh ataupun menyusah-nyusahkan urusannya.

Firman ALLAH: "Hendaklah mengikut cara yang baik dan hendaklah menunaikannya dengan sebaik-baiknya."  (Surah Al-Baqarah: 178)

Malah sekiranya ia adalah hutang, dianjurkan supaya kita melebihkan bayaran hutang tersebut sebagai tanda penghargaan atas bantuan yang diberikan. Nabi SAW bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah mereka yang membayar hutang dengan sebaik-baiknya." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Ihsan terhadap haiwan

Islam turut mengajar umatnya supaya berlaku ihsan dengan haiwan khususnya ketika hendak menyembelihnya. Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan ihsan dalam segala perkara; sekiranya kamu membunuh maka bunuhlah dengan cara yang terbaik dan sekiranya kamu menyembelih sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah seorang kamu menajamkan mata pisaunya dan merehatkan haiwan sembelihannya." (Riwayat Muslim)

Berlaku ihsan ketika membunuh dalam hadis di atas menjurus kepada mereka yang dibenarkan oleh syariat Islam untuk kita membunuhnya. Ihsan ketika sembelihan pula adalah merujuk kepada haiwan ternakan dengan menyembelihnya secepat mungkin mengikut cara yang paling mudah tanpa berlengah-lengah dan menyeksanya.

Termasuk dalam apa yang ditegah agama adalah perbuatan memotong anggota badan manusia sesudah dia mati.

Begitu juga perbuatan mengikat haiwan lalu dijadikan sebagai sasaran anak panah sehingga ia mati. Demikian disebutkan dalam hadis Bukhari dan Muslim daripada riwayat Anas bin Malik. Dalam sebuah athar, disebutkan bahawa Ibnu Umar RA melewati sekumpulan manusia yang telah mengikat seekor ayam lalu mereka melontar ke arahnya dengan senjata mereka. Kata Ibnu Umar: "Barang siapa melakukan hal ini sesungguhnya dia dilaknat oleh Rasulullah SAW."

Perbuatan mengurung haiwan sampai ia mati juga dilarang. Nabi SAW menjelaskan, seorang wanita telah masuk neraka gara-gara seekor kucing yang dia kurung tanpa memberi makan mahupun melepaskannya untuk mencari makanan sendiri. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Berbuat baik kepada haiwan yang dituntut agama menjangkau sampai haiwan yang bukan di bawah peliharaan termasuklah haiwan seperti anjing.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Dahulu seorang lelaki mendatangi sebuah perigi lalu dia turun ke dalamnya untuk minum daripada airnya. Dia kemudian melihat seekor anjing yang dahaga berdiri di tepi perigi.

"Kerana berasa kasihan, dia mencabut salah satu kasutnya dan mengisinya dengan air kemudian memberikan kepada si anjing itu minum daripadanya. ALLAH berterima kasih kepada lelaki itu dan memasukkannya ke dalam syurga." (Riwayat Ibnu Hibban, sahih)

Jalan melakukan kebaikan cukup banyak sekali. Bahkan antaranya sampai boleh memberi manfaat kepada kita walaupun sesudah kita mati meninggalkan dunia ini. Sabda Nabi SAW: "Sekiranya seorang anak Adam itu mati maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh kepada orang tuanya." (Riwayat Muslim)

Sedekah jariah adalah perbuatan kita mendermakan sesuatu yang dapat dimanfaatkan oleh manusia secara terus menerus walaupun selepas kita mati. Begitu juga dengan ilmu yang dimanfaatkan. Selagi mana ilmu yang diajar sama ada melalui tulisan ataupun dengan cara mengajar terus diamalkan oleh orang lain, maka si guru akan mendapat pahala walaupun setelah dia mati.

Agama belas ihsan

Sesungguhnya agama Islam adalah agama belas kasihan dan ihsan. Nabi SAW bersabda: "Mereka yang mengasihi sesama yang lain akan dikasihi oleh ALLAH; kasihanilah mereka yang ada di muka bumi nescaya kamu akan dikasihani oleh mereka yang di langit." (Riwayat Abu Daud, sahih)

ALLAH berfirman: "Bagi mereka melakukan kebaikan akan dikurniakan kebaikan serta satu tambahan." (Surah Yunus: 26)

Dalam sebuah riwayat Muslim, Nabi SAW menjelaskan bahawa 'satu tambahan' yang dijelaskan dalam ayat tersebut adalah dapat melihat wajah ALLAH di syurga kelak.

Ganjaran melihat wajah ALLAH di syurga yang ALLAH sediakan buat mereka yang melakukan ihsan kebaikan di dunia sangat bersesuaian. Sebagaimana yang telah disebutkan, ihsan bererti menyembah ALLAH seolah-olah dengan dapat melihat-Nya, maka untuk itu ALLAH membalasnya dengan dapat melihat wajah-Nya secara langsung di akhirat.

Tags: ihsan
Subscribe

Posts from This Journal “ihsan” Tag

  • Sentiasa diperhatikan ALLAH

    TIDAKLAH manusia dijadikan sia-sia dan dibiarkan tanpa petunjuk. Kebaikan sama sekali tidak akan luput, kejahatan tidak akan dibiarkan dan pengadil…

  • Hak, tanggungjawab, ihsan resipi hidup bahagia

    DALAM kehidupan ini ada beberapa perkara yang mesti difahami dengan betul supaya ia tidak mengeruhkan keharmonian. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin…

  • Utama ihsan dalam pendidikan

    Setiap ahli keluarga perlu memahami konsep ihsan dalam memainkan peranan bagi memastikan rumah tangga harmoni dan bahagia. Ibu bapa perlu…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments