mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tidak abai asnaf di Selangor , Selangor kongsi hasil zakat

Selangor kongsi hasil zakat

SEBUT sahaja Shah Alam dan Klang, pastinya terbayang dalam fikiran tentang negeri Selangor. Jangan terkejut jika ia beralamat di Kelantan. Ini kerana kedua-dua pusat bandar yang melambangkan negeri Selangor itu juga kini boleh dilihat di penempatan Desa Alam Shah, Kampung Gong Jenerah, Pasir Puteh, Kelantan.

Walaupun tidak sebesar dan maju seperti bandar sebenar, namun penempatan berkonsep agro-ekonomi yang menyediakan kemudahan asas termasuk surau, pusat sumber, dewan serbaguna dan kedai runcit itu cukup bermakna bagi asnaf fakir dan miskin yang ditempatkan di kawasan tersebut.

Santuni asnaf di Kelantan menerusi inisiatif penempatan Desa Alam Shah


SURAU yang dilengkapi sistem pembesar suara turut disediakan untuk kemudahan penghuni

Ini kerana, usaha pintar menerusi kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (Zakat Selangor, MAIS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) itu bukan sahaja dapat meringankan kesempitan hidup asnaf tetapi turut merangsang mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menerusi bantuan modal berupa sebuah rumah berserta tanah seluas 0.46 hektar bagi setiap penerima untuk projek penanaman cili, bantuan itu diakui memberi peluang masa depan yang cerah kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

PELUANG KELUAR DARIPADA KEPOMPONG KEMISKINAN





SHAH ALAM dan Klang diambil sebagai nama jalan di penempatan Desa Alam Shah, Pasir Puteh, Kelantan.

Perkara itu diakui oleh seorang penerima manfaat, Tuan Hussain Tuan Mahmood ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia, pada majlis perasmian dan pengurniaan kunci rumah kepada penghuni Desa Alam Shah, Pasir Puteh, Kelantan yang disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sambil disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, jika mengharapkan pendapatannya sebagai buruh kampung yang tidak menentu, kehidupannya sebelum ini disifatkan seperti perumpamaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Saya tiada pekerjaan tetap, hanya mengambil upah membuat kerja-kerja kampung menanam padi, berkebun dan juga tolong-tolong jiran berniaga sebelum ini. Apa yang dapat, itulah yang sayak makan, berikan kepada anak-anak dan isteri,” katanya yang tinggal di Jalan Shah Alam.

Yang turut hadir pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra; Tengku Temenggung Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail; Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd. Ali, dan Timbalan Yang diPertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi.

Berkesempatan menyaksikan sendiri keadaan rumah pusaka didiami Tuan Hussain sejak lahir dengan keadaan bertampal-tampal dan separuh roboh cukup jelas membuktikan kesempitan hidup dialaminya yang amat memerlukan bantuan.

“Saya sangat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan ini. Mula diberikan peluang mengusahakan ladang cili sendiri pada tahun 2014, saya dibantu oleh isteri berjaya memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM14,000 pada musim kedua, tahun 2015.

“Dalam masa sama, saya juga turut mengambil upah melakukan sebarang pekerjaan selain pada waktu bercucuk tanam cili untuk menambah pendapatan yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Wan Ismazani Wan Jusoh, 46, bantuan itu merupakan landasan baginya untuk keluar daripada kepompong asnaf yang dilaluinya sekeluarga sejak puluhan tahun lalu.

Dia yang bercita-cita untuk menjadi petani berjaya berkata, bantuan tanah dan projek penanaman cili itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengumpul pengalaman serta selok belok pertanian juga menjalankan perniagaan.

“Saya mempunyai lima orang anak dan empat daripada mereka masih bersekolah, apa sahaja pekerjaan dilakukan untuk menampung keluarga termasuk mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung dan buruh binaan.

“Hendak berubah, tetapi ke mana saya hendak pergi dan apa yang boleh buat di kampung ini? Oleh itu, apabila diberikan peluang ini, ia merupakan kesempatan terbaik mengubah hidup sekeluarga,” katanya.

Tambah Wan Ismazani, selepas memulakan projek penanaman cili tersebut, ternyata keadaan kehidupan keluarganya berubah menjadi semakin baik berbanding dahulu.

“Tidak lagi perlu melakukan kerja-kerja berat, pak cik di bantu oleh isteri hanya menumpukan sepenuh masa mengusahakan tanaman cili ini. Alhamdulillah, kehidupan kami banyak berubah.

“Banyak masa juga kini boleh diluangkan bersama keluarga. Kebiasaannya pak cik akan mula ke ladang pukul 7.30 pagi hingga 10.30 pagi pada sebelah pagi dan diteruskan pada pukul 5 hingga 7 malam setiap hari,” ujarnya.

FOKUS KEROHANIAN

Bukan bersifat bantuan semata-mata, sumbangan yang disalurkan juga memberi peluang kepada Zakat Selangor, MAIS dan Maik untuk memperkasakan aspek kerohanian asnaf dalam masa sama mengecapi kejayaan dunia.

Mengulas lanjut, Syed Anwar berkata, bantuan menerusi projek Selangor Prihatin itu turut mengutamakan aspek pembangunan modal insan kepada penerima.

“Selain menyediakan bantuan kepada asnaf untuk berubah, pelbagai program dan aktiviti berbentuk kerohanian turut dirancang antara Zakat Selangor dan Maik dengan berlandaskan tiga teras utama iaitu pendidikan agama dan akademik, sosial serta ekonomi kepada penerima,” katanya.

Syed Anwar berkata, projek pembangunan ekonomi asnaf di luar Selangor ini merupakan cetusan idea Sultan Selangor yang berhasrat agar manfaat daripada dana zakat di Selangor dapat disalurkan kepada negeri yang kurang sumber zakatnya.

“Rentetan daripada kejayaan projek Taman Desa Asnaf di Perlis yang dirasmikan pada 2013, Zakat Selangor telah menyempurnakan titah Sultan Selangor untuk menyalurkan dana zakat kepada pembangunan Desa Alam Shah ini pula.

“Justeru, Zakat Selangor akan terus memantau perjalanan projek ini untuk tempoh dua tahun bagi memastikannya mampu menyantuni asnaf terpilih di penempatan ini,” jelasnya.


Tidak abai asnaf di Selangor

“MENGAPA perlu bantu orang luar, sedangkan masih terdapat ramai asnaf dan golongan memerlukan di Selangor?” Pastinya itulah persoalan pertama yang akan diutarakan terutamanya pembayar zakat di Selangor apabila mendapat tahu hasil kutipan zakat negeri itu disalurkan ke negeri lain.

Ditambah dengan statistik jumlah asnaf di negeri yang memperoleh antara kutipan zakat terbesar di Malaysia itu menunjukkan peningkatan saban tahun membuatkan isu tersebut semakin hangat daripada menjadi pertikaian ramai.


Keperluan, kebajikan terus diberi perhatian


SETIAP penerima diberikan sebuah rumah berserta 0.46 hektar tanah untuk projek penanaman cili.

Perkara itu sedikit sebanyak mempengaruhi jumlah kutipan zakat apabila kepercayaan pembayar semakin berkurangan terhadap organisasi yang bertanggungjawab mengendali kutipan dan agihan zakat.

Akhirnya, kecewa dengan situasi yang berlaku, orang ramai tanpa usul periksa mengambil keputusan untuk mengagihkan sendiri zakat kepada asnaf dikenal pasti kerana dianggap lebih telus dan memberi manfaat terus kepada penerima.

Mengulas kekeliruan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) Hussin Mohd. Ali berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat dan berusaha menjalankan tanggungjawab membantu golongan asnaf di Selangor.

Ini menerusi pelbagai skim bantuan dan kemudahan yang ditawarkan termasuk untuk proses pembayaran dan permohonan di negeri itu dari semasa ke semasa.

“Dana diperuntukkan ini merupakan inisiatif Zakat Selangor menerusi Projek Selangor Prihatin bagi berkongsi kutipan zakat yang diperoleh di Selangor kepada negeri kurang sumber zakatnya.

“Mempunyai tujuan sama iaitu membantu golongan asnaf terutamanya fakir dan miskin, dana yang disalurkan ke luar negeri ini bukan bermakna kita mengabaikan asnaf di Selangor, tetapi untuk berkongsi hasil zakat agar dapat dirasai bersama.

“Selain pembinaan penempatan berkonsep sama di Perlis pada 2013 dan projek ini di Kelantan, kita juga telah merancang untuk memperluas bantuan seperti ini ke negeri-negeri lain termasuk di Selangor. Buat masa ini kita memberi fokus projek di Kelantan ini dahulu,” katanya.



SEBANYAK RM8.3 juta diperuntukkan daripada dana kutipan Zakat Selangor untuk membangunkan penempatan Desa Alam Shah yang berkeluasan 17.02 hektar di Kelantan.

FOKUS GENERASI KEDUA

Bersifat bantuan jangka masa panjang, sumbangan yang diberi bukan sahaja memfokuskan kepada penerima, tetapi latihan pembangunan modal insan yang disediakan sepanjang berada di penempatan tersebut turut menyasarkan generasi kedua penerima.

Hussin berkata, ini bagi mengelakkan anak-anak asnaf penerima daripada terus hidup dalam kemiskinan dengan mewarisi keluarga sebagai asnaf.

Desa Alam Shah dibina bagi berkongsi kutipan zakat Selangor ke negeri Kelantan.

“Apa yang kita harapkan adalah tempoh lima tahun yang diberikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap penerima agar berupaya merubah nasib keluar daripada asnaf. Tidak terhenti kepada penerima, bantuan juga menyasarkan generasi kedua penerima iaitu anak-anak asnaf untuk berubah.

“Kejayaan ini terbukti apabila pemerhatian yang kita lakukan di Taman Desa Ansaf, Perlis mendapati lebih 70 peratus penghuni di penempatan itu solat berjemaah pada solat Subuh berbanding hanya segelintir pada peringkat awal,” ujarnya.

Memilih penanaman cili sebagai sumber pendapatan utama, Hussin menjelaskan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peluang pendapatan, jenis tanah dan kesesuaian projek pertanian di kawasan tersebut.

“Seperti yang kita tahu, Pasir Puteh terkenal dengan projek penanaman cili yang menghasilkan kualiti antara terbaik di negara ini, malah bertepatan dengan standard ditetapkan Nestle selaku pembeli utama untuk menghasilkan sos,” katanya.

-

Tags: asnaf, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “asnaf” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments